Artikel Terkini

4 Risiko Melabur Melalui Platform Peer-to-Peer (P2P) Lending


Bila sebut melabur, benda yang mesti bermain dalam minda kita adalah risiko. Mana ada pelaburan yang tiada risiko.

Kalau ada yang datang depan kita dan menawarkan pelaburan tanpa sebarang risiko, baik kita angkat kaki lari. Besar kemungkinan beliau seorang scammer.

Begitu juga dengan pelaburan Peer-to-Peer atau lebih dikenali sebagai P2P. Pastinya ada risiko.

Jemput baca Peer-to-Peer (P2P) Lending: Pelaburan Dengan Memberi Pinjaman. P2P boleh dikategorikan sebagai ‘High Risk, High Return’, di Malaysia terdapat 11 platform dan 2 daripadanya adalah patuh Syariah.

Dah kenal apa itu P2P, maka kita perlu kenal risiko yang terlibat pula. Dan di antara risiko yang kita perlu kita hadapi apabila melabur dalam ke bisnes yang menggunakan konsep P2P untuk mendapatkan dana adalah:

1. Lambat Dapat Pulangan

Dalam laporan beberapa platform P2P, perkara
ini ada dimasukkan untuk menunjukkan prestasi proses saringan yang mereka
laksanakan. Lebih sedikit peminjam yang bayar lewat hutang mereka kepada yang
dipinjam, lebih baiklah proses saringan yang mereka formulasikan.

Jadi, pastikan kita sudah ambil kira risiko ini apabila membuat pilihan untuk melabur melalui platform P2P. Jangan nanti, tengah-tengah bulan, nak tampal tayar motor yang pancit pun tak cukup duit.

Pelabur boleh membaca tempoh yang diklasifikasikan sebagai lambat di dalam FAQ yang disediakan oleh platform P2P.

2. Tak Dapat Pulangan

Yang ini lebih kurang seperti di atas. Tapi memang ada peminjam yang gagal melangsaikan pinjamannya. Macam pinjaman atau pembiayaan bank, akan ada segolongan kecil yang tak mampu bayar balik kemudahan pinjaman yang telah diberikan.

Lagi sekali, pastikan kita sudah mengira risiko sebelum melabur. Setakat bacaan saya, ada beberapa langkah yang akan diambil oleh platform P2P. Tapi pastinya langkah-langkah seperti kejar semula peminjam (syarikat) & tindakan mahkamah mengambil masa yang panjang.

3. Tak Dapat Mempelbagaikan Pelaburan

Salah satu prinsip yang popular bila kita bicara soal pelaburan adalah, “Don’t put all your eggs in one basket”. Kalau kita terjemahkan secara literal, ianya membawa maksud “Jangan letak semua telur kita dalam satu bakul”.

Dalam konteks pelaburan, jangan labur dalam satu kelas aset atau lebih spesifik dalam kes P2P ini, jangan labur dalam satu projek sahaja. Cuba untuk mempelbagaikan pelaburan dalam beberapa investment note. Jadi, kalau 1 gagal, InsyaAllah 2 lagi akan perform.

Risiko ini lebih tepat bagi mereka yang berminat dengan platform yang patuh shariah. Ini kerana, peluang pelaburan dalam platform yang patuh shariah adalah sangat terhad.

4. Pelaburan Yang Tak Cair

Ertinya, kita tidak boleh sesuka hati mengeluarkan wang pelaburan pada bila-bila masa. Kalau kita berdagang saham, kita boleh beli saham syarikat A pada waktu pagi dan menjualnya pada waktu petang dan keluarkan wang tersebut dalam bentuk tunai. Biasanya ia akan mengambil masa 1–3 hari untuk mendapatkan wang kita semula.

Hal ini berbeza dengan P2P. Sekali kita klik butang melabur dalam platform P2P, anggap sahajalah duit anda dah sangkut dan tak boleh dikeluarkan sehingga tamat tempoh investment note.

Memang pelaburan menggunakan platform P2P ini pelaburan yang tinggi risikonya. Jadi, sebelum melabur, kira risikonya. Pastikan duit kita mencukupi untuk meneruskan hidup selama tempoh pelaburan.

Mampu hadapi risiko ini? Maka, kita dah cukup kental untuk memulakan pelaburan dengan konsep P2P.

Jika berminat untuk melabur dalam projek perumahan P2P patuh shariah di Indonesia, boleh klik sini.

Ditulis oleh Afif Amir, sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang Actuarial & Financial Mathematics. Meminati dunia pelaburan terutama berkaitan saham, equity crowdfunding dan pelaburan digital. Full time PhD, trader, part-time investor & Marketing Representative untuk iSaham & Malacca Securities.



Source link