Artikel Terkini

5 Panduan Pelaburan Ketika Ekonomi Gawat


Pelaburan yang bijak memerlukan pelabur mempunyai disiplin yang baik dan tidak terikut-ikut dengan emosi. Dalam pelaburan yang mempunyai pasaran turun naik, pelabur perlu sentiasa mengikuti perancangan awal dan sentiasa mengawal emosi supaya bertindak dalam keadaan tenang dan tidak terburu-buru.

Kesilapan yang selalu berlaku terhadap pelabur adalah membeli ketika harga sedang tinggi tetapi menjual apabila harga jatuh menjunam. Ini berlawanan dengan konsep pelaburan di mana kita membeli pada harga rendah tetapi menjual pada harga tinggi. Ianya disebabkan pelabur terlampau panik ketika harga jatuh dan menjual secara terburu-buru.

Sebagai pelabur bijak, berikut disenaraikan 5 panduan yang perlu dibuat ketika ekonomi gawat:

1. Ikut Perancangan Pelaburan

Sebelum membuat keputusan untuk melabur, pelabur telah mempunyai perancangan pelaburan masing-masing. Perancangan pelaburan adalah bergantung kepada tahap risiko yang boleh diterima dan tempoh jangkaan pulangan pelaburan yang ingin dicapai.

Jika kita telah tetapkan pulangan pelaburan dalam tempoh 30 tahun, ikut perancangan awal. Turun naik pasaran adalah merupakan perkara biasa dalam pelaburan.

Ada pasaran yang jatuh ketika kegawatan ekonomi tetapi akan meningkat kembali apabila keadaan ekonomi pulih seperti sediakala.

2. Pelbagaikan Portfolio Pelaburan

Jangan letakkan telur dalam satu bakul sahaja. Jika satu bakul jatuh, semua telur habis pecah dan tak boleh dimakan. Begitu juga halnya dengan pelaburan.

Pelbagaikan portfolio pelaburan. Sekurang-kurangnya risiko kerugian tidak terlalu terdedah. Kita boleh melabur dalam pelbagai sektor seperti kesihatan, hartanah, dan lain-lain lagi.

Secara tidak langsung dapat mengelakkan kita panik jika pasaran sektor tertentu jatuh atau sedikit menurun. Terdapat pelbagai saluran pelaburan yang ditawarkan.

Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah satu saluran pelaburan tetapi sudah tentu jangkaan pulangannya adalah rendah kerana tiada risiko kerugian.

Unit Amanah harga berubah seperti yang ditawarkan oleh Public Mutual, Principal atau Philip Mutual mungkin lebih sesuai untuk pelaburan jangka masa sederhana dan panjang; iaitu dalam tempoh 5 tahun ke atas untuk mendapatkan hasil pelaburan.

Bagi pelaburan saham di Bursa Malaysia, pergerakan turun naik harga adalah lebih agresif tetapi jangkaan pulangan adalah tinggi.

3. Melabur Secara Konsisten

Salah satu kaedah yang efektif dalam pelaburan jangka masa panjang adalah Dollar Cost Averaging (DCA). Teknik ini di mana kita akan sentiasa melabur sama ada ekonomi gawat atau ekonomi tengah berkembang. Jika ekonomi tengah gawat dan harga pasaran jatuh, kita akan mendapat lebih banyak unit.

Sebaliknya jika ekonomi tengah berkembang dan harga pasaran meningkat, kita akan mendapat unit yang sedikit. Kebiasaannya teknik ini digunakan dalam pelaburan unit amanah di mana pelabur tidak perlu memikirkan berkenaan keadaan ekonomi semasa kerana objektifnya hanya mengumpul unit dan melabur secara konsisten.

4. Kawal Emosi

Dalam melabur kita perlu sentiasa bijak dalam mengawal emosi. Dah nama pun pelaburan, mesti ada risiko kerugian. Sabar adalah kunci utama dalam pelaburan. Jangan terikut-ikut dengan orang lain.

Ikut perancangan masing-masing. Sebab itu digalakkan belajar sebelum membuat pelaburan. Jika kita berhasrat melabur dalam saham di Bursa Malaysia ketika ini, mungkin ianya waktu yang sesuai kerana terdapat banyak saham yang ‘undervalued’ disebabkan kegawatan ekonomi.

Harga saham ini tunggu masa nak naik je bila ekonomi kembali pulih. Apa pun dapatkan ilmu dahulu. Kenali dahulu perkara-perkara asas seperti apa itu cds account, perbezaan direct account dan nominee account, apa yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli saham, caj-caj yang terlibat, dan yang penting sekali pastikan apabila nak melabur hanya gunakan duit lebihan sahaja (duit yang kita sanggup rugi).

5. Dapatkan Khidmat Nasihat Profesional

Jika kita masih ragu-ragu berkenaan pelaburan, tiada salahnya dapatkan khidmat nasihat pelaburan. Jika sudah sedia melabur dalam unit amanah tetapi was-was sebab tengok dalam akaun dah negatif, boleh tanya ejen berkenaan prestasi pelaburan tersebut.

Ejen pula jangan jumpa pelanggan apabila nak minta tandatangan saja, perlu bagi penerangan yang jelas berkenaan portfolio pelaburan. Bagi pelabur baru dalam pelaburan saham, boleh dapatkan tips dari remisier
atau dealer masing-masing.

Kita juga boleh dapatkan khidmat perancang kewangan berlesen untuk membuat perancangan pelaburan.

Kesimpulannya, pelaburan adalah satu teknik untuk mengelak kuasa inflasi tetapi dalam melabur perlu ada strategi dan ilmu. Jangan terikut-ikut dengan orang lain dan akhirnya membuat kita melopong.

Melaburlah mengikut tahap penerimaan risiko masing-masing. Modal selalu dijadikan alasan tetapi apa kata kita mulakan dahulu dengan modal yang minima.

Biasanya kalau kita banyak bercakap tetapi tiada apa-apa tindakan, penyudahnya kita tidak akan ke mana-mana.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Baca juga:



Source link