Uncategorized

10 perkara WAJIB dilakukan sebelum pulang berhari raya

10 perkara WAJIB dilakukan sebelum pulang berhari raya 1



10 perkara WAJIB dilakukan sebelum pulang berhari raya 2

PEJAM celik, pejam celik kurang 10 hari lagi Ramadan bakal melabuhkan tirai dan Syawal bakal menjelma.

Selain sibuk dengan persiapan menyambut Aidilfitri, tidak kurang juga yang sudah mula sibuk membuat persiapan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Dalam keterujaan menyambut raya, ada beberapa perkara penting yang perlu diingat sebelum pulang ke kampungn halaman.

Berikut 10 perkara yang wajib anda lakukan sebelum pulang bercuti bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan cuti hari raya ada menjadi lebih bermakna.

1. Periksa kenderaan / tiket

Tempoh perjalanan balik kampung boleh memakan masa yang lama. Kesesakan jalan raya pada musim perayaan bukan perkara yang luar biasa.

Pastikan anda memeriksa keadaan tayar, brek, pendingin hawa dan keseluruhan komponen kereta dalam keadaan yang baik agar tidak berlaku perkara tak diingini dalam perjalanan.

Juga pastikan tayar ganti diisi angin dan alatan seperti jek, kabel pengecas bateri serta alat bantuan kecemasan tersedia.

Bagi yang pulang dengan kenderaan awam, pastikan tarikh dan masa di tiket.

2. Keselamatan rumah

Pastikan semua pintu — depan, belakang, dan pintu pagar — berkunci. Juga padamkan suis perkakasan elektrik dan tutup paip air sebelum meninggalkan rumah.

Jangan biarkan injap gas terbuka untuk mengelakkan daripada berlakunya kebocoran dan kebakaran. Seeloknya cabut kepala tong gas.

3. Maklumkan kepada polis dan jiran

Jangan lupa maklumkan kepada jiran, polis dan pengurusan kondominium atau apartmen tentang ketidakberadaan seisi keluarga di rumah. Ia bagi memastikan keselamatan kediaman anda dipantau ketika berada di kampung.

Jika kediaman anda dilengkapi fungsi kamera litar tertutup (CCTV), pastikan ia berfungsi dengan baik sebelum melangkah keluar dari rumah. 

4. Tambah nilai kad Touch & Go

Harus diingat, semua lorong tambah nilai di semua plaza tol ditutup sepanjang Aidilfitri. Oleh itu, tambah nilai kad prabayar anda sebelum tarikh tutup.

5. Bekalan ubatan

Sakit menyerang tidak mengira waktu. Persediaan ubat-ubatan amat penting supaya ia tidak melarat dan membebankan, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga seisi keluarga. Tambahan pula banyak farmasi ditutup sempena raya.

6. Zakat fitrah

Sempurnakan pembayaran zakat fitrah sebelum bertolak ke kampung halaman, apatah lagi jika anda pulang pada saat-saat akhir.

7. Tukar duit raya

Sudah menjadi tradisi memberikan duit raya kepada kanak-kanak pada hari lebaran. Jadi pastikan anda sudah menukar wang di bank dan memasukkannya ke dalam sampul.

8. Kemas kini aplikasi GPS

Kemudahan navigasi GPS dapat membantu mencari laluan alternatif jika berlaku kesesakan ataupun penutupan jalan.

Bagi mereka yang bakal berkunjung ke rumah sanak saudara, disarankan mengguna kemudahan ini bagi mengurangkan risiko bahaya ketika berkonvoi di jalan raya.

9. Aksesori pakaian lengkap

Tidak meriah sambutan Aidilfitri jika tidak disulami dengan busana istimewa. Pastikan semua aksesori — songkok, butang baju, anting-anting dan sebagainya — lengkap supaya anda tidak tergocoh-gocoh mencari di saat akhir di kampung jika terlupa membawanya pulang.

10. Pengecas telefon bimbit

Jangan sesekali terlupa bawa pulang pengecas dan kabelnya bersama power bank. Jika perlu, bawa pulang soket elektrik (ada kelulusan Sirim) kerana besar kemungkinan akan ada ramai sanak saudara yang ingin berkongsi menggunakannya.





Source link