Artikel Terkini

Alliance Islamic Bank, YaPEIM Jalin Kerjasama Bantu PKS Dan Komuniti B40


Alliance Islamic Bank Berhad (Alliance Islamic Bank) dan Yayasan
Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini menandatangani Memorandum
Persefahaman (MoU) selama tiga tahun untuk memberi peluang kepada pelanggan
Alliance Islamic Bank, yang terdiri daripada perusahaan kecial dan sederhana
(PKS) untuk menjadi pembekal kepada Program FoodBank YaPEIM.

Ekosistem yang saling memberi manfaat kepada kedua pihak ini
menawarkan pilihan pembekal tambahan kepada YaPEIM untuk memperoleh makanan dan
keperluan asas pada kadar kompetitif yang akan disumbangkan kepada komuniti
yang terpinggir. Bagi PKS pula, program ini menawarkan peluang pasaran baharu
untuk mereka menjual produk selain membantu komuniti yang memerlukan. 

“Wabak COVID-19 yang melanda bukan sahaja memberi kesan buruk kepada PKS, malah kepada para individu dan keluarga kategori B40. Kerjasama dengan YaPEIM menyediakan peluang kepada kami untuk memberi kesan positif kepada lebih ramai pihak yang memerlukan, terutamanya komuniti yang kurang bernasib baik dan PKS ketika berdepan dengan keadaan yang mencabar sekarang. YaPEIM dapat menambah senarai vendor bagi memastikan bekalan yang cukup untuk keperluan program FoodBank YaPEIM. Sementara itu, PKS pula mendapat peluang perniagaan dan pemasaran yang baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, En. Rizal IL-Ehzan bin Fadil Azim.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Pn. Parihah
Hasan berkata, “Kami di YaPEIM percaya kerjasama yang dirintis dengan pihak
Alliance Islamic Bank ini akan terus membuka lebih banyak ruang kerjasama dalam
pelbagai bidang strategik terutamanya dalam menyokong pembangunan dan
pemerkasaan usahawan yang mampu bersaing, berdaya tahan dalam situasi ekonomi
semasa.”

YaPEIM hari ini menyampaikan sumbangan kepada
500 penerima dalam bentuk barangan keperluan asas bagi mengurangkan beban
mereka semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat dan sempena bulan Ramadan.
Para penerima terdiri daripada Polis Bantuan Hospital Kuala Lumpur, Projek
Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, PPR Sri Kota, PPR Hiliran Ampang, Sekolah
Agama Rakyat Kafa Integrasi Solahiyyah Damai, Sukarelawan Al Rahmah Kuala
Langat, Surau Al Ikhwan Sungai Buluh, Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya
Ampang, Sukarelawan Hospital Sungai Buluh, dan Persatuan Jaringan Islam Global
Masa Depan.

Menerusi MoU ini, kedua-dua pihak akan
bekerjasama menganjurkan pelbagai inisiatif tambahan seperti e-bazaar Ramadan
dan CMASA.my, yang merupakan platform
perdagangan dalam talian YaPEIM. Para PKS yang diperkenalkan oleh AIS akan
disenaraikan pada platform ini sebagai penjual atau pembekal. Kolaborasi ini
merupakan pengembangan strategik program Halal in One oleh Alliance Islamic
Bank yang membantu PKS untuk berjaya dalam pasaran Halal. Langkah ini juga
selaras dengan usaha kumpulan perbankan menerusi kempen #SupportLokal yang
dilancarkan baru-baru ini, bertujuan membantu perniagaan yang terkesan akibat
COVID-19.

Turut dirancang adalah usaha untuk meluaskan
kerjasama merangkumi platform lain seperti Alliance Islamic Bank SocioBiz, sebuah
platform crowdfunding sosial yang membantu individu yang kurang bernasib baik
meningkatkan kualiti hidup mereka dengan mencapai kebebasan kewangan melalui
perniagaan. Bagi membantu enterpris sosial, orang ramai boleh menderma menerusi
www.alliancebank.com.my/sociobiz.

Program FoodBank YaPEIM bertujuan untuk memberi sumbangan kepada
250,000 penerima. Sehingga kini, YaPEIM telah membelanjakan sebanyak
RM1,748,076.85 untuk 76,976 orang penerima dalam bentuk wang tunai, makanan
kering atau sedia untuk dimakan di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan
Sarawak.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kerjasama ini, sila
layari www.alliancebank.com.my atau www.yapeim.my.

Tentang Alliance Islamic Bank Berhad

Alliance
Islamic Bank Berhad (AIS) ialah subsidiari milik penuh Alliance Bank Malaysia
Berhad (Alliance Bank), dan menawarkan pelbagai pilihan produk dan perkhidmatan
patuh Shariah untuk para pengguna dan juga perniagaan.

AIS
merupakan promoter dan penyokong inisiatif yang mewujudkan impak positif kepada
perniagaan, komuniti dan persekitaran.  

Tentang
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM)

Yayasan
Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) adalah sebuah yayasan yang
memainkan fungsi dan peranannya dalam membangun sosioekonomi melalui
pelaksanaan aktiviti Teras Sosial Bisnes, Bisnes dan Pembangunan Sosioekonomi
dan Amal Jariah. Di bawah teras Pembangunan Sosioekonomi dan Amal Jariah,
YaPEIM terus komited dalam menyantuni masyarakat dalam kumpulan B40 dengan
pelaksanaan pelbagai program di bawah Kluster Kebajikan, Keusahawanan dan
Sosioeknonomi.



Source link