Artikel Terkini

5 Sebab Mengapa Kita Perlu Ambil Takaful Sebaik Dapat Gaji Pertama


Sekarang ni seakan menjadi trend, apabila graduan menamatkan pengajian dan mendapat pekerjaan; perkara wajib yang akan dibuat adalah membeli kereta.

Ya, tak berdosa pun beli kereta, tetapi sebenarnya selepas melangkah masuk ke alam pekerjaan, amat digalakkan untuk mengambil polisi takaful terlebih dahulu.

Bayaran polisi adalah bergantung kepada kemampuan masing-masing, tetapkan bajet sendiri dan jangan ikut cakap ejen sangat.

Ejen hanya memberi nasihat tetapi yang membuat keputusan dan membuat bayaran adalah diri kita sendiri. Polisi boleh di’upgrade’ dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian.

Di sini disenaraikan 5 sebab apa perlu mengambil polisi takaful seawal yang mungkin:

1. Murah

Asasnya, polisi takaful yang diambil pada usia 23 tahun adalah lebih murah berbanding jika ianya diambil pada usia 33 tahun. Murah bermaksud kita membayar pada nilai yang sama tetapi manfaat berbeza.

Contohnya, pada usia 23 tahun kita mengambil polisi dengan bayaran bulanan sebanyak RM150 dengan manfaat perubatan sebanyak RM1,000,000.

Pada usia 33 tahun dengan bayaran bulanan yang sama, manfaat yang diterima hanyalah RM750,000.

2. Tempoh Menunggu

Setiap polisi ada tempoh menunggu, kebiasaannya 3 bulan hingga 6 bulan (bergantung pada polisi masing-masing). Sebagai contoh, apabila kita mengambil polisi takaful pada hari ini, kita masih tidak boleh membuat tuntutan jika ditimpa musibah keesokan harinya.

Ini yang dimaksudkan dengan tempoh menunggu. Oleh itu, adalah lebih baik mengambil polisi takaful seawal mungkin kerana sekurang-kurangnya kita telah melepasi tempoh menunggu.

Kita tidak tahu bila kita akan sakit, mungkin hari ini, esok, atau bila-bila sahaja.

3. Perlindungan Komprehensif

Apabila umur meningkat, kemungkinan kita diserang penyakit adalah lebih tinggi. Kemungkinan ada sesetengah jenis penyakit tidak boleh dimasukkan dalam polisi takaful.

Semasa lebih muda dan sihat, kita mempunyai banyak pilihan untuk memilih polisi yang terbaik.

4. Sediakan Payung Sebelum Hujan

Musibah akan berlaku pada bila-bila masa sahaja. Kita boleh sakit semasa muda atau tua. Lebih-lebih lagi dengan faktor gaya hidup sekarang yang terdedah dengan penyakit seperti pemakanan ‘fast food atau terdedah dengan pencemaran udara.

Bagi kita yang bekerja makan gaji dan faedah perubatan ditanggung pihak syarikat, kita juga tidak tahu sampai bila kita boleh bekerja. Jika sudah tidak bekerja lagi, kita tidak lagi dilindungi.

Sebaiknya ambil polisi takaful, sekurang-kurangnya kita telah bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.

5. Faedah Tanpa Tuntutan

Kebanyakan polisi menawarkan faedah jika tiada sebarang tuntutan dalam tempoh tertentu. Contohnya, elaun harian jika kita dimasukkan ke hospital adalah sebanyak RM200, tetapi jika tiada sebarang tuntutan dalam tempoh 3 tahun; manfaat elaun harian akan dinaikkan kepada RM250.

Oleh itu, manfaatkan masa muda anda kerana risiko untuk ditimpa penyakit adalah lebih rendah. Apa-apa pun info yang diberikan di atas hanyalah contoh secara am sahaja.

Untuk dapatkan maklumat yang lebih terperinci, boleh hubungi ejen takaful atau perancang kewangan berlesen.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh dihubungi melalui emel
[email protected]



Source link