Artikel Terkini

22 Juta Tuntutan Faedah Pengangguran Direkodkan Amerika Syarikat Sejak 14 Mac 2020


Lebih daripada 5.2 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) membuat
tuntutan faedah pengangguran dalam laporan mingguan yang diumumkan oleh Jabatan
Buruh pada Khamis (16 April 2020).

Ini juga adalah minggu keempat di mana data ini mencatat
bacaan lebih daripada tiga juta pengangguran yang membawa jumlah semasa kepada
22 juta pengangguran di negara itu sejak pertengahan bulan Mac 2020.

Empat minggu terakhir itu merekodkan peningkatan paling
mendadak dalam jumlah pengangguran sejak Jabatan Buruh AS mula mengumpul data
ini pada tahun 1967.

Tren Jumlah Tuntutan Pengangguran Sejak Tahun 1967. Sumber: TradingEconomics| Jabatan Buruh AS

Ia sebenarnya tidak dapat ditampung oleh pihak Jabatan Buruh apabila ribuan orang memfailkan tuntutan setiap minggu di semua negeri di Amerika Syarikat.

Terdapat laporan bahawa ramai daripada mereka tidak berjaya
mendapatkan faedah tersebut kerana jumlah permintaan yang tinggi dalam satu
masa dengan kekangan staf Jabatan Buruh yang tidak mencukupi untu memproses
tuntutan tersebut.

Oleh itu, jumlah sebenar yang kehilangan pekerjaan mungkin
lebih tinggi kerana tidak semua orang dapat memohon faedah pengangguran. Ada
yang tidak berkelayakan dan gagal menembusi capaian laman web Jabatan Buruh
untuk memohon faedah tersebut.

California sekali lagi merekodkan jumlah tuntutan tertinggi
dengan 660,966 dengan New York sebagai pusat penularan wabak Covid-19 di
Amerika Syarikat mencatat 395,949 tuntutan.
Kebanyakan mereka yang dibuang kerja adalah
disebabkan penutupan restoran, kelab, hotel dan sektor peruncitan.

Jumlah tuntutan pengangguran di setiap negeri sejak 14 Mac 2020. Sumber: nbcnews.com

Kadar pengangguran semasa di Amerika Syarikat adalah 4.4% meningkat daripada paras 3.5% yang dicatatkan pada bulan Februari yang lalu. 3.5% adalah kadar terendah yang pernah dicapai sejak 50 tahun yang lalu.

Namun, dengan jumlah pengangguran yang tinggi sejak sebulan
lepas berkemungkinan kadar pengangguran ketika ini telah mencecah 17% jauh
lebih tinggi daripada 10% yang dicatatkan pada tempoh kemelesetan tahun 2008.

Tempoh kemelesetan yang pernah berlaku pada 2007 hingga 2009
hanya merekodkan jumlah tuntutan pengangguran sebanyak 8.6 juta orang. Itupun
ia berlangsung selama dua tahun yang mana jauh lebih rendah daripada 22 juta
tuntutan yang direkodkan sejak empat minggu lepas. Jumlah pengangguran di AS
akan terus meningkat dari masa ke semasa selagi penularan Covid-19 berterusan.

Kadar pengangguran Amerika Syarikat 1995-2020. Sumber: TradingEconomics | Jabatan Buruh AS

Walaubagaimanapun, data terkini di kebanyakan negeri di Amerika Syarikat menunjukkan jumlah tuntutan berkurangan jika dibandingkan pada minggu sebelumnya sekaligus memberi isyarat jumlah pengangguran kian perlahan.

Dengan semakin ramai jumlah rakyat di AS yang kehilangan
pekerjaan, tekanan semakin tinggi kepada kerajaan negara itu untuk membuka
semula ekonomi.

White House telah mengeluarkan rancangan untuk membuka semula aktiviti
ekonomi secara beransur-ansur dalam usaha mengurangkan impak penularan Covid-19
terhadap ekonomi Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang banyak bergantung
kepada perbelanjaan pengguna dengan kebergantungan yang tinggi terhadap sektor
perkhidmatan sebanyak 70%. Bagi meningkatkan perbelanjaan domestik, pasaran
buruhnya mestilah berada dalam keadaan optimum dengan kadar pengangguran tidak
melebihi 5%.

Pentadbiran Presiden Trump telah mengemukakan cadangan kepada
gabenor-gabenor di negara itu tentang panduan bagaimana mereka patut membuka
semula ekonomi di negeri masing-masing. Walaubagaimanapun, Trump mahu ia
dilakukan dengan cukup berhati-hati dan mengakui tidak semua negeri dapat
melonggarkan kawalan pergerakan dalam masa yang sama.

Gabenor Andrew Coumo (New York) telah berkata bahawa penutupan ekonomi di negeri itu akan diteruskan sekurang-kurangnya sehingga 15 Mei 2020. Negeri-negeri lain juga berpendapat tempoh berkurung tidak akan berakhir dalam masa yang terdekat ini.

Presiden Trump sebagaimana berkata,”Kami akan membuka beberapa negeri lebih awal,” katanya dalam sidang media pada Rabu (15 April 2020).

Walaubagaimanapun, Trump berkata ia terpulang kepada
gabenor-gabenor negeri sama ada mahu membuka semula negeri mereka atau
sebaliknya di mana kerajaan pusat hanya akan memberikan garis panduan.

Sumber Rujukan:

Disediakan oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini berkhidmat di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.



Source link