Artikel Terkini

Bank pusat India campur tangan elak bank utama muflis



NEW DELHI: Bank pusat India terpaksa campur tangan bagi menyelamatkan sebuah institusi kewangan utama negara itu, Yes Bank Ltd yang sedang bergelut dengan masalah kewangan.

Reserve Bank of India (RBI) telah menggantung operasi Yes Bank dan mengehadkan pengeluaran deposit pada 50,000 rupee (kira-kira RM2,800) untuk setiap akaun sebulan dan menggantikan semua ahli Lembaga Pengarahnya.

Yes Bank juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa firma ekuiti persendirian bagi mendapatkan suntikan modal, namun terbukti gagal setakat ini.

“Kedudukan kewangan Yes Bank Ltd telah mencatat penyusutan ketara berikutan kegagalan mengumpul modal untuk menangani potensi perugian pinjaman dan membawa kepada semakan penurunannya. Ini telah menyebabkan kalangan pelabur menuntut obligasi bon serta pengeluaran deposit atau simpanan,” kata RBI dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bank pusat itu turut memberi jaminan kepada para pendeposit bank itu bahawa kepentingan mereka “akan dilindungi sepenuhnya dan mereka tidak perlu panik.”

Menurut maklumat di laman webnya, Yes Bank yang berpangkalan di Mumbai adalah peminjam persendirian keempat terbesar di India dan mengendalikan sebanyak 1,000 cawangan.

RBI berkata Yes Bank telah “mengalami isu serta amalan tadbir urus yang serius” sejak beberapa tahun lepas.

Ini merupakan krisis perbankan kedua yang melanda India dalam tempoh tujuh bulan.

Pada September lepas, bank pusat itu terpaksa menguatkuasakan sekatan bagi pengeluaran deposit Bank Koperasi Punjab dan Maharashtra (PMC) membabitkan skandal pinjaman.

— BERNAMA





Source link

Related Posts