Artikel Terkini

5 Perkara Penting Dalam Penyata Kewangan Laporan Syarikat Yang Perlu Kita Tahu


Sebelum kita melabur ke dalam saham, apa yang kita perlu buat adalah membuat sedikit kajian berkenaan kaunter yang ingin kita labur. Syarikat senaraian awam adalah diwajibkan mempamerkan penyata kewangan mereka sebagai panduan kepada para pelabur berkenaan prestasi syarikat.

Penyata kewangan adalah terdiri daripada penyata pendapatan, kunci kira-kira, dan penyata aliran tunai. Bagi yang belajar perakaunan barangkali sudah biasa dengan penyata kewangan, tetapi bagaimana pula dengan yang lain?

Kali ini kami akan kongsikan apa yang terkandung dalam penyata kewangan untuk panduan semua pembaca. Ada 5 perkara penting yang kita kena tahu semasa membaca penyata kewangan seperti berikut :

1. Revenue (Hasil)

Revenue adalah hasil sesebuah syarikat. Ianya boleh datang dalam bentuk jualan, royalti, atau apa-apa sahaja yang mendatangkan pendapatan kepada syarikat.

Syarikat yang mempunyai peningkatan revenue dari tahun ke tahun adalah syarikat yang menunjukkan prestasi yang baik.

2. Profit (Keuntungan)

Profit pula adalah keuntungan sesebuah syarikat. Untung bersih adalah revenue tolak kos-kos lain seperti gaji pekerja, sewa pejabat, belanja pengiklanan, atau cukai.

Sama seperti revenue, syarikat yang mempunyai peningkatan profit dari tahun ke tahun adalah syarikat yang menunjukkan prestasi yang baik. Ini menunjukkan syarikat tersebut bijak dalam menguruskan kos operasi.

Sumber: Bursa Malaysia

3. Asset (Aset)

Asset adalah sumber sesebuah syarikat. Ianya adalah apa-apa sahaja yang dimiliki syarikat yang boleh menghasilkan nilai ekonomi kepada sesebuah syarikat sama ada aset tetap iaitu rumah, tanah atau aset semasa seperti tunai.

Syarikat yang mempunyai aset yang banyak berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan dan memberi pulangan yang terbaik kepada para pelabur.

4. Liability (Liabiliti)

Liability adalah hutang yang dimiliki oleh sesebuah syarikat. Contohnya adalah seperti pinjaman, bon, dan perbelanjaan terakru (yang masih belum dibayar).

Syarikat yang mempunyai liability yang banyak tidak semestinya tidak bagus kerana mungkin syarikat meminjam bertujuan untuk mengembangkan lagi perniagaan bagi menjana keuntungan.

Tetapi adalah lebih baik jika liability tidak meningkat dari tahun ke tahun kerana ia menunjukkan syarikat tersebut tidak bijak dalam menguruskan operasi syarikat.

5. Equity (Ekuiti)

Equity adalah pelaburan syarikat dalam perniagaan iaitu modal yang dilaburkan dan untung/rugi dalam aktiviti perniagaan. Keuntungan akan meningkatkan equity manakala kerugian akan mengurangkan equity.

Jadi syarikat yang mempunyai equity yang meningkat dari tahun ke tahun adalah syarikat yang berpotensi untuk menjana keuntungan. Formula equity adalah (Asset – Liability).

Sekarang sudah tahu bagaimana untuk membaca penyata kewangan?

Selamat berjaya dalam kajian untuk membuat pelaburan saham. Penyata kewangan ni biasanya kita dapati dalam Bahasa Inggeris. Tak kira bahasa apa pun, yang penting kita tahu bagaimana menggunakan penyata kewangan untuk mengkaji kaunter yang berpotensi.

Ditulis Oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Iklan


Iklan



Source link