Artikel Terkini

AirAsia lancar pelbagai tawaran di AirAsia.com



KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd meneruskan perjalanannya untuk menjadi platform perjalanan dan gaya hidup paling pesat berkembang di ASEAN dengan pelancaran AirAsia Bundle Deals, melalui platform AirAsia.com.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata pelancaran ini akan mempelbagaikan lagi penawaran kumpulan itu selain menjual tiket penerbangan, perniagaan restoran Santan, platform hotel dan label muzik sendiri Red Records.

“AirAsia telah berkembang pesat daripada menjadi syarikat dengan hanya satu bidang kepakaran,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran itu di sini pada Selasa.

Dengan lebih 100 peniaga bagi AirAsia Bundle Deals di Lembah Klang pada masa ini, katanya ini akan diperluaskan ke bandar-bandar lain dan negara termasuk Pulau Pinang, Singapura, Thailand dan seterusnya mulai tahun depan.

Fernandes berkata pelanggan akan dapat menikmati pelbagai tawaran gaya hidup terdiri daripada makanan dan minuman, kecantikan dan perkhidmatan melalui geo-lokasi bagi pas 90 hari pada hanya RM20, atau dengan hanya 2,500 Mata Ganjaran BIG.

Ketua Pegawai Eksekutif Airasia.com Karen Chan berkata AirAsia Bundle Deals tidak hanya terhad kepada orang ramai yang melayari airasia.com, tetapi dalam fasa seterusnya, ia akan mempunyai penyelesaian ganjaran korporat dan pembelian korporat untuk organisasi yang mahu memberi ganjaran kepada pekerja.

“Kami berbesar hati untuk memperkenalkan satu lagi produk gaya hidup baharu sebagai sebahagian daripada perjalanan kami untuk menjadi jenama gaya hidup.

“Seperti yang dihasratkan oleh AirAsia untuk menjadi bukan hanya sebuah syarikat penerbangan, kami kini menawarkan perjalanan, gaya hidup, logistik, perkhidmatan kewangan dan banyak lagi untuk memenuhi keperluan gaya hidup anda.

“Pelanggan boleh menikmati tawaran seperti potongan rambut, rawatan muka dan tatarias kuku secara percuma dan tawaran beli-1-percuma-1 yang disediakan di lokasi berbeza,” katanya.

Sementara itu, sempena pelancaran tersebut, airasia.com menawarkan promosi 24 jam pada harga RM1 bermula tengah malam ini untuk pembelian AirAsia Bundle Deals. Hanya log masuk ke airasia.com/deals untuk merebut tawaran tersebut.

— BERNAMA





Source link

Related Posts