Uncategorized

Ancaman Ketenteraan Oleh Iran dan Bagaimana Selat Hormuz Beri Kesan Lonjakan Harga Minyak Dunia

Ancaman Ketenteraan Oleh Iran dan Bagaimana Selat Hormuz Beri Kesan Lonjakan Harga Minyak Dunia 1


Ketegangan yang memuncak di antara Amerika Syarikat dan Iran telah menolak kos pengeluaran minyak mentah ke paras lebih tinggi berikutan kebimbangan pasaran terjadinya lonjakan harga seperti yang pernah berlaku pada tahun 1970. Peningkatan harga mendadak ketika itu telah mengakibatkan dunia berhadapan dengan kemelesetan ekonomi.

Selat Hormuz yang terletak di antara negara Iran, Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah sebuah laluan terpenting dalam industri minyak mentah dunia, dengan lebih daripada 20% bekalan global dibawa melalui laluan kecil ini. Ianya turut digunakan oleh negara-negara Arab yang lain seperti Iran, Arab Saudi dan UAE.

Laluan yang benar-benar strategik ini menghubungkan pengeluar komoditi hitam di Timur Tengah dengan pasaran dunia. Titik paling sempit di terusan yang berkepaanjangan 280km ini hanyalah 50km lebar. Bagi laluan perkapalan, ia mempunyai dua terusan yang masing-masing berukuran satu batu lebar.

Menurut Energy Information Administration (EIA), sejumlah 21 juta tong minyak dibawa melalui selat ini setiap hari pada tahun 2018. Jumlah ini bersamaan dengan 21% daripada penggunaan minyak dunia, sekaligus menjadikan Selat Hormuz sebagai laluan minyak mentah paling penting di dunia.

Oleh itu, sebarang masalah geopolitik yang membawa
kepada penutupan selat ini boleh menyebabkan masalah besar kepada pasaran
minyak mentah terutamanya aktiviti pembekalan ke pasaran global. Walaupun hanya
ditutup sementara waktu, ia sudah cukup untuk memberi kebimbangan dan
menyebabkan kos penghantaran menjadi mahal sekaligus menolak harga komoditi
hitam lebih tinggi.

Sekatan Ekonomi Terhadap Iran

Ancaman Ketenteraan Oleh Iran dan Bagaimana Selat Hormuz Beri Kesan Lonjakan Harga Minyak Dunia 2

Eksport minyak Iran merosot sebanyak 100,000 tong sehari disebabkan oleh sekatan dan ketegangan yang memuncak dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom. Amerika Syarikat mengenakan semula sekatan terhadap Iran pada November tahun lalu, selepas keluar daripada perjanjian nuklear 2015 dengan Iran.

Kemerosotan bekalan dari Iran yang juga merupakan ahli di dalam Organization of the Petroleum Exporting Countries (OPEC), memberikan kesan yang lebih mendalam terhadap program pemotongan bekalan oleh OPEC. Walaubagaimanapun, harga minyak mentah merosot sejak akhir-akhir ini ke paras $64 USD setong berbanding paras tertinggi yang dicapai tahun ini iaitu $75 USD setong, berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi global.

Walaupun
berhadapan dengan sekatan, ia tidak menghalang Iran daripada membekalkan
minyaknya ke China. China adalah pengimport terbesar minyak dari Iran dengan
174,000 tong sehari dihantar pada bulan Jun 2019. Ia meningkat secara
signifikan pada bulan Julai ke paras 360,000 tong sehari.

Ketegangan Iran-Amerika Syarikat

Ancaman Ketenteraan Oleh Iran dan Bagaimana Selat Hormuz Beri Kesan Lonjakan Harga Minyak Dunia 3

Wilayah Teluk yang bergolak sejak beberapa bulan lalu, dilihat dapat mengancam laluan perkapalan yang membawa minyak mentah di Selat Hormuz. Enam kapal tangki minyak dan satu pesawat dron pengintip Amerika Syarikat diserang sejak bulan Mei, berikutan ketegangan yang semakin memuncak di antara Amerika Syarikat dan Iran.

Serangan tersebut telah membawa kedua-dua negara semakin hampir kepada peperangan pada bulan Jun yang lalu, apabila Presiden Donald Trump menarik balik arahan serangan balas terhadap Iran pada saat-saat akhir selepas Iran menembak jatuh pesawat dron tersebut. Ia seterusnya diikuti dengan serangan terhadap dua kapal tangki di kawasan perairan Oman oleh penyerang yang tidak dapat dikenalpasti.

Washington menuduh Iran melakukan serangan terhadap empat kapal tangki di kawasan yang sama pada 12 Mei 2019. Walaubagaimanapun, ia dinafikan oleh Iran.

Sekiranya tercetus konflik Amerika Syarikat – Iran, selat ini akan menjadi mangsa percaturan strategik di antara mereka. Kebiruan selat yang menjadi nadi ekonomi dunia ini bakal dicemari kemerahan darah dan kehitaman tumpahan minyak akibat serangan ke atas kapal-kapal pengangkut minyak.

Peperangan sekaligus akan memberi kejutan ekonomi
kepada India, China dan banyak lagi negara lain yang bergantung kepada minyak
mentah dari Timur Tengah.

Kesan Kepada Ekonomi Global

Ancaman Ketenteraan Oleh Iran dan Bagaimana Selat Hormuz Beri Kesan Lonjakan Harga Minyak Dunia 4

Lonjakan harga minyak mentah dan peningkatan kos insurans perkapalan, adalah di antara impak awal yang bakal berlaku jika ketegangan di antara Amerika Syarikat dan Iran membawa kepada peperangan.

Majoriti penganalisa pasaran berpendapat harga minyak mentah bolah mencapai harga $100 USD setong dalam masa yang singkat jika peperangan tercetus. Ada juga di antara pemerhati pasaran melihat komoditi hitam tersebut mampu mencapai harga $150 USD setong jika perang berlangsung untuk tempoh jangka masa yang lama.

Negara seperti India, Jepun dan Korea Selatan pula akan berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak kerana kebergantungan mereka kepada bekalan dari Timur Tengah ini. India contohnya, mengimport lebih daripada 80% minyak mentah yang sebahagian besarnya datang dari Timur Tengah.

Bagi India, setiap 10% kenaikan dalam harga minyak
akan menyebabkan defisit akaun semasa negara itu meningkat sebanyak 0.40%
berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Hal ini dinyatakan sendiri oleh
penganalisa ekonomi di Nomura Holdings, Sonal Varma.

Walaubagaimanapun, kebarangkalian kesan penutupan Selat Hormuz yang dibincangkan pada awal tadi adalah rendah. Amerika Syarikat dan sekutunya cukup bersedia dan sudah bertahun-tahun mempersiapkan diri untuk berhadapan senario seperti ini.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Ancaman Ketenteraan Oleh Iran dan Bagaimana Selat Hormuz Beri Kesan Lonjakan Harga Minyak Dunia 5

Komen

komen





Source link