Artikel Terkini

5 Fakta Industri Hartanah Anda Wajib Tahu Bagi Tahun 2020


Isu lambakan hartanah tidak terjual di Malaysia khususnya bandar-bandar utama seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Georgetown tidak menampakkan tanda akan berhenti dalam masa terdekat ini.

Perkara ini menjadi semakin parah apabila Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan setakat Jun 2019 yang lalu, hampir 80% pembeli rumah gagal mendapat pinjaman pembiayaan hartanah.

Selain daripada
rekod dan skor kredit yang lemah, harga rumah yang ingin dibeli adalah tiga
kali ganda atau lebih daripada nisbah pendapatan tahunan pembeli rumah itu
sendiri!

“Soalnya, mengapa mereka tidak membeli rumah mengikut
kelayakan mereka?”

Terdapat beberapa
negeri yang mencatatkan nisbah tahap kemampuan memiliki rumah menurun kerana
kediaman tersebut dinilai sebagai sangat tidak dapat dibiayai dan juga tidak
mampu dibiayai.

Jelas sekali isu
hartanah di Malaysia tidak terbatas kepada lambakan hartanah mewah tidak
terjual, bahkan juga kekurangan bekalan rumah mampu milik di setiap peringkat.

Berikut merupakan beberapa fakta dan rumusan yang terkumpul hasil daripada kajian dan tinjauan yang dilaksanakan REHDA berkenaan industri hartanah di Malaysia.

1. Pasaran Hartanah Kediaman Terus Berdepan Cabaran

Isu ‘mismatch’ dalam hartanah di mana
penawaran hartanah kediaman tidak menepati permintaan hartanah kediaman
dijangka akan berkurangan.

Pemaju dilihat
sudah ‘tersedar dari lamunan’ dan mula fokus untuk pembangunan hartanah
kediaman bagi kurungan harga RM500,000
ke bawah
.

Akan tetapi,
cabarannya adalah lebih kepada harga dan jenis hartanah yang ditawarkan pemaju.
Berdasarkan data dari JPPH, harga median bagi hartanah jenis teres di Selangor
untuk Januari 2019 – Oktober 2019 adalah pada harga RM460,000.

Isu seterusnya
adalah bagaimana pemaju hartanah menyelesaikan isu lambakan hartanah yang
tinggi di pasaran.

Untuk rekod,
terdapat 478,258 unit bekalan baru
hartanah untuk hanya 449,050 isi rumah di Kuala Lumpur pada 2018.

2. Permintaan Yang Tinggi Terhadap Hartanah Kediaman

Semenjak awal penubuhan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun 1964 dan dipengerusikan Tuan Khaw Kai Boh, bekalan untuk rumah mampu milik atau kos rendah tidak pernah mencukupi hatta sehingga ke hari ini.

Bekalan yang terbatas menyebabkan permintaan untuk rumah mampu milik di bawah kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri semakin meningkat.

Buktinya, kempen HOC yang dilancarkan pada Januari yang lalu telah berjaya menjual kira-kira 28,000 unit hartanah kediaman pelbagai jenis di seluruh Malaysia.

Ini merupakan satu rekod tertinggi semenjak tahun 2015 dan berjaya membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 2.8% setakat November 2019 yang lalu.

3. Rumah Mampu Milik Kekal Menjadi Fokus Utama

Dengan kejayaan kempen Home Ownership Campaign (HOC) berjaya menjual hartanah dengan nilai melebihi RM13 bilion, RM10 bilion melebihi sasaran asal iaitu RM3 bilion; ini membuktikan permintaan bagi rumah mampu milik kekal tertinggi di kalangan rakyat Malaysia.

Apa yang lebih
mengejutkan adalah lebih 70% daripada 
pinjaman yang diluluskan sepanjang tahun 2018 sehingga 2019 adalah dari
pembeli rumah pertama yang dengan harga rumah di bawah RM500,000.

Sayangnya, peruntukan untuk rumah mampu milik berdasarkan Belanjawan 2020 adalah sifar dan kerajaan hanya memperuntukkan 5,000 unit rumah mampu milik di Bandar Malaysia.

4. Rumah Mampu Milik Sebagai Pasaran Baru Pemaju Hartanah

Pemaju harus
melihat rumah mampu milik yang dibina Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri
sebagai satu peluang dan ruang dalam pasaran untuk mereka tembusi.

Hal ini kerana,
pasaran untuk rumah mampu milik mewakili hampir 70% isi rumah di Malaysia, satu
jumlah yang amat besar.

Setakat Disember 2019, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan jalinan kerjasama dalam membantu golongan B40 memiliki rumah sendiri menerusi menerusi Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR).

5. Hartanah Tidak Terjual Ambil Masa Untuk Pulih

24,738 unit hartanah tidak terjual pada tahun 2017 yang meningkat 30.6%
kepada 32,313 unit pada 2019 akan
mengambil masa yang lama untuk terjual memandangkan unjuran ini tidak pernah
berlaku sebelum ini.

Pemaju hartanah wajar fokus kepada pasaran kediaman mampu milik sementara menunggu industri hartanah pulih sebelum menyelesaikan isu hartanah tidak terjual ke satu fasa yang benar-benar pulih.

Kerajaan pula boleh
memainkan peranan dengan melaksanakan dasar atau kempen yang menggalakkan
pembelian hartanah seperti pengecualian cukai dan kempen Home Ownership
Campaign (HOC) yang terbukti berkesan.



Source link