Uncategorized

Art Expo Malaysia semakin diterima masyarakat


KUALA LUMPUR: Kualiti karya yang dipamerkan oleh galeri-galeri yang menyertai Art Expo Malaysia 2019 bertambah baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pengasas bersama dan pengarah pameran, Sim Pojinn menjelaskan fenomena itu menunjukkan pasaran seni di Malaysia amat baik.

Pojinn juga menjelaskan Art Expo kali ini menunjukkan peningkatan dari segi pengkhususan seni menerusi galeri-galeri Asia Tenggara.

Jelas beliau, Art Expo tahun-tahun sebelum ini tidak mempunyai pengkhususan yang jelas biarpun mempunyai zon Asia Tenggara.

Sim Pojinn merupakan pengasas bersama dan pengarah pameran Art Expo Malaysia. - Gambar Astro AWANI

“Macam Asia Tenggara, kita ada makmal Asia Tenggara yang mana di kawasan pintu utama, kita serahkan kepada satu galeri untuk melihat sejauh mana mereka boleh lakukan sesuatu yang menarik.

“Selain itu, kita juga mempunyai apa yang kita namakan South East Asia Art Now, seperti kita ada reruai yang dimiliki oleh Segaris Art Center.

“Kita berbincang dengan pihak Segaris tentang apa yang kita mahukan dan Segaris telah curate sesuatu yang cantik untuk artis-artis Malaysia yang mereka bawa,” katanya kepada Astro AWANI.

Karya yang dipamerkan di reruai Segaris Art Center ketika Art Expo Malaysia 2019. - Gambar Astro AWAN

Selepas 13 tahun penganjuran Art Expo, banyak perubahan yang telah berlaku dari segi penyertaan galeri dan juga kehadiran orang ramai.

“Ketika tahun pertama penganjuran Art Expo ini, hanya dua ribu pengunjung yang hadir tetapi kali ini seramai 25,000 hingga 30,000 pengunjung hadir.

“Ini satu yang baik, sangat menggalakkan dari segi kehadiran pengunjung dan dari segi jualan juga terdapat peningkatan,” katanya lagi.

Antara karya yang dipamerkan di Art Expo Malaysia 2019 yang berlangsung selama tiga hari. - Gambar Astro AWANI

Namun biarpun dilihat sudah berjaya menarik minat ramai pengunjung dan penyertaan galeri, Pojinn berpendapat masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan.

Pojinn menjelaskan pihaknya menganjurkan Art Expo bertujuan untuk memasarkan karya-karya artis tempatan ke peringkat antarabangsa.

Selain itu penganjuran Art Expo ini juga bertujuan untuk mendidik masyarakat untuk menghargai karya-karya artis tempatan.

Antara karya yang dipamerkan di Art Expo Malaysia 2019 yang berlangsung selama tiga hari. - Gambar Astro AWANI

10 tahun pertama penganjuran, ia dibuka secara percuma namun sejak tiga tahun lepas pengunjung dikenakan bayaran yang berpatutan untuk melihat karya-karya yang dipamerkan.

“Sebenarnya kami cuba untuk mendidik masyarakat menghargai seni dan kerana itu untuk 10 tahun pertama ia dibuka secara percuma kepada orang ramai.

“Sejak tiga tahun lepas, kami kenakan bayaran yang berpatutan berbanding pameran seni di negara luar dan sambutan juga menggalakan,” katanya.

Antara karya yang dipamerkan di Art Expo Malaysia 2019 yang berlangsung selama tiga hari. - Gambar Astro AWANI

Antara karya yang dipamerkan di Art Expo Malaysia 2019 yang berlangsung selama tiga hari. - Gambar Astro AWANI

Art Expo Malaysia yang berlangsung dari 11 Oktober lalu dan berakhir hari ini merupakan yang terbesar di Asia Tenggara.

Selain Malaysia dan beberapa galeri dari negara Asia Tenggara seperti Indonesia dan Singapura, terdapat juga penyertaan dari Jepun, Sepanyol, Itali, Amerika Syarikat, Kanada dan Hong Kong.





Source link