Artikel Terkini

Apakah Itu ‘Porter’s Five Forces?’


Istilah yang dimaksudkan ini adalah baru, mesti ramai yang tak pernah dengar kan? Jom kita ambil tahu mengenainya dan kelebihannya.

Digunakan Untuk Menilai Persaingan Dalam Industri

Biasa dengar SWOT Analysis? PEST Analysis? Terdapat beberapa persamaan dan juga perbezaan di antara mereka ni.

Porter’s Five Forces adalah kaedah penilaian persaingan dalam industri, yang telah dibangunkan oleh Michael Porter pada tahun 1980. Memang baru jugalah.

Dengan kaedah ini, kita boleh menilai persaingan dengan menggunakan lima faktor. Kita boleh mengetahui bagaimana setiap faktor mempengaruhi kita, kekuatan setiap faktor, dan bagaimana kita boleh meningkatkan dan mengekalkan keuntungan dalam industri.

Kita juga boleh menjawab pelbagai pertanyaan seperti:

  • Bagaimanakah tahap kekuatan persaingan di dalam industri sekarang?
  • Masih bolehkah kita hendak menjana keuntungan yang positif dengan persaingan yang semakin sengit?
  • Adakah faktor-faktor ini boleh mengurangkan keuntungan kita?

Jom kita sama-sama tengok apa sebenarnya Porter’s Five Forces ini.

1. Ancaman Pendatang Baru Dalam Industri

Apabila sesuatu industri sukar untuk dimasuki atau dalam erti kata lain mempunyai kos dan modal yang tinggi untuk memulakan perniagaan, pastinya mempunyai kurang jumlah penjual. Industri tersebut mungkin memerlukan kos seperti R&D, kos bahan mentah yang mahal atau pun tenaga kerja yang mahir.

Bilangan penjual yang kurang akan menyebabkan persaingan menjadi kurang sengit. Sebagai contoh, industri automotif masih boleh bertahan kerana kenderaan yang ditawarkan tidak sama di antara setiap pengeluar.

Namun, sejak pengguna semakin ramai yang beralih ke tenaga yang boleh diperbaharui atau ‘tenaga hijau’, muncul pula pesaing baru yang hebat seperti Tesla.

2. Ancaman Barang-Barang Pengganti

Untuk para penjual yang barang jualannya mempunyai banyak barang pengganti (substitutes), persaingan pastinya lebih terasa. Barang jualan kita boleh digantikan pada bila-bila masa atau mempunyai kos gantian yang murah.

Pastinya lebih sukar untuk kita menaikkan harga barang.

Ini berbeza dengan mereka yang mengeluarkan barangan premium atau pun sukar untuk diganti. Para peniaga boleh menaikkan harga sesuka hati untuk mendapat keuntungan yang lebih, disebabkan kurangnya persaingan.

3. Kuasa Menawar Pembeli

Pembeli akan mempunyai kuasa menawar yang tinggi apabila kita mempunyai kurang pelanggan. Mereka akan meminta untuk mengurangkan harga apabila membeli.

Mereka juga akan tawar-menawar apabila membeli dalam kuantiti yang banyak. Apabila pembeli meminta pengurangan harga yang terlalu banyak, semakin kuranglah keuntungan peniaga.

Tetapi, ada segelintir pembeli yang masih membeli walaupun harga mahal kerana mereka merupakan pengguna setia untuk jenama tersebut. Syarikat yang mempunyai ramai pengikut setia adalah seperti Apple.

4. Kuasa Menawar Pembekal

Bagi pembekal pula, semakin ramai pembekal yang boleh membekalkan barang yang sama, kuasa mereka untuk menaikkan harga akan menurun. Ini adalah kerana penjual boleh mendapatkan bekalan daripada pembekal yang lain, jika mereka meletakkan harga yang terlalu tinggi.

Kebiasaanya, para pembekal akan menaikkan harga apabila tiada produk alternatif, kurang pembekal atau pun kos yang tinggi untuk mencari pembekal yang lain.

5. Persaingan Sedia Ada

Jika terdapat ramai penjual dalam sesuatu industri, persaingan akan menjadi lebih sengit. Kita tidak boleh hendak meletakkan harga sembarangan kerana pelanggan mempunyai banyak pilihan.

Persaingan sebegini akan berlaku apabila saiz perniagaan adalah sama besar, menjual barangan yang sama, mempunyai strategi perniagaan yang lebih kurang sama dan sukar untuk keluar daripada industri.

Kesimpulannya, semakin kuat “forces” ini dalam industri, semakin kurang menarik industri tersebut untuk diterokai.  Ini akan menyebabkan kita menjana keuntungan yang rendah atau lebih teruk lagi mengalami kerugian.

Kaedah ini bukan sahaja membantu untuk mengukur ancaman yang ada dalam industri, tetapi juga membantu kita memikirkan strategi perniagaan.

Keadaan industri yang terbaik untuk kita memperoleh keuntungan yang tinggi menurut kaedah ini adalah:

  • Kesukaran yang tinggi untuk masuk ke dalam industri
  • Kurangnya barang pengganti
  • Kuasa menawar yang lemah daripada pembeli dan pembekal
  • Persaingan di antara peniaga sedia ada yang minimum

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan.

Sumber Rujukan: https://www.visual-paradigm.com/guide/strategic-analysis/what-is-five-forces-analysis/



Source link