Uncategorized

Airbnb mahu panduan lebih jelas mengenai cukai pelancongan

Airbnb mahu panduan lebih jelas mengenai cukai pelancongan 1



Airbnb mahu panduan lebih jelas mengenai cukai pelancongan 2

KUALA LUMPUR: Syarikat pembrokeran perkhidmatan hospitaliti dalam talian, Airbnb Inc meminta kerajaan menyediakan panduan lebih jelas ke atas cukai pelancongan bagi perniagaaan seumpama itu.

Pengurus Besar Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan Mike Orgill berkata terdapat beberapa isu mengelirukan pada masa ini termasuk pendaftaran dan kutipan cukai.

“Semua hartanah kami perlu didaftar, namun, terdapat persoalan mengenai prosesnya,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan terkini perniagaan syarikat itu di Malaysia, di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan struktur cukai yang adil adalah perlu untuk memastikan persaingan setara bagi semua peserta industri.

Di bawah struktur semasa, kesemua jenis perkhidmatan di negara ini perlu mengutip cukai pelancongan RM10 untuk satu malam bagi pelancong asing.

Orgill juga mengakui wujud isu pengutipan mengenai sama ada Airbnb perlu mengutip cukai bagi pihak kerajaan atau kerajaan harus mengutip cukai secara terus daripada pemilik hartanah yang disenaraikan di Airbnb.

Beliau berkata ketika ini sebahagian pemilik hartanah mengutip sendiri cukai sebelum diberikan kepada pihak berkuasa.

Orgill berkata operasi Airbnb di Malaysia merekodkan kedatangan 3.25 juta tetamu dalam tempoh 12 bulan lepas, lonjakan 73 peratus berasaskan tahun ke tahun.

Kebanyakan pertumbuhan Airbnb di Malaysia disokong oleh pelancong yang ingin merasai pengalaman unik dan asli di peringkat tempatan.

Pada masa ini, Airbnb mempunyai 53,000 penginapan yang tersenarai di Malaysia dan lebih enam bilion lagi di peringkat global.

— BERNAMA





Source link