Uncategorized

4 Agensi Atau Badan Yang Melindungi Pengguna Dalam Perkhidmatan Kewangan di Malaysia

4 Agensi Atau Badan Yang Melindungi Pengguna Dalam Perkhidmatan Kewangan di Malaysia 1


Di Malaysia, terdapat banyak agensi yang ditubuhkan untuk melindungi atau membantu pengguna. Namun begitu, ada di kalangan kita yang masih lagi tidak tahu akan kewujudan agensi tersebut.

Berikut disenaraikan beberapa agensi yang ditubuhkan untuk membantu pengguna dan orang ramai, khususnya dalam industri kewangan:

1. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

AKPK adalah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada bulan April 2006 untuk membantu individu menguasai situasi kewangan mereka dan mencapai ketenangan minda hasil daripada penggunaan kredit secara bijak. Terdapat tiga perkhidmatan yang ditawarkan iaitu perkhidmatan kewangan, kaunseling kewangan, dan program pengurusan kredit.

Kebiasaannya apabila kita membuat pinjaman, surat tawaran pinjaman akan menyatakan jika menghadapi masalah dalam membuat bayaran, kita boleh merujuk kepada AKPK. Setakat akhir tahun 2018, jumlah program pengurusan kredit yang diluluskan melebihi 240,000 kes; dengan 20,000 kes telah berjaya diselesaikan (menurut laporan tahunan AKPK 2018).

Untuk makluman lanjut, boleh layari laman web www.akpk.org.my

Senario: Ali mempunyai 2 kad kredit dan tidak mampu membayarnya kerana kadar faedah yang tinggi. Ali digalakkan memohon bantuan daripada AKPK, kerana AKPK akan menstrukturkan semula bayaran dengan kadar bayaran yang lebih rendah melalui Program Pengurusan Kredit.

2. Ombudsman For Financial Services (OFS)

Ombudsman for Financial Services (OFS) (dahulunya dikenali sebagai Biro Pengantaraan Kewangan) ditubuhkan pada 30 Ogos 2004 dan memulakan perkhidmatan pada 20 Januari 2005. OFS dilantik oleh BNM sebagai pengendali Skim Ombudsman Kewangan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

OFS adalah sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan dan berfungsi sebagai saluran alternatif penyelesaian pertikaian. Ianya diwujudkan bagi menyelesaikan pertikaian di antara pengguna kewangan dan penyedia perkhidmatan kewangan (bank / pengendali insurans), yang dilesenkan atau diluluskan oleh BNM.

Apabila kita melanggan produk Takaful atau membuat pinjaman, surat tawaran akan menyatakan jika terdapat sebarang pertikaian berkenaan produk yang ditawarkan, kita boleh merujuk dengan OFS. Sepanjang tahun 2018, OFS telah mendaftar 761 kes aduan pengguna terhadap penyedia perkhidmatan kewangan (laporan tahunan OFS 2018).

Untuk makluman lanjut, anda boleh layari laman web www.ofs.org.my

Senario: Abu tidak berpuas hati dengan pengendali insurans kerana tidak membayar tuntutan yang dibuatnya. Abu digalakkan membuat aduan kepada OFS, kerana OFS akan menyelesaikan pertikaian tersebut dengan adil dan bebas.

3. Securities Industry Dispute Resolution Center (SIDREC)

SIDREC adalah badan bebas yang ditubuhkan untuk menyelesaikan pertikaian kewangan di antara pelabur dan ahli SIDREC yang memegang lesen Perkhidmatan Pasaran Modal atau yang didaftar oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk menjalankan akitiviti terkawal seperti urusniaga sekuriti, derivatif, unit amanah, skim persaraan swasta (PRS), dan pengurusan dana.

Ahli SIDREC termasuklah Bank, Broker, Syarikat Pengurusan Dana, Syarikat Pengurusan Unit Amanah dan Penyedia/Pengedar PRS.

Untuk makluman lanjut, anda boleh layari laman web www.sidrec.com.my

Senario: Ahmad tidak berpuas hati dengan syarikat unit amanah yang dilaburnya kerana beranggapan ejen telah memberi maklumat yang salah sehingga menyebabkan dia kerugian sebanyak RM10,000. Ahmad digalakkan untuk membuat aduan di SIDREC, kerana SIDREC akan cuba menyelesaikan pertikaian tersebut dengan kaedah yang profesional.

4. Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)

PIDM adalah agensi Kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 2005 di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Akta PIDM). Peranan PIDM di bawah Akta PIDM ini adalah untuk mentadbir Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans untuk melindungi pendeposit, pemilik sijil Takaful dan polisi insurans sekiranya sesebuah institusi ahli mengalami kegagalan.

PIDM juga diberi mandat untuk menyediakan insentif bagi pengurusan risiko yang wajar dalam sistem kewangan, serta menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan.

Untuk makluman lanjut, anda boleh layari laman web www.pidm.gov.my

Senario: Syamsul mempunyai simpanan di Bank A. Pada suatu hari, Bank A telah mengalami kegagalan dalam perniagaan dan diisytiharkan muflis. Syamsul layak mendapat perlindungan daripada PIDM sehingga RM250,000 bagi wang yang disimpannya di Bank A. Ini kerana Bank A adalah tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Diharap dengan artikel ini, anda tahu ke mana untuk memohon bantuan atau membuat aduan jika ada sebarang masalah dalam industri perkhidmatan kewangan.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh dihubungi melalui emel azharuladha@gmail.com

4 Agensi Atau Badan Yang Melindungi Pengguna Dalam Perkhidmatan Kewangan di Malaysia 2

Komen

komen





Source link