Artikel Terkini

ASEAN perlu jadi entiti bersatu bagi raih lebih banyak dari ekonomi China – CARI



KUALA LUMPUR: Kepelbagaian rantaian bekalan telah menempatkan ASEAN di landasan yang baik, tetapi ujian sebenar adalah jika blok itu bersatu, menurut CIMB ASEAN Research Institute (CARI).

CARI berkata data daripada Pentadbiran Umum Kastam China menunjukkan dalam tempoh dua bulan pertama 2020, ASEAN telah mengatasi EU dan menjadi rakan dagang terbesar China.

Perdagangan antara ASEAN dan China dalam tempoh tersebut naik 0.5 peratus tahun ke tahun kepada US$85.3 bilion dalam persekitaran kemerosotan perdagangan dengan kebanyakan negara perdagangan lain berikutan pandemik COVID-19.

“ASEAN telah mencapai kedudukan yang baik semasa pandemik itu,” kata Pengarah Urusan perundingan penyelidikan yang berpusat di Hong Kong, Asia-Analytica, Pauline Loong pada taklimat webinar CARI pada Selasa.

Dalam kenyataan, CARI berkata taklimat bertajuk ‘How can ASEAN Bounce Back: China’s Economic Trajectory and ASEAN the New Abnormal: Navigating the Post-Pandemic World’ adalah sebahagian daripada Siri Pelan Pemulihan Ekonomi COVID-19.

Loong, yang juga felo kanan CARI, berkata walaupun sebelum perang perdagangan AS-China, negara-negara anggota ASEAN telah meraih manfaat daripada perubahan struktur dalam perdagangan antarabangsa “yang telah disegerakan berikutan pandemik itu.”

“Perubahan dalam persepsi risiko di seluruh dunia dan trend yang cepat dalam kepelbagaian rantaian bekalan serta serantau telah menjadikan ASEAN sebagai destinasi pelaburan.

“Bagaimanapun, cabaran jangka panjang ASEAN berjaya menghadapi perubahan tektonik dalam perdagangan, kewangan dan pakatan global.

“Sama ada ia dapat memanfaatkan kekuatannya untuk lebih banyak kelebihan dalam ‘multi-polar world’ terletak pada kesediaan perkumpulan itu untuk bertindak sebagai entiti yang benar-benar bersatu,” katanya.

Beliau turut mengunjurkan peluang kepada pemulihan yang bermakna untuk ekonomi China dalam baki tahun 2020 adalah kecil tetapi 2021 boleh menjadi titik perubahan.

“Tahun 2021 amat penting untuk pemimpin negara itu berikutan ia merupakan ulang tahun penubuhan Parti Komunis China.

“Ia penting kepada kepimpinan untuk memastikan pemulihan ekonomi berjalan lancar dan China akan mempunyai keazaman politik dan dasar untuk mencapai matlamat tersebut,” katanya.

Berbeza dengan beberapa unjuran, Loong percaya walaupun terdapat perbincangan mengenai deglobalisasi, ekonomi dunia akan tetap saling berkaitan.

“Bagaimanapun, bagaimana dunia mula menyambung semula aliran perdagangan akan bergantung kepada pembukaan semula pasaran lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi CARI dan Presiden Kelab Perniagaan ASEAN Tan Sri Dr Munir Majid bersetuju dengan pandangan Loong, terutamanya mengenai keperluan kepada perpaduan ASEAN semasa ekonomi tidak menentu ini.

Beliau berkata prestasi ekonomi serantau yang lebih bersepadu di ASEAN dan Asia Timur adalah penting dalam proses pemulihan.

— BERNAMA





Source link

Related Posts