Uncategorized

#ASEAN52: Apa jadi projek kereta ASEAN?

#ASEAN52: Apa jadi projek kereta ASEAN? 1



#ASEAN52: Apa jadi projek kereta ASEAN? 2

KUALA LUMPUR: Perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China merupakan isu terbesar yang akan terus berlanjutan mendepani 10 negara anggota ASEAN.

Profesor politik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata tindakan kenaikan tarif yang dikenakan oleh kedua-dua buah negara kuasa besar itu secara langsung memberi impak ekonomi kepada ASEAN.

Bagaimanapun, beliau melihat terdapat penyelesaian jangka masa panjang buat negara ASEAN sekiranya sekali lagi berdepan ketegangan ekonomi kuasa besar dunia.

“Semua negara-negara ASEAN meletakkan perang dagang antara AS dan China sebagai isu tersebesar yang mungkin dihadapi oleh negara-negara ini. Ia apabila AS mengenakan perang dagang kerana cuba mengimbangkan perdagangan AS yang sangat tidak seimbang.

“Apabila berlaku keadaan itu, termasuk dinaikkan tarif dan sebagainya, kesannya juga tempias kepada (ekonomi) kita, menjejaskan dagangan.

“Jadi, kita kena cari dan kenal pasti jalan terbaik selain mengambil kesempatan daripada masalah itu untuk tarik pelaburan dan perdagangan, termasuk di Malaysia juga,” katanya kepada Astro AWANI.

Tegasnya, kelompok negara ASEAN perlu inovatif selain menggalakkan perdagangan intra-ASEAN yang akan mengukuhkan ekonomi tatkala berdepan krisis global seperti perang dagang AS-China.

“Urusan ekonomi perlu dirancakkan sebab potensi Asia Tenggara ini amat besar terutama negara-negara yang baru muncul dan semakin berkembang seperti Kemboja.

“Pelabur-pelabur daripada Malaysia boleh melabur ke negara ini dan mendapat pulangan yang lebih baik. Cuma perlu dikenalpasti industri apa yang kukuh bagi setiap negara ASEAN.

“Contohnya sekarang orang bercakap berkenaan keselamatan makanan (food security) di mana pembekal beras paling utama di dunia adalah Asia Tenggara khususnya Thailand dan Vietnam dan ini boleh digunakan untuk menjamin kestabilan makanan di Asia Tenggara,” ujarnya.

Ditanya apakah industri yang terbaik untuk Malaysia, Azizuddin berkata cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk merealisasikan kereta ASEAN merupakan langkah terbaik lantaran Malaysia berpengalaman dalam memajukan industri berat itu.

“Beliau (Tun Mahathir) tahu bahawa, buat apa kita beli kereta daripada Jepun atau Eropah? Kenapa tidak kita hasilkan kereta ASEAN dan jenama kita dan pasarannya agak besar dalam kalangan negara ASEAN.

“Dahulu ada kerjasama Malaysia menerusi Proton dengan Indonesia. Presiden, Joko Widodo ketika itu datang melawat ke Tanjung Malim, tetapi sekarang jadi apa dengan idea itu?

“Idea itu sangat menarik sebab kerjasama antara negara pengeluar produk industri berat seperti kereta dan ia dijual kepada pasaran sedia ada di Asia Tenggara – dengan lebih 600 juta penduduk – akan merancakkan lagi inovasi dan perkembangan ekonomi dalam negara ASEAN,” ujarnya.

Justeru, beliau berpandangan bahawa satu negara satu industri perlu direalisasikan dengan segera seiring cabaran global yang tidak menentu terutama pada masa akan datang.





Source link

Related Posts