Artikel Terkini

4 Kriteria Yang Golongan Muda Cari Dalam Sistem Perbankan


Orang muda bergantung kepada akaun simpanan dan perlu memeriksa akaun mereka dari semasa ke semasa untuk menguruskan kewangan. Mereka memerlukan perkhidmatan bank yang efisen dan tidak gentar untuk menukar bank untuk mencari perkhidmatan yang memuaskan.

Apakah ciri-ciri yang menentukan pemilihan bank bagi mereka?

1. Keselesaan

Orang muda ini memerlukan perkhidmatan yang tidak rumit. Mereka juga merupakan pengguna teknologi yang tegar. Majoriti golongan muda adalah pengguna “Online Banking”. Hampir semua transaksi seperti pemindahan wang, pembayaran bil dan pemeriksaan akaun dilakukan secara online.

Tetapi, apa yang menentukan pemilihan bank ini adalah aplikasi online banking yang mesra pengguna. Mereka mungkin tidak akan menggunakan aplikasi jika masa yang diambil untuk sesuatu transaksi terlalu lama ataupun melibatkan proses yang leceh.

Pihak bank perlu mereka bentuk aplikasi yang mudah untuk digunakan kerana aplikasi tersebut bukan sahaja digunakan untuk memeriksa baki akaun semata-mata, tetapi ada segelintir yang menggunakannya untuk menguruskan aset kewangan mereka.

2. Kemudahan

Walaupun sering melakukan urusniaga secara online, kita masih tidak dapat menafikan kepentingan ciri-ciri bank standard seperti kemudahan bank fizikal, jumlah cawangan untuk berurus niaga dan jumlah mesin ATM.

Kemudahan bank fizikal seperti kelulusan pinjaman yang cepat dan kemudahan pembiayaan adalah antara kelebihan yang dapat menarik minat golongan muda ini. Antara kemudahan pembiayaan yang diminati golongan muda semestinya kelulusan kad kredit dan juga pelan ansuran tanpa faedah ataupun Zero Interest Installment Plan (ZIIP).

Rangkaian mesin ATM yang banyak juga penting untuk memudahkan pengeluaran wang di mana-mana sahaja. Pasti tidak sukar hendak mencari mesin ATM jika kita memerlukan tunai dengan segera.

3. Kelebihan

Kelebihan di sini bermaksud faedah ganjaran seperti kadar faedah yang tinggi untuk akaun deposit, cashback untuk setiap pembelian dan juga pengumpulan mata ganjaran untuk menebus hadiah-hadiah yang menarik.

Ramai juga daripada golongan muda menjadikan perbankan tanpa bayaran (no-fee banking) sebagai suatu keutamaan.

4. Pengalaman

Memang tidak dapat dinafikan yang golongan muda sangat suka akan pengalaman yang baru dan menarik. Bank juga perlu memberikan pengalaman dan layanan yang terbaik kepada golongan muda ini.

Pihak bank bukan sahaja bersaing dengan bank-bank lain dalam memberikan pengalaman ini, tetapi perlu bersaing dengan kedai-kedai seperti Sephora dan Apple untuk menarik minat golongan muda. Mereka perlu mencipta pengalaman baru ketika golongan muda ini pergi ke bank.

Antaranya adalah dengan menyediakan permainan yang menarik dan dapat hadiah yang lumayan seperti pakej pelancongan atau tiket konsert.

Bagi golongan muda, bank bukan sahaja dilihat sebagai tempat untuk membuat pelaburan, mengeluarkan wang dan membuat pinjaman. Mereka melihat bank sebagai satu tempat untuk membina asas kewangan yang kukuh dan selamat.

Golongan muda memerlukan bantuan pihak bank untuk menguruskan dan memberikan khidmat nasihat kewangan.

Oleh itu, pihak bank perlu membina hubungan yang baik dengan golongan muda ini dengan mempromosi produk dan perkhidmatan yang sesuai, interaktif dan menyediakan perkhidmatan berasaskan pendidikan kewangan kepada mereka.

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan.

Sumber Rujukan:



Source link