Artikel Terkini

Apa Sebenarnya Kebebasan Kewangan (Financial Freedom)?


Kita sering risau tentang duit. Kita selalu rasa yang duit kita tak pernah cukup. Bila ada duit, kita perlu bayar hutang setiap bulan.

Kalau diikutkan, banyak lagi perkara lain yang kita nak buat kalau ada duit.

Cukup tak duit kita kalau tiba-tiba berlaku kecemasan?

Pernah buat kira-kira berapa lama kita boleh bertahan jika tiba-tiba kita tidak lagi boleh bekerja? Bil-bil setiap bulan masih nak kena bayar, hutang-hutang pun sama.

Apakah kebebasan kewangan? Boleh ke kita nak capai benda ni?

Kebebasan kewangan dalam erti kata mudah adalah mempunyai mempunyai lebihan duit dan juga simpanan selepas berbelanja.

Bila kita dah tak perlu risau tentang duit, itu dipanggil sebagai kebebasan kewangan (financial freedom).

Bila kita dah tak perlu bekerja keras siang malam semata-mata untuk mencari duit, itu bermakna kita dah mencapai tahap kebebasan kewangan.

Ramai yang salah faham dan merasakan kebebasan kewangan adalah bebas hutang ataupun sudah menyimpan sedikit duit untuk masa depan.

Bebas dari hutang adalah permulaan yang baik untuk mencapai kebebasan kewangan.

Orang yang mempunyai kebebasan kewangan sudah tidak perlu bekerja? Tidak semestinya. Mereka mempunyai banyak cara lain untuk menjana wang selain bekerja. Kalau tak bekerja setiap hari pun masih boleh dapat duit. Mereka yang dah sampai level ini masih bekerja sebab memang suka dan bukannya bekerja secara terpaksa untuk mendapatkan duit.

Satu lagi salah faham tentang kebebasan kewangan adalah orang kaya adalah orang yang mempunyai kebebasan kewangan.

Ada orang kaya yang tidak mempunyai kebebasan kewangan dan ada orang yang tidak kaya mempunyai kebebasan kewangan.

Sebagai contoh, ada orang yang sudah kaya bekerja lebih keras dan meluangkan masa yang banyak untuk mencari lebih banyak duit. Akhirnya, badan sudah mula sakit dan perlu berehat dan seterusnya tidak mempunyai banyak masa untuk menikmati duitnya.

Manakala, orang biasa pula apabila mempunyai wang yang cukup banyak, bijak melakukan pelaburan dan akan mendapatkan aliran tunai yang takkan putus.

Dalam kedua-dua kes ini, kita boleh lihat keduanya boleh dianggap kaya pada suatu tahap, tetapi hanya seorang sahaja yang mencapai kebebasan kewangan.

Kebebasan kewangan penting kerana ia memberi jaminan untuk kita pada masa depan. Kita tidak perlu risau kalau kita tiba-tiba tidak bekerja, ataupun mempunyai urusan kecemasan yang memerlukan wang.

Ini bermaksud kita mestilah mempunyai pelaburan dan pendapatan pasif untuk memastikan kelangsungan hidup.

Adakah ia mustahil atau boleh dicapai?

Sebenarnya, boleh. Individu yang sudah mencapai tahap kebebasan kewangan ini rata-rata bermula dengan sedikit pengorbanan mencari duit lebih pada peringkat awal.

Maksudnya, melakukan lebih daripada satu pekerjaan untuk mencari “side income”.

Bila dah ada duit lebih sedikit, mahu atau tidak kita perlu mulakan pelaburan seperti terlibat dalam pasaran saham atau hartanah untuk mengembangkan duit tadi.

Baca Kita Tak Akan Jadi Kaya Dengan Hanya Menabung.

Kesimpulannya, kebebasan kewangan sangat penting.

Pada awalnya, memang agak sukar dan kita perlu bekerja keras untuk membayar hutang dan membuat simpanan.

Kita juga mungkin perlu menolak pelawaan rakan-rakan yang mengajak kita keluar untuk lepak dan sebagainya. Kita perlu menetapkan matlamat untuk memberi motivasi kepada kita.

Contohnya, untuk bersara awal ataupun mempunyai wang untuk melancong mengelilingi Eropah pada masa lapang. Proses ini bukanlah “skim cepat kaya” dan ia mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk mengubah kehidupan kita.

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan.

Sumber Rujukan: https://wellbalancedwallet.com/financial-freedom/



Source link