Artikel Terkini

3,293 kes HIV/AIDS direkodkan tahun lepas – Dr Lee



KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,293 kes HIV/AIDS direkodkan di negara ini tahun lepas, dengan 47 daripadanya merupakan kanak-kanak berumur bawah 18 tahun, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan sentiasa memastikan setiap ibu hamil menjalani saringan ujian HIV/AIDS agar rawatan dapat diberikan bagi mengelak virus itu merebak kepada bayi dalam kandungan mereka.

“Setiap kanak-kanak yang dijangkiti virus HIV juga diberikan rawatan antiretroviral supaya kehidupan mereka pulih seperti biasa,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin tahu statistik terkini kanak-kanak di Malaysia yang dijangkiti virus HIV/AIDS dan berapakah rumah perlindungan HIV/AIDS yang dikendalikan oleh kerajaan dan pihak swasta serta bantuan yang disediakan oleh kementerian untuk mereka.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (PH-Bagan Serai), Dr Lee berkata kerajaan berjaya menurunkan kadar kes jangkitan virus HIV/AIDS dari 28.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2002 kepada 10 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun lepas.

— BERNAMA





Source link