Artikel Terkini

5 Sebab Kenapa Kita Perlu Ambil Hibah Takaful


Hibah takaful? Apa itu? Kita selalu dengar tapi tak berapa faham maksudnya.

Hibah takaful adalah hibah bersyarat di mana waris akan mendapat pampasan apabila penyumbang telah meninggal dunia. Hibah takaful boleh dikatakan aset mudah cair yang boleh digunakan untuk pelbagai keperluan seperti melangsaikan hutang si mati, menyara anak-anak yang masih kecil, atau suri rumah yang tidak bekerja.

Pampasan hibah takaful boleh diperolehi dalam tempoh sebulan berbanding proses pengurusan harta pusaka yang memakan masa sekurang-kurangnya 3 bulan. Pengendali takaful juga semakin mempelbagaikan produk yang berkaitan dengan hibah takaful bagi menarik minat masyarakat memilih produk mereka.

Berikut disenaraikan 5 sebab kenapa kita perlu mengambil hibah takaful:

1. Penggantian Pendapatan

Dalam era yang mencabar dengan peningkatan kos sara hidup, jika kita membuat simpanan RM50 sebulan, simpanan setahun akan berjumlah RM600. Dalam tempoh 5 tahun, simpanan terkumpul berjumlah RM3,000.

Apa jadi jika kita meninggal dunia dalam tempoh 5 tahun tersebut? Kita hanya akan dapat meninggalkan waris kita iaitu anak dan isteri sebanyak RM3,000.

Dengan hibah takaful, sumbangan RM80 membolehkan kita meninggalkan waris sehingga RM200,000. Banyak perbezaannya bukan?

Walaubagaimanapun, nilai sumbangan masih bergantung kepada umur, keadaan kesihatan, dan produk yang ditawarkan oleh pengendali takaful masing-masing.

2. Penyelesaian Hutang

Apabila seseorang meninggal dunia, segala hutang piutang perlu dijelaskan oleh waris. Dengan hibah takaful, waris dapat menggunakan sumber tersebut untuk menjelaskan hutang si mati.

Sekurang-kurangnya, kita tidak membebankan waris untuk menyelesaikan hutang apabila telah meninggal dunia nanti. Jika hutang RM100 mungkin boleh dilangsaikan, tetapi bagaimana kalau hutang RM10,000 atau RM100,000?

Pening juga waris nak melangsaikannya.

3. Penerima Mutlak

Hibah takaful ini adalah hadiah kita kepada waris atau orang tersayang. Jadi tiada siapa boleh pertikaikannya. Penerima hibah adalah pemilik mutlak hibah tersebut.

Jika buat hibah takaful, amat digalakkan memberitahu penerima hibah supaya penerima tersebut tahu apa nak buat apabila berlakunya kematian.

4. Tiada Kos

Dengan hibah takaful, tiada kos guaman yang terlibat. Waris tidak perlu mengupah peguam atau pihak ketiga untuk menguruskannya. Nilai hibah tersebut juga akan diberikan seratus peratus kepada penerima.

Jika hibah RM200,000, nilai tersebut yang akan waris akan dapat tanpa sebarang penolakan. Ada juga sesetengah pengendali takaful yang memberikan tambahan khairat kematian.

5. Tuntutan Pantas

Seperti yang telah dinyatakan di atas, proses tuntutan hibah takaful boleh dibuat dalam tempoh sebulan sahaja. Bayangkan seorang suri rumah yang kehilangan suami secara tiba-tiba, mana nak cari duit untuk menyara hidup?

Anak-anak kecil memerlukan lampin, susu dan yuran sekolah. Di sinilah bergunanya hibah takaful. Jika waris ingin mencari pekerjaan pun, sudah tentu akan mengambil sedikit masa.

Sekurang-kurangnya dengan hibah takaful tersebut, bolehlah waris menyara keluarga tanpa sebarang tekanan.

Kesimpulannya, hibah takaful adalah berperanan untuk melindungi waris kita apabila kehilangan orang utama dalam keluarga. Tapi awas apabila membuat hibah takaful, pastikan penerima adalah penerima mutlak bukannya wasi.

Jika hanya wasi, pampasan masih perlu diagihkan mengikut faraid. Sebelum mengambil apa-apa jenis takaful, pastikan aliran tunai kita positif dan sumbangan yang dibuat adalah mengikut kemampuan masing-masing.

Sentiasa ingat takaful adalah komitmen jangka panjang. Bukan untuk setahun atau dua tahun. Tak guna ambil takaful yang mahal, tetapi akhirnya sumbangan tidak dibuat dan polisi dibatalkan.

Bagi yang mempunyai bajet, amat digalakkan mengambil hibah takaful. Lindungi diri sendiri dan keluarga seperti mana kita melindungi kereta dan motosikal kita.

Ditulis Oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh Dihubungi Melalui Emel [email protected]

Iklan


Iklan



Source link