Artikel Terkini

Belum Ada Azam Tahun Baru? Boleh Ambil 10 Idea Ini


Tahun 2019 hampir melabuhkan tirainya. Sudah 10 tahun berlalu sejak krisis kewangan global atau Global Financial Crisis (GFC) berakhir. Wawasan 2020, yang dirasakan seperti amat jauh pada suatu masa dahulu, kini sudah pun digantikan dengan Wawasan 2025.

Begitulah pantasnya masa berlalu!

Seperti biasa, tradisi yang tidak ditinggalkan oleh masyarakat umum menjelang tahun baru ialah menetapkan azam-azam yang ingin dicapai pada tahun tersebut. Sebagai seorang yang bernama Azam, penulis memang tak lepas daripada dijadikan bahan jenaka setiap kali menjelang tahun baru.

Sengih sahajalah.

Walaubagaimanapun,
syabas kepada mereka yang sudah pun menetapkan azam untuk tahun 2020. Walaupun
belum melaksanakannya lagi, langkah perancangan ini masih penting kerana ia
menunjukkan kita ada semangat untuk menjadi seseorang yang lebih baik.

Kepada
yang belum memikirkan atau menetapkan lagi azam, jangan risau kerana masih ada
masa untuk fikir masak-masak. Azam-azam tersebut tidak perlu besar.
Sekecil-kecil azam pun masih baik kerana yang penting ialah kita menjadi insan
lebih baik dari sebelumnya.

Di sini penulis ingin berkongsi beberapa azam yang kita boleh ambil atau sesuaikan dengan situasi kita:

1. Belajar Skil Baru

Kalau kita asyik layan Netflix, kita tak akan maju. Lebih baik masa lapang tersebut digunakan untuk perkara yang lebih berfaedah seperti mempelajari skil atau kemahiran baru. Tak kiralah belajar coding, menulis, bertukang, memasak atau berkebun contohnya.

Selain dapat ilmu, manalah tau hobi baru kita boleh buat income sampingan kan? Banyak kursus online yang boleh didapati secara percuma atau dengan harga yang murah, contohnya Udemy.

2. Memperbaharui Pelan Perbelanjaan

Mungkin pelan perbelanjaan kita sebelum ini tersasar atau sudah banyak berubah. Memang normal perbelanjaan berubah setiap tahun kerana beberapa faktor. Contohnya kita baru mendirikan keluarga, beli rumah, beli kereta, dapat anak, dan sebagainya.

Jadi eloklah kita refresh perbelanjaan bulanan untuk tahun 2020 berdasarkan situasi semasa kita sekarang. Banyak template yang boleh didapati secara online, seperti di sini.

3. ‘Nego’ Kenaikan Gaji

Ini merupakan lagi satu aktiviti wajib apabila setiap kali masuknya tahun baru. Kalau kita buat sedikit kajian, mungkin kita akan dapati bahawa kita layak menerima gaji yang lebih tinggi.

Salah satu rujukan yang kita boleh guna ialah Michael Page 2020 Salary Benchmark. Sekiranya kita sudah lama bekerja di situ dan syarikat enggan memenuhi permintaan kenaikan gaji, mungkin sudah tiba masanya kita move on dan cari pengalaman di tempat baru.

Jangan lupa bayar zakat, semoga dipermudahkan semua urusan kita.

4. Memperbaiki Kualiti Kesihatan

Sebenarnya ramai yang tak sedar bahawa nak memperbaiki kualiti kesihatan taklah susah sangat. Walaupun idealnya kita patut sertakan rutin senaman seperti berjoging dalam jadual mingguan, kita masih boleh lakukan beberapa perkara mudah ini untuk menjadi lebih sihat:

  • Dapatkan tidur yang cukup
  • Kurangkan stres
  • Kurangkan makanan berminyak dan gula
  • Minum air masak secukupnya
  • Banyakkan berpuasa
  • Banyakkan berjalan kaki atau menaiki tangga
  • Menyertai aktiviti setempat seperti gotong-royong atau kerja amal

5. Mengubah Gaya Pemikiran Atau Mentaliti

Gaya pemikiran lebih sukar untuk diubah kerana ia adalah sesuatu yang dipengaruhi oleh cara kita dibesarkan dan juga persekitaran kita. Namun, ia bukanlah alasan untuk kita mengelak dari sentiasa “mengemaskini” gaya pemikiran kita.

Perubahan mentaliti mesti berlaku dahulu sebelum perubahan sikap dan karakter kita berlaku. Di antara mentaliti yang boleh dicontohi:

  • Berhenti mengharap ihsan pihak lain untuk menaikkan tahap kualiti kehidupan kita.
  • Kebersihan sesuatu kawasan adalah tanggungjawab semua orang, bukan hanya tukang bersih.
  • Meneliti pandangan dan pendapat orang lain, bukan memikirkan hanya kita sahaja yang betul.
  • Memeriksa sumber sesuatu perkara atau berita sebelum menyebarkannya.
  • Berfikir sebelum bercakap, dan lebih baik diam dan belajar dahulu sekiranya kita tiada ilmu mengenainya.
  • Jika sesuatu masalah itu boleh diselesaikan, maka selesaikannya. Jika mustahil, maka ia adalah di luar kawalan kita dan kita tidak perlu bimbang atau stres.
  • Sentiasa menimba ilmu pengetahuan walaupun sudah meninggalkan sekolah dan universiti.
  • Buang victim mentality dan berhenti merungut! Kalau tidak suka sesuatu, ambil tindakan untuk mengubah keadaan.

6. Meluangkan Lebih Banyak Masa Dengan Keluarga

Masa yang diluangkan bersama keluarga adalah sangat penting, kerana ia adalah faktor yang menguatkan hubungan kekeluargaan. Keluarga merupakan tulang belakang kita yang membantu kita mengatasi masalah, berkongsi suka dan duka, dan tempat memberi dan menerima kasih sayang.

Di antara cara untuk meluangkan lebih masa dengan keluarga adalah dengan makan bersama sekurang-kurangnya sekali sehari, bersenam bersama, bersiar-siar bersama, kurangkan penggunaan telefon pintar ketika bersama, dan membuat kerja rumah bersama.

7. Pergi Bercuti

Ramai di kalangan kita yang sudah banyak kali bercuti di luar negara tapi tidak pernah menjejakkan kaki ke negeri-negeri lain di Malaysia.

Negeri-negeri di Malaysia juga banyak tarikan yang menarik, terutamanya pulau-pulau indah seperti Pulau Tioman, Pulau Redang, Sipadan dan banyak lagi. Selain harga yang murah dan berbaloi berbanding percutian luar negara, kita juga dapat menyumbang kepada industri pelancongan Malaysia.

Kalau nak juga melancong ke luar negara tanpa menghabiskan duit yang banyak, kita boleh ke Indonesia, Thailand, Vietnam, dan Filipina.

8. Banyakkan Membaca

Membaca adalah salah satu aktiviti yang menyeronokkan, mudah, murah, dan bermanfaat. Carilah masa lapang untuk membaca buku, tak kiralah untuk hiburan atau menimba ilmu. Banyak jenis genre yang kita boleh pilih dalam Fiksyen dan Bukan Fiksyen.

Tips: Selangkan satu genre dengan genre yang lain supaya kita terus berminat untuk membaca. Sekiranya kita tidak ada duit untuk beli buku, pinjamlah dari kawan atau perpustakaan. Setakat ini penulis tak pernah dengar lagi orang menolak untuk meminjamkan buku.

Tahukah anda bahawa UNESCO telah menamakan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020?

9. Buang Tabiat Buruk

Manusia memang tak pernah sempurna. Tetapi, ini bukanlah alasan untuk kita tidak memperbaiki diri. Di antara tabiat buruk yang boleh dibuang ialah:

  • Tidak menepati masa
  • Merokok
  • Merokok
  • Merokok
  • Pengotor
  • Melengahkan kerja
  • Malas
  • Mencarut
  • Mengumpat
  • Solat pada akhir waktu

10. Memperbanyakkan Derma Dan Amal Ibadah

Sekiranya kita berjaya melakukan perkara #3 di atas, tidak ada alasan untuk kita tidak lakukan perkara #10 ini. Sepatutnya kita bersyukur apabila diberikan rezeki lebih, dan caranya adalah dengan memperbanyakkan derma dan sentiasa memperbaiki amal ibadah kita.

Selamat
berazam!

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana individu/organisasi. Penulis tidak menerima sebarang bayaran pengiklanan dari mana-mana individu/organisasi yang disebutkan di dalam artikel ini.



Source link