Artikel Terkini

Apakah Itu Hiperinflasi? Bagaimana Ianya Berlaku Dan Apakah Kesannya?

bill gates - Apakah Itu Hiperinflasi? Bagaimana Ianya Berlaku Dan Apakah Kesannya?


Anda pasti
pernah mendengar tentang inflasi kan? Inflasi bermaksud kenaikan harga barang.
Ini adalah fenomena biasa yang dialami oleh negara-negara di serata dunia yang
berlaku akibat permintaan yang tinggi (demand) dan kekurangan bekalan (supply).

Secara
amnya, semua negara mahukan kadar inflasi yang rendah dan stabil, kerana ia
akan memudahkan untuk menetapkan polisi kewangan yang baik. Jadi tidak
hairanlah sekiranya kebanyakan bank pusat contohnya US Federal Reserve dan Bank
Negara Malaysia mengawasi keadaan inflasi secara ketat.

Bayangkan
kalau harga barang sekejap naik 10%, sekejap naik 30%, sekejap  turun 20%. Kalau anda seorang peniaga, anda
nak letak harga barang pun pening kalau macam ini.

Tapi wujud
sejenis inflasi yang jauh lebih tinggi dari biasa, iaitu hiperinflasi. Hiperinflasi
boleh dikatakan berlaku sekiranya kadar inflasi sesuatu negara melebihi 50%
pada bulan tersebut. Mungkin untuk seekor ayam, seseorang perlu membayar harga RM7
sekilo sekarang, tapi dalam situasi hiperinflasi, ianya akan menjadi RM10.50
sekilo (naik 50%) ataupun lebih dalam masa hanya sebulan.

Contoh
negara yang pernah mengalami hiperinflasi termasuklah Bolivia, Germany, China,
Venezuela, Tanah Melayu dan banyak lagi.

Carta 1:
Hiperinflasi di Venezuela pada tahun 2018 yang hampir mencecah 1,000,000%

Kredit: Statista
Kredit: Statista

Bagaimanakah Hiperinflasi Berlaku?

1. Mencetak Wang Dengan Terlalu Cepat

Apabila
kegawatan ekonomi berlanjutan terlalu lama, salah satu tindakan yang diambil
oleh sesebuah bank pusat ialah mencetak wang. Lambakan wang di dalam sistem ini
kemudiannya membuatkan nilai wang tersebut susut buat sementara. Akibat lambakan
wang di dalam sistem, bank-bank akan berusaha untuk meminjamkannya kepada
sesiapa sahaja dengan kadar yang rendah dan menarik.

Secara
teorinya, dengan kadar faedah yang begitu rendah, lebih ramai orang ataupun
syarikat akan melakukan pinjaman dan mula berbelanja, lalu memacu semula
ekonomi yang telah perlahan untuk menjadi lebih pesat. Maka, kesusutan nilai wang
sementara ini tidak mengapa asalkan ianya diikuti dengan pemulihan ekonomi yang
akan membuatkan nilai matawang tersebut naik semula.

Namun,
sekiranya ekonomi tidak pulih dan bank pusat terus mencetak wang secara
agresif, nilai wang tersebut akan merosot dengan cepat dan membawa kepada
hiperinflasi.

2. Hilangnya Keyakinan Terhadap Nilai Matawang

Punca
hilangnya keyakinan terhadap nilai matawang boleh datang dari pelbagai sumber.
Contohnya kegagalan sesebuah kerajaan untuk mentadbir dan menguruskan dana
negara, kelemahan dalam pengurusan polisi kewangan, atau kekalahan dalam
peperangan.

Oleh
kerana hilangnya keyakinan terhadap masa hadapan ekonomi negara tersebut, ramai
orang bertindak menjual matawang negara itu yang akhirnya menyebabkan nilainya
jatuh secara mendadak.

Kesan Hiperinflasi

1. Kuasa Membeli Berkurangan

Disebabkan
harga barang semakin tinggi dan kenaikan gaji yang tidak setaraf dengan
kenaikan harga barang, pembeli akan hilang sebahagian kuasa membeli.

2. Ketamakan (Hoarding)

Disebabkan
nilai matawang yang semakin jatuh, kebanyakan orang menjadi tidak suka untuk
memegang wang. Mereka akan cepat-cepat membeli barang yang diyakini tidak akan
jatuh nilai contohnya komoditi seperti emas dan bahan makanan. Mereka membeli
emas kerana nilainya lebih stabil dalam tukaran matawang asing lain dan membeli
bahan keperluan seharian kerana harganya akan terus naik.

Tingkahlaku
tamak ini menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk kerana harga barang akan naik
secara lebih mendadak akibat permintaan yang terlalu tinggi.

3. Bank Kekurangan Wang Deposit (Bank Run)

Disebabkan
keengganan untuk memegang wang jugalah bank mengalami masalah untuk mendapatkan
deposit. Orang ramai akan mengeluarkan semua wang mereka untuk membeli barangseperti makanan, menyebabkan bank kekeringan wang dan gagal memulangkan
deposit.

Ini adalah
kerana wang pendeposit yang diambil oleh bank telah dipinjamkan kepada
syarikat-syarikat dan individu lain untuk menjana keuntungan. Bank tentunya
tidak dapat memulangkan semula duit pendeposit sekiranya kesemua pendeposit
meminta semula wang mereka secara serentak. Ini dipanggil masalah kecairan
(liquidity).

4. Penggunaan Matawang Asing Dan Sistem Barter

Oleh sebab
tidak yakin dengan matawang negara sendiri, kerajaan dan rakyat mungkin akan
memilih untuk menggunakan matawang asing yang lebih stabil. Selain itu, ada
juga kemungkinan sistem matawang negara tersebut akan digantikan dengan logam
berharga seperti emas ataupun perak.

Tidak
kurang juga yang menggunakan sistem barter iaitu menukarkan sesuatu barang
dengan barang lain yang sama atau lebih kurang nilainya. Contohnya, menukarkan
seguni beras dengan dua ekor ayam. Yang penting, kedua-dua pihak bersetuju
untuk melakukan transaksi tersebut.

Ditulis oleh Mohd Zulazam. Beliau merupakan seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian:
Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak
mewakili pandangan rasmi mana-mana organisasi.

Banner 1000x300 02 hi home - Apakah Itu Hiperinflasi? Bagaimana Ianya Berlaku Dan Apakah Kesannya?

Ads 300x250 b2 - Apakah Itu Hiperinflasi? Bagaimana Ianya Berlaku Dan Apakah Kesannya?

Komen

komen





Source link