Artikel Terkini

3 Cara Tentukan Pendapatan Isi Rumah Jika Saiz Isi Rumah Bertambah


Bila kita berkahwin, ramai menyangka kita perlu menambah jumlah pendapatan isi rumah kepada dua kali ganda. Contohnya, jika pendapatan sekarang adalah sebanyak RM2,000, kita memerlukan sekurang-kurangnya RM4,000 jika kita mempunyai pasangan.

Sebenarnya tidak.

Apabila kita menambah seorang ahli keluarga seperti berkahwin atau menambah cahaya mata, kita memerlukan penambahan pendapatan isi rumah tetapi bukanlah dalam cara berkadar.

Maksudnya, ruangan rumah, penggunaan elektrik dan sebagainya tidak akan menjadi tiga kali ganda jika kita mempunyai tiga ahli rumah berbanding hanya seorang ahli rumah.

Terdapat satu skala pelarasan yang dikenali sebagai “equivalence scale” untuk melaraskan nilai isi rumah dalam suatu populasi. Faktor-faktor yang diambil kira untuk menentukan nilai isi rumah adalah saiz isi rumah dan umur setiap anggota isi rumah (dewasa atau kanak-kanak).

Ada beberapa jenis “equivalence scale” dan di antara yang selalu digunapakai adalah:

1. OECD Equivalence Scale

Ahli rumah yang pertama akan dilabel dengan nilai 1. Nilai 0.7 akan diberikan untuk setiap penambahan ahli dewasa dan nilai 0.5 akan diberikan untuk setiap penambahan ahli kanak-kanak. Skala yang juga diberi nama “Oxford Scale” ini digunakan oleh negara yang tidak mempunyai skala pelarasan sendiri.

Sebagai contoh, pendapatan kita seorang adalah RM2,000. Jika kita berkahwin, maksudnya kita memerlukan 1.7 kali ganda pendapatan isi rumah iaitu RM3,400.

2. OECD-Modified Scale

Selepas penggunaan skala OECD yang lama pada tahun 1980-an dan awal 1990-an, Statistical Office of the European Union (EUROSTAT) telah mengguna pakai skala OECD baru iaitu “OECD-modified equivalence scale”.

Untuk skala ini, ketua keluarga akan diberikan nilai 1. Setiap penambahan ahli keluarga dewasa akan diberikan nilai 0.5 dan penambahan ahli keluarga kanak-kanak pula akan diberikan nilai 0.3.

Menggunakan contoh yang sama seperti di atas, jika pasangan suami isteri mempunyai seorang anak, ini bermaksud mereka memerlukan 1.8 kali ganda pendapatan isi rumah iaitu RM3,600.

3. Square Root Scale

Penerbitan terbaru OECD (tahun 2011 dan tahun 2008) membandingkan ketidaksamaan pendapatan dan kadar kemiskinan untuk beberapa buah negara menggunakan skala ini. Pendapatan isi rumah bertambah dengan kadar punca kuasa dua saiz isi rumah.

Sebagai contoh, jika seorang memerlukan RM2,000, isi rumah seramai empat orang memerlukan dua kali ganda pendapatan isi rumah iaitu RM4,000.

Siap Sedia Lebih Awal Jika Ahli Keluarga Bertambah

Secara amnya, tiada kaedah tertentu yang diterima pakai untuk melaraskan pendapatan isi rumah, dan tiada juga skala pelarasan tertentu yang dicadangkan oleh pihak OECD untuk kegunaan semua.

Pemilihan skala pelarasan boleh ditentukan mengikut teori ekonomi skala penggunaan dan pertimbangan masing-masing mengikut keutamaan dan keperluan individu sama ada kanak-kanak atau dewasa.

Contohnya, jika menggunakan skala yang memberi pemberat yang sama rata untuk semua ahli keluarga, pastinya golongan dewasa akan merasakan pembahagian pendapatan tidak cukup untuk mereka kerana mereka memerlukan lebih banyak daripada golongan kanak-kanak atau sebaliknya.

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan.

Sumber Rujukan: http://www.oecd.org/els/soc/OECD-Note-EquivalenceScales.pdf



Source link