Uncategorized

6 Kategori Kontrak Dalam Perbankan Islam

6 Kategori Kontrak Dalam Perbankan Islam 1


Seperti yang kita sedia maklum, perbezaan di antara Perbankan Islam dan Konvensional adalah terletak pada kontrak. Namun adakah kita betul-betul faham maksud kontrak tersebut?

Di sini disenaraikan 6 kategori kontrak dalam Perbankan Islam yang perlu kita ketahui supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan.

1. Kontrak Berasaskan Jualan

Contoh : Tawarruq

Kontrak jenis ini adalah di antara penjual dan pembeli. Ia dipraktiskan dalam pembiayaan peribadi, kad kredit, dan perumahan.

Definisi : Pelanggan membeli komoditi secara pembayaran tangguh dengan tujuan menjual semula komoditi tersebut dengan harga rendah untuk mendapatkan tunai. Dalam realiti Perbankan Islam, ianya melibatkan empat pihak iaitu pelanggan, pihak bank, penjual dan pembeli komoditi.

2. Kontrak Berasaskan Ekuiti

Contoh : Mudharabah

Kontrak jenis ini adalah di antara pelabur dan pengusaha. Ia dipraktiskan dalam akaun pelaburan.

Definisi : Pelanggan akan melaburkan modal kepada pihak bank, manakala pihak bank pula akan menggunakan modal tersebut dalam perniagaan yang patuh shariah. Keuntungan dan kerugian akan dikongsi secara bersama mengikut nisbah yang telah dipersetujui.

3. Kontrak Berasaskan Sewa Beli

Contoh : Ijarah

Kontrak jenis ini adalah di antara penyewa dan tuan punya aset. Ia dipraktiskan dalam pembiayaan sewa beli kenderaan.

Definisi : Pihak bank akan membeli kenderaan dan pelanggan akan menyewa kenderaan tersebut sehingga satu tempoh yang ditetapkan. Apabila tempoh sewaan telah tamat tempoh dan pelanggan juga membayar secara konsisten, kenderaan tersebut akan menjadi milik pelanggan sepenuhnya.

4. Kontrak Berasaskan Upah

Contoh : Wakalah, Ujrah

Kontrak jenis ini adalah di antara pelanggan dan wakil pelanggan. Ia dipraktiskan dalam Takaful.

Definisi : Pelanggan melantik pengendali Takaful untuk menguruskan wang yang dicarumkan setiap bulan. Pengendali Takaful bertanggungjawab memastikan caruman diuruskan dengan telus dan patuh shariah. Upah akan dikenakan kepada pelanggan bagi perkhidmatan tersebut.

5. Kontrak Berasaskan Jaminan

Contoh : Ar-Rahnu, Takaful, Wadiah

Kontrak jenis ini adalah di antara pelanggan dan pihak yang memberi jaminan. Ia dipraktiskan dalam perniagaan Ar-Rahnu.

Definisi : Pelanggan memajak barang kemas untuk mendapatkan tunai melalui Ar-Rahnu. Pengendali Ar-Rahnu menjamin keselamatan barang kemas tersebut dan akan memulangkan barang kemas tersebut apabila pembiayaan dilunaskan oleh pelanggan dalam tempoh waktu yang
telah dipersetujui.

6. Kontrak Berasaskan Tabarru’

Contoh : Takaful, Waqf, Sedekah

Kontrak jenis ini adalah berkonsepkan derma. Ia dipraktiskan dalam Takaful.

Definisi : Peserta akan mendermakan duit caruman di dalam satu tabung untuk kegunaan peserta yang mengalami kesusahan. Setiap peserta saling menjamin untuk tolong-menolong di antara satu sama lain.

Dengan artikel ini, diharap dapat memupuk kesedaran kita berkenaan kontrak di dalam Perbankan Islam yang membezakannya dengan Perbankan Konvensional.

Wallahu A’lam Bishawab

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Berkelulusan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam
Boleh dihubungi melalui emel azharuladha@gmail.com

6 Kategori Kontrak Dalam Perbankan Islam 2

Komen

komen





Source link