Artikel Terkini

Aplikasi Sarawak Travel: Terokai Sarawak di hujung jari


KUCHING: Bagi anda yang merancang untuk berkunjung ke Sarawak, perjalanan anda nanti pasti lebih mudah dengan adanya aplikasi Sarawak Travel.

Aplikasi itu dibangunkan sebagai panduan perjalanan untuk pelancong di Sarawak dan pastinya mereka boleh mendapatkan maklumat latar belakang sesuatu tempat yang ingin dikunjungi beserta lokasi dan maklumat untuk dihubungi.

Malah, para pelancong juga boleh merancang perjalanan berpakej dengan membuat tempahan daripada agensi pelancongan berdaftar.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dengan adanya aplikasi itu pastinya ia mudah untuk memasarkan produk pelancongan di negeri itu.

Untuk itu, ujarnya kandungan di dalam aplikasi perlu menarik untuk terus memikat pelancong berkunjung ke Sarawak.

Ini merupakan aplikasi Sarawak Travel yang dibangunkan kerajaan negeri Sarawak.

“Untuk memberi pengalaman berbeza, kita perlu menggunakan apa yang kita panggil Virtual Reality (VR), realiti maya dan Augmented Reality.

“Seterusnya apa yang kita perlukan sekarang adalah memudahkan pelancong untuk membuat tempahan bagi perjalanan berpakej. 

“Panorama atau lokasi yang hendak dituju ada dimuat naik secara maya di dalam aplikasi itu sebelum diterjemah secara nyata apabila tiba di lokasi sebenar,” ujarnya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Sarawak Travel App and Portal di Kuching pada Rabu.

Tambahnya lagi, bagi memudahkan proses membuat tempahan, aplikasi itu juga perlu menyediakan pembayaran atas talian.

Ini merupakan antara ciri-ciri yang ada dalam aplikasi Sarawak Travel.

Manakala Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan inisiatif ini dilihat mampu membantu melonjakkan sektor pelancongan negeri.

“Melalui aplikasi perjalanan ini, pelancong akan dapat melihat pemandangan Kampung Budaya Sarawak, Fort Margherita, Rumah Mahkamah Lama atau tempat menarik lain di Sarawak, mereka juga boleh melihat imej panorama 360 darjah tarikan tempatan seperti Kuching Waterfront.”

Aplikasi Sarawak Travel dibangunkan hasil usahasama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan pasukan dari Pusat Penyelidikan Inovasi dan Enterprise dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).





Source link