Artikel Terkini

10 Pelan Kewangan Bagi Yang Berusia 40-an


“Life begins at 40”

Orang yang dah masuk umur 40 selalu cakap macam ni.

Ada yang baru nak mulakan hidup dan ada yang nak mulakan hidup baru, namun apa pun, hidup perlu diteruskan.

Ini merupakan beberapa perkara penting untuk mereka yang sudah atau akan masuk usia 40 tahun mengikut panduan daripada Nationwide.com

1. Dana Kecemasan

Perbelanjaan besar boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja. Risiko kehilangan kerja pada waktu ini sangat besar kerana boleh jadi syarikat ingin kurangkan kos dengan mengambil pekerja baru dan lebih muda, serta syarikat ingin mengecilkan operasi dan terpaksa tawarkan VSS Scheme kepada pekerja.

Selain daripada itu, isu kesihatan, kerosakan kereta dan juga kos baik pulih rumah juga memerlukan dana yang tinggi.

Kita juga perlu bertanggungjawab dengan orang di bawah jagaan kita, lagi-lagi kalau kita merupakan tempat bergantung untuk mencari sumber rezeki.

Pastikan ada dana kecemasan minimum 3 bulan dan seeloknya 6 bulan untuk kita mula rancang kerja dan penempatan baru jika perlu.

2. Pelan Bebas Hutang

Usia 40 tahun yang penuh dengan hutang adalah fenomena biasa. Adalah luarbiasa pada usia ini jika sudah tiada hutang, sesungguhnya mereka ini insan yang terpilih.

Cuba hapuskan hutang yang remeh seperti hutang kad kredit, hutang perabot, hutang karpet dan hutang kereta. Hutang rumah itu boleh dimaafkan kerana ianya merupakan hutang yang baik.

Pastikan kita langsaikan hutang dengan interest yang tinggi terlebih dahulu, seperti hutang kad kredit dan hutang pinjaman peribadi.

3. Simpan Untuk Bersara

Kita sepatutnya bersyukur kerana adanya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menyimpan sebahagian daripada gaji kita untuk tempoh persaraan kelak. Dengan kelebihan compounding interest, ianya mampu menambah wang kita setiap tahun.

Tapi bagaimana pula mereka yang sudah berhenti kerja?

Boleh teruskan menyumbang secara online melalui perbankan internet di bawah self-contribution.

Bagi mereka yang tiada langsung akaun KWSP, digalakkan untuk membuka akaun Private Retirement Scheme (PRS). Sama sahaja fungsi dengan KWSP, simpanan terbahagi kepada 2, iaitu Akaun 1 dan Akaun 2.

4. Melaburlah

Kalau masa umur 30-an tak sempat, sekarang dah masuk 40-an mungkin masa yang terbaik. Boleh mulakan langkah melabur dalam pasaran saham patuh syariah. Buka akaun CDS hanya RM10 sahaja, dan modal minimum bermula RM1000, paling cantik ada RM3000.

Sebelum bermula, dinasihatkan belajar dengan mereka yang mahir dalam pelaburan saham. Ada sistem yang perlu diikut supaya kita tak ‘sesat’ dan tak selalu rugi. Orang lain boleh untung gila-gila, kau pulak selalu rugi.

Baca 15 Panduan Beginner Pelaburan Saham di Bursa Malaysia

Selain daripada itu, sebagai ibu bapa kita perlu buka akaun SSPN-i sebagai persediaan mereka untuk menyambung ke peringkat pengajian yang lebih tinggi nanti.

5. Sediakan Wasiat

Sediakan dokumen lengkap sebagai persediaan kematian menjemput kita. Perkara pertama yang perlu difikirkan adalah siapa penjaga anak kita selepas kita tiada nanti.

Hidup anak-anak perlu diteruskan dan yang paling penting pembelajaran mereka wajib diteruskan.

Selain itu, fikirkan juga siapa yang akan mengurus dan membuat keputusan bagi pihak kita sekiranya kita sakit dan tak mampu untuk buat keputusan.

6. Hibah

Ini juga penting sebagai persediaan untuk diberi kepada waris yang layak. Mereka akan meneruskan kehidupan tanpa kita ianya boleh dianggap sebagai hadiah untuk mereka.

Hibah ini tidak boleh ditentang kerana pemberi sudah bersetuju untuk memberinya ketika masih hidup. Ada borang yang sudah ditandatangan dan akan dilaksanakan mengikut undang-undang.

7. Review Pelan Takaful

Jika kita meninggal terus, senang cerita. Tetapi bagaimana jika kita ditakdirkan mengalami kemalangan atau sakit teruk sehingga tak mampu untuk bekerja?

Syarikat memang mencarum SOCSO untuk pekerjanya, tapi pastikan kita ada perlindungan Takaful sendiri sebab SOCSO hanya cover masa pergi dan balik kerja sahaja. Walaupun kita mencarum dengan SOCSO berbelas tahun, SOCSO tetap tak cover accident yang berlaku di luar waktu kerja.

Takaful untuk anak-anak pula macam mana? Mak Ayah yang baik akan beli Medical Card Takaful untuk anak-anak. Bukan sebab mak ayah acah-acah kaya nak duduk hospital swasta bila anak sakit, cuma nak anak dapat rawatan cepat dan selesa.

8. Berjumpa Dengan Perancang Kewangan Yang Bertauliah

Bagi mengurangkan kekusutan mengurus kewangan, boleh jumpa mana-mana perancang kewangan yang berlesen dan bertauliah. Mereka ini sudah pastinya mempunyai ilmu dan pengalaman yang cukup untuk menasihati kita tentang pelan perlindungan, simpanan dan juga pelan pelaburan yang sesuai dengan keadaan semasa kewangan kita.

Mereka boleh beri pelan secara holistik mengenai apa yang patut kita lakukan.

9. Gunakan Kelebihan Syarikat Sepenuhnya

Syarikat swasta secara umumnya menawarkan kelebihan ini seperti takaful perlindungan untuk keluarga, percutian hari keluarga yang ditanggung syarikat, elaun telefon, elaun pengangkutan, elaun makan, hadiah bagi anak yang cemerlang dalam peperiksaan atau sumbangan biasiswa untuk anak yang cemerlang.

Ada juga syarikat yang menawarkan pinjaman bagi kakitangan, terutamanya mereka yang bekerja dengan pihak bank. Ini secara tidak langsung banyak membantu kita daripada segi kewangan. Ada juga yang berikan kelebihan waktu kerja yang fleksibel bagi mereka yang telah berkeluarga.

Pada usia ini, carilah syarikat yang boleh beri kelebihan sebegini yang berpanjangan buat diri sendiri dan keluarga. Dalam masa yang sama, kita juga boleh membina kekayaan sebelum kita pencen nanti.

10. Simpan Untuk Rumah Persaraan

Pada usia ini, ramai yang sudah memiliki rumah sendiri. Namun, ada yang ingin berpindah ke luar bandar untuk menikmati usia tua yang lebih tenang.

Ada yang menjual aset-aset yang terkumpul sebelum ini, untuk membeli tanah dan membuat kediaman di tanah lot sendiri.

Walau apa pun yang terjadi, adalah penting untuk kita kurangkan hutang, baru hidup akan berasa lebih tenang.

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan di sebuah institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu.

Komen

komen





Source link