Uncategorized

“Aku cinta kamu” – Persembahan Bazzi memukau Bazzinators Malaysia

"Aku cinta kamu" - Persembahan Bazzi memukau Bazzinators Malaysia 1



"Aku cinta kamu" - Persembahan Bazzi memukau Bazzinators Malaysia 2

BANGSAR: Persembahan penyanyi urban-pop, Bazzi nyata menggegarkan pentas Malaysia dalam konsert julung kalinya di Malaysia.

Bertempat di The Bee, Publika, konsert jelajah Bazzi ‘Live in Asia 2019’ di Kuala Lumpur merupakan penampilan yang paling dinantikan Bazzinators (nama fandom Bazzi).

Membuka tirai persembahan penyanyi terkenal tersebut adalah lagu iaitu ‘Paradise’ yang mendapat sorakan gemuruh daripada peminatnya.

Lirik yang berbunyi ‘Just let it out, the night has just begun’ cukup signifikan menggambarkan malam yang bakal meninggalkan kenangan yang mempunyai seribu makna.

850 Bazzinator kemudiannya dihiburkan dengan beberapa lagu hit iaitu ‘Gone’, ‘Why’, ‘Star’, ‘Alone’, ‘Honest’ dan ‘Cartier’.

Pastinya lagu yang paling dinanti-nantikan oleh Bazzinators merupakan ‘Beautiful’.

Semua peminat yang hadir pada malam Khamis itu tentunya tidak melepaskan peluang untuk menyanyikan lagu hit tersebut dengan idola kesayangan mereka.

Lagu berlirik ‘Beautiful, beautiful, beautiful, beautiful angel’ tersebut mempunyai versi remix dan merupakan hasil kolaborasi Bazzi bersama-sama penyanyi jelita Amerika British, Camila Cabello.

Bazzi mengambil hati Bazzinators dengan mengucapkan kata-kata manis dalam Bahasa Malaysia.

Dalam sesi ‘ment’ (masa yang diperuntukkan untuk membolehkan penyanyi memperkenalkan diri, bercakap dengan peminat dan menutup konsert), Bazzi bertutur dalam Bahasa Malaysia dan berkata ‘aku cinta kamu’ kepada peminatnya yang tentunya mendapat sorakan gemuruh.

Beliau kemudiannya mendendangkan lagu ‘BRB’ dan cover lagu ‘Sunday Morning’ nyanyian Maroon 5, ‘Hold On We’re Going Home’ nyanyian Drake dan ‘There Goes My Baby’ nyanyian Usher dalam segmen akustik.
Bazzi menukarkan lirik kepada lagu ‘Sunday Morning’ dan meminta peminatnya untuk membantunya menyanyikan lagu tersebut kerana beliau sudah terlupa lirik asal lagu itu.

Bazzi bukan sahaja berjaya tampil dengan persembahan yang penuh bertenaga, penyanyi berketurunan Lebanese-Amerika itu juga mampu mengekalkan vokal yang tinggi sepanjang konsert yang berlangsung selama satu jam itu.

Tidak dilupakan juga lagu-lagu hitnya yang lain seperti ‘Dreams’, ‘Myself’, ‘Caught In The Fire’, ‘Soaring’ dan ‘3:15’ turut dipersembahkan.

Sepanjang konsert berlangsung, Bazzi bijak menggunakan ruang di pentas yang kecil itu untuk berinteraksi bersama-sama peminat dan penonton, bukan sahaja yang berada di tengah pentas.

Sebelum melabuhkan tirai konsert dengan lagu ‘Mine’, Bazzi mengucapkan terima kasih kepada peminatnya atas sokongan yang diberikan kepadanya selama ini.

Tentunya, rata-rata peminat tidak melepaskan peluang untuk menyanyikan lagu buat kali terakhir bersama-sama penyanyi kegemaran mereka itu.

Konsert yang cukup menghiburkan peminat dengan persembahan 18 lagu itu nyata tidak mengecewakan peminat yang hadir malah turut meninggalkan kenangan manis buat mereka.

Konsert jelajah Asia Bazzi ‘Live in Asia 2019’ turut melibatkan enam lokasi yang lain iaitu Singapura, Jakarta, Hong Kong, Taipei, Shanghai dan Manila.





Source link