Uncategorized

4 Sumber Perundangan Islam Yang Diguna Pakar Shariah

4 Sumber Perundangan Islam Yang Diguna Pakar Shariah 1


Perbankan Islam telah mula bertapak di Malaysia dengan tertubuhnya Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada tahun 1983. Pada ketika itu, ianya berada di bawah Akta Perbankan Islam 1983. Bank Islam menawarkan produk-produk yang patuh shariah.

Dalam memastikan produk yang ditawarkan adalah patuh shariah, bank mempunyai Jawatankuasa Shariah yang akan memantau produk tersebut. Dalam membuat keputusan, pakar shariah akan merujuk kepada 4 sumber di bawah:

1. Al-Quran

Digunakan sebagai panduan kerana isi kandungannya yang lengkap merangkumi pelbagai bidang seperti sosial, ekonomi, undang-undang, sains, dan sejarah. Al-Quran mempunyai 30 juzu’ dan 114 surah. Keaslian yang ada pada Al-Quran adalah terjamin, kerana ianya merupakan kalam Allah SWT.

Sebagai contoh, kewajipan berzakat telah dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah ayat 43 iaitu ‘Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan rukuklah bersama-sama dengan orang yang rukuk’.

2. Al-Sunnah

Secara teknikalnya, ia merujuk kepada segala perbuatan Rasululah SAW sama ada secara percakapan, riwayat hidup, atau pengakuan. Al-Sunnah diriwayatkan daripada para sahabat dan ditulis oleh para ulama pengumpul hadis. Al-Sunnah dan Al-Quran adalah sumber primer (utama) dalam perundangan Islam.

Sebagai contoh, berniaga adalah merupakan sunnah Rasulullah SAW.

3. Ijma’

Ianya bermaksud kata sepakat di kalangan ulama selepas wafatnya Rasulullah SAW mengenai sesuatu perundangan Islam. Setelah keputusan dibuat, kita sebagai umat Islam wajib mentaatinya. Ini kerana para ulama yang beriman dan bertakwa akan membuat keputusan yang terbaik dan untuk kesejahteraan umat Islam.

Salah satu contoh Ijma’ adalah jual beli dibolehkan, manakala riba diharamkan.

4. Qiyas

Qiyas adalah perbandingan hukum di antara sesuatu yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah dengan perkara baru pada zaman ini. Perkara tersebut mempunyai implikasi yang sama dari segi faedah dan mudaratnya.

Sebagai contoh, dalam Surah Al-Jumuah ayat 9 ada dinyatakan larangan berjual beli ketika azan berkumandang pada Hari Jumaat. Dalam konteks Qiyas, ianya terpakai kepada semua jenis aktiviti perniagaan (bukan jual beli sahaja) kerana ia mempunyai implikasi yang sama.

Wallahu’alam bisshawab.
Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Berkelulusan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam
Masih bekerja di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)
Boleh dihubungi melalui emel azharuladha@gmail.com
Penulisan adalah atas kapasiti individu dan hanya untuk tujuan pendidikan sahaja

4 Sumber Perundangan Islam Yang Diguna Pakar Shariah 2

Komen

komen





Source link