Artikel Terkini

Ambil Peluang Perbaiki Kewangan, Buat 3 Perkara Ini


Wabak COVID-19 bukan sahaja telah menjejaskan ekonomi negara, malah meninggalkan kesan mendalam bagi kehidupan masyarakat Malaysia. Namun begitu, kita masih dapat bersyukur kerana pihak kerajaan buat pertama kalinya melaksanakan moratorium bayaran balik pinjaman secara menyeluruh yang sedikit sebanyak telah mengurangkan beban kewangan bagi ramai individu dan ahli perniagaan.

Bak kata pepatah Inggeris, semua perkara yang baik akan berakhir jua, di mana tempoh moratorium sepanjang enam bulan tersebut akan tamat pada 30 September 2020. Yang pastinya, ramai lagi yang akan menghadapi kesukaran untuk menanggung semula pembayaran balik ansuran dan pinjaman.

Perkara ini sememangnya amat merisaukan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang masih terkesan dengan situasi ekonomi pada masa kini di mana sumber pendapatan mereka terjejas akibat pengurangan gaji atau pemberhentian kerja.

Dari sudut pandangan yang berbeza, pengakhiran tempoh moratorium menyeluruh ini menyajikan suatu peluang bagi rakyat Malaysia untuk meneliti semula dan memperbaiki situasi kewangan masing-masing. Ibarat tugas seorang CFO ataupun ketua pegawai kewangan, anda perlu memastikan kedudukan kewangan dan daya ketahanan syarikat apabila hasil pendapatan menjunam, di samping membuat persediaan untuk menghadapi cabaran seterusnya.

Inilah masanya untuk mengkaji komitmen pinjaman dan pembiayaan bulanan, menyelaras bajet perbelanjaan harian dan isirumah berdasarkan kemampuan pendapatan, serta memastikan duit simpanan boleh bertahan untuk jangka masa yang lama.

Pengurusan Pinjaman Secara Efektif

Walaupun moratorium pinjaman tidak akan dilanjutkan, rata-rata semua institusi perbankan di Malaysia sedang bergiat untuk membantu para peminjam yang terkesan dengan wabak COVID-19 menerusi program bantuan pembayaran semula bersasar (targeted repayments assistance).

Contohnya, peminjam yang kehilangan pekerjaan layak memohon bantuan daripada pihak bank di mana moratorium pinjaman boleh dilanjutkan selama tiga bulan, manakala mereka yang mengalami pengurangan gaji boleh menyemak semula syarat pinjaman dan memohon agar pembiayaan bulanan diringankan secara berkadar sekurang-kurangnya enam bulan bermula1 Oktober 2020.

Di samping itu, pihak bank juga menawarkan pelbagai bentuk bantuan berdasarkan produk dan kedudukan semasa peminjam. Bantuan-bantuan ini termasuk pembayaran faedah sahaja (atau keuntungan bagi perbankan Islam) bagi jangka masa tertentu, serta pengurangan ansuran bulanan selaras dengan tempoh pinjaman atau pembiayaan yang dipanjangkan.

Bagi kad kredit pula, baki tunggakan boleh ditukar kepada pinjaman berjangka dengan kadar faedah yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, sekiranya situasi kewangan anda terkesan, sebaik-baiknya elakkan diri daripada melonjakkan lagi penggunaan kad kredit, ataupun menambah hutang yang bertimbun. Keadaan ini hanya akan memudaratkan lagi masalah kewangan anda.

Pihak bank akan cuba sedaya upaya untuk membantu anda meneruskan pembayaran pinjaman. Akan tetapi, anda terlebih dahulu perlu menghubungi pihak bank dan mula berbincang untuk mendapatkan pemahaman yang lebih jelas berkenaan pinjaman anda dan bantuan bersasar yang sedia ada. Selain itu, gambaran situasi kewangan sendiri yang jelas turut akan membantu pihak bank meneliti permohonan anda.

Kekalkan Rekod Kredit Yang Baik

Bantuan pembayaran semula bersasar juga didatangkan dengan satu kelebihan. Menurut Bank Negara Malaysia, skor kredit peminjam dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) tidak akan terjejas sekiranya mereka membuat penstrukturan dan pembiayaan semula pinjaman menerusi program ini.  

Bagi pengetahuan umum, semua pembayaran pinjaman dan tunggakan kad kredit yang lewat akan muncul dalam laporan CCRIS anda. Sistem CCRIS merupakan sebuah pangkalan data yang diuruskan oleh Bank Negara Malaysia ibarat kad laporan situasi kredit anda. Laporan ini boleh dirujuk oleh mana-mana bank apabila anda membuat permohonan bagi produk kewangan.

Pembayaran yang lewat atau secara tidak konsisten akan mengakibatkan rekod buruk dan skor kredit lebih rendah yang mencerminkan imej anda sebagai seorang peminjam. Sekiranya ini berlaku, anda akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kelulusan bagi permohonan produk kewangan kelak nanti.

Dengan adanya pengecualian daripada rekod CCRIS, program bantuan pembayaran semula bersasar merupakan senario ‘win-win’. Sekaligus, anda mendapat tangguhan sementara bagi pembayaran balik pinjaman di samping menjaga rekod kredit yang baik agar dapat dipermudahkan urusan permohonan kad kredit ataupun pinjaman baharu pada masa depan.

Wajar Bertindak Sekarang

Sekiranya anda berasa bakal menghadapi kesulitan untuk menjelaskan komitment pinjaman, anda dinasihatkan untuk merisik bantuan dengan secepat mungkin. Hubungi institusi perbankan anda supaya perkara ini boleh diselesaikan sebelum ansuran bermula dalam bulan Oktober.

Lagipun, proses permohonan bantuan pembayaran semula bersasar sebenarnya boleh dilaksanakan dengan mudah secara dalam talian (online). Anda juga boleh berbincang secara bersemuka di cawangan-cawangan bank di mana beberapa syarikat bank turut dibuka pada hujung minggu bagi memudahkan mereka yang sibuk pada hari bekerja.

Amalan penilaian dan penyelarasan kedudukan kewangan perlu diterap dan diteruskan walaupun selepas era pandemik ini tamat. Kesedaran dan pemahaman situasi kewangan yang teliti akan membantu anda berbelanja dengan sewajarnya di samping mengelakkan diri daripada kehabisan wang.

Sebagai panduan, bagi mereka yang terpaksa menerima potongan gaji, janganlah berbelanja seperti biasa. Pada masa yang sama, terokai pilihan-pilihan yang lain seperti pekerjaan baharu, sumber pendapatan tambahan dan pengurangan perbelanjaan isirumah. Peminjam yang berkemampuan pula patut menunaikan tanggungjawab mereka dan memulakan rutin pembayaran semula supaya tidak menjejaskan industri perbankan negara.

Suraya Zainudin ialah pengasas laman RinggitOhRinggit.com, iaitu sebuah blog panduan pengurusan kewangan peribadi yang popular di kalangan rakyat Malaysia. Untuk maklumat lanjut tentang bantuan pembayaran balik bersasar, layari laman bit.ly/commercialbanks bagi perbankan komersial dan bit.ly/islamicbanks bagi perbankan Islamik.

Iklan


Iklan



Source link