Artikel Terkini

Battersea Power Station akan guna perkhidmatan dan produk Malaysia



KUALA LUMPUR: Battersea Power Station menyasarkan nilai sehingga RM160.5 juta dan RM213.5 juta dalam produk serta perkhidmatan profesional Malaysia yang akan dipakai dalam fasa projek yang akan datang.

Projek penjanaan semula yang menyaksikan stesen janakuasa arang batu itu bertukar menjadi pembangunan campuran, dimiliki oleh satu konsortium pelabur Malaysia yang terdiri daripada SP Setia Bhd, Sime Darby Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

SP Setia dalam satu kenyataan pada Khamis berkata pasukan Battersea telah bekerjasama rapat dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk mempromosikan pembekalan dari Malaysia terhadap projek di Central London itu dan akan melawat Malaysia tidak lama lagi bagi perbincangan dengan pembekal termasuk sebagai jaminan agar komponen Malaysia dalam skim ini akan terus berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Company Simon Murphy berkata stesen janakuasa itu dan fasa ketiga, yang merangkumi Malaysia Square, adalah keutamaan semasanya memandangkan syarikat sedang bersedia bagi pembukaan kedua-dua tarikan itu pada tahun depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking, yang melawat tapak projek berkenaan pada hujung minggu berkata kerajaan komited untuk memberikan sokongan kepada para peniaga dan pembekal Malaysia supaya produk dan perkhidmatan mereka boleh dieksport ke United Kingdom (UK).

“Projek antarabangsa seperti Battersea Power Station menunjukkan keupayaan kita melalui penggunaan rantaian bekalan Malaysia dalam membina tempat-tempat yang hebat dan saya yakin, ini akan berterusan seiring dengan kemajuan skim itu,” katanya.

Battersea Power Station akan dibuka kepada orang ramai pada 2021 dan ia menjadi tumpuan utama dalam kawasan tapak pembangunan semula seluas 16.99 hektar, yang dijangka akan menyumbang sebanyak lebih kurang GBP20 bilion (GBP1 = RM5.32) kepada ekonomi UK, menyediakan 20,000 pekerjaan baharu dan membantu mewujudkan Stesen Kereta Api Bawah Tanah London Zon 1 yang akan dihubungkan dengan Lanjutan Aliran Utara,

— BERNAMA





Source link

Related Posts