Uncategorized

Berapakah kos menjaga anak anda yang bakal lahir nanti?

Berapakah kos menjaga anak anda yang bakal lahir nanti? 1


Alhamdulillah. Tok nak ucapkan tahniah kat korang yang baru berkahwin.

Maka, bermulalah satu episod baru dalam hidup korang. Tentu korang tak sabar nak menimang cahaya mata sulung, kan?

GH Masterclass

Bukan bidang kuasa Tok dan korang nak merancang rezeki ini. Perancangan Allah S.W.T lebih baik berbanding perancangan kita sendiri. Tok yakin, semua dah sedia maklum tentang perkara ini.

Yang terbaik kita boleh buat adalah merancang kewangan sebaik mungkin, supaya kelahiran anak pertama korang tak hadapi sebarang kesukaran. Yang selebihnya, terus-menerus bergantung dan tawakkal kepada yang Maha Kuasa.

Tok nak kongsikan nukilan Iris Lee kat blog iMoney ini kat korang. Supaya korang boleh bersedia sebaik mungkin untuk menyambut kelahiran anak pertama korang yang comel itu.

Biasanya, ibu yang sedang hamil akan perlukan sesi check-up sebulan sekali. Dan ini akan berubah kepada 2 minggu sekali, bermula dari minggu ke-36 dan seterusnya.

Kalau buat check-up kat hospital swasta sekitar Malaysia, ia menelan belanja sebanyak RM200 setiap kali lawatan.

Jadi, kalau kita campurkan segala kos ini hingga minggu ke-40, kita akan perlukan belanja sebanyak RM2,400 untuk sesi ini.

Tok sertakan cara kiraan kat bawah ini supaya korang lebih jelas:

  • Kiraan setiap bulan sebelum minggu ke-36:
  • RM200 X 9 bulan =
  • RM1,800.

Ini pula kiraan untuk minggu ke-37 dan seterusnya:

  • check-up 2 kali sebulan (hingga tiba masa beranak):
  • RM200 X 3 minggu =
  • RM600.
  • Jadi, total perbelanjaan adalah RM2,400 (RM1,800 + RM600).

Korang boleh cuba tanya pengalaman ahli keluarga yang dah ada pengalaman ini. Dan yang pasti, ramai yang bersetuju dan menjawab kos ini tak murah.

Menurut satu kajian yang Babycenter jalankan, 41% rakyat Malaysia memilih untuk melahirkan anak kat klinik, hospital, atau pusat bersalin swasta.

Kalau korang tergolong dalam kategori yang sama, kos delivery ini boleh telan belanja sekurang-kurangnya RM5,800, termasuk kos duduk kat hospital untuk ibu dan bayi.

Nota tambahan: Ini kos anggaran klinik, hospital, atau pusat bersalin sekitar kawasan Lembah Klang.

Dan kalau nak buat delivery cara Caesarean (kaedah delivery melalui pembedahan), ia pula boleh menelan belanja sekitar RM17,000, atau mungkin lebih lagi.

Bayi korang yang baru lahir itu akan perlukan pemeriksaan secara berkala, serta suntikan imunisasi pada tahun pertama. Jadi, sediakan duit untuk tanggung kos ini seawal mungkin.

Ia bermula daripada suntikan BCG seawal kelahiran. Kemudian, suntikan susulan adalah untuk elakkan demam campak, beguk, dan akhir sekali, suntikan vaksin rubella (MMR) pada bulan ke-12.

Secara purata, lawatan untuk buat perkara ini berharga antara RM70 hingga RM150 untuk setiap kali lawatan. Dan ini adalah harga rata-rata klinik pediatrik kanak-kanak swasta.

Jadi, kos anggaran untuk perkara ini adalah sekitar RM2,250.

Kalau bayi korang senang berjangkit penyakit selsema, bersedia untuk belanjakan kira-kira RM100 untuk setiap sesi lawatan doktor. Ya, sesi ini berserta kos ubat tak murah.

Hasil kajian Babycenter mendapati lebih 80% ibu bapa kat Malaysia bergantung perkara ni kat ibu bapa mereka, 41% pula kat saudara-mara, dan 40% akan menggajikan pengasuh atau babysitter.

Bagi mereka yang masih ada orang tua, sila bersyukur. Sebab boleh tinggalkan anak dengan hati yang tenang kat ibu bapa korang.

Untuk yang tak ada kelebihan ini, Tok sediakan anggaran kos yang korang perlu tanggung untuk perkara ini:

Kos pengasuh, atau babysitter:

  • sekitar RM12,000 (atau lebih) untuk tempoh 1 tahun. Ini adalah harga anggaran untuk kawasan sekitar Lembah Klang.

Kos perkhidmatan pembantu rumah:

  • Korang boleh jadikan perkara ini pilihan ke-2. Cuma, ia menelan belanja yang agak mahal, sebab ada agensi yang perlukan bayaran pendahuluan sebanyak RM14,000. Ini tak termasuk gaji bulanan (sekitar RM700 sebulan) untuk pembantu rumah.
  • Boleh menelan belanja sebanyak RM22,400 untuk tahun pertama (ini tak termasuk kos makan dan tempat tinggal pembantu rumah lagi).

Nota tambahan: Sebelum gunakan khidmat ini, pastikan korang kaji dulu latar belakang mereka dalam-dalam. Sebab Tok tak suka dengar kes dera yang banyak dapat liputan berita sekarang ini.

  • Kereta bayi (stroller) dan carseat

Tok nasihatkan korang untuk beli stroller yang berkualiti, supaya ia boleh dipakai untuk tempoh lebih daripada 2 tahun. Biasanya, ia akan menelan kos sebanyak RM1,299 untuk sebuah stroller yang ada kualiti (Tok tak cakap ini harga stroller yang berjenama ya).

Dan bila bayi korang dah membesar (dan bergantung pada berat semasa bayi), korang kena beli tempat duduk kereta (carseat) yang berasingan.

Sediakan sekitar RM300 untuk perkara ini. Jadi, kos keseluruhan akan menjadi RM1,599.

  • Perabot untuk si comel anda

Si comel korang akan perlukan pelbagai jenis perabot, seperti:

  • katil bayi,
  • kerangkeng (tempat kurungan bayi),
  • meja makan bayi,
  • baby walker,
  • atau Jumperoo.

Kalau nak kurangkan kos ini, korang boleh beli kat kedai barangan terpakai atau dapatkan daripada saudara-mara yang dah tak pakai barangan ini.

Anggaran untuk semua barangan ini adalah sekitar RM1,000 ke atas.

Nota tambahan: Ini adalah kos kalau korang nak beli barang yang baru. Tapi, Tok tak galakkan tau. Baik lagi korang beli yang dah terpakai. Lagi banyak korang boleh berjimat.

i) Susu ibu

Ini adalah makanan bayi yang Tok sendiri anjurkan, sebab ia ada terlalu banyak kelebihan dan kebaikan berbanding susu formula.

Bahkan, surah Al-Baqarah (ayat 233) ada jelaskan keperluan susu ibu untuk bayi selama genap 2 tahun.  Tambahan pula, dah banyak kajian saintifik yang buktikan susu badan ibu sangat baik untuk si comel korang.

dan sebagai persediaan, korang boleh pelan untuk dapatkan pam payudara. Sebagai contoh, korang boleh tengok pam Tommee Tippee elektronik kat Lazada, dan ia berharga sekitar RM650 sebuah (sebelum diskaun).

ii) Susu formula yang dirumus khas untuk bayi

Susu tepung formula ada pelbagai peringkat harga yang berbeza, dan ia bergantung kat jenama dan peringkat umur bayi.

Susu untuk bayi baru lahir lebih mahal berbanding susu untuk peringkat umur yang lain. Senang cerita, bila umur anak lebih besar, kos susu tepung formula ini akan berkurang.

Dan harga kos purata susu untuk bayi yang baru lahir hingga umur 6 bulan berharga sekitar RM100 setiap tin. Jadi, kos tahunan yang korang kena tanggung adalah sekitar RM2,400.

Tip tambahan: Kadang-kadang, harga susu kat kedai runcit lebih murah kalau nak dibandingkan kat pasaraya. Rajinkan diri korang mengkaji tawaran yang ada untuk dapatkan harga yang terbaik.

iii) Makanan pejal (solid food)

Bila bayi dah berusia 6 bulan ke atas, korang boleh mula bagi makan makanan pejal seperti bubur, makanan puri, atau bijirin bayi.

Kalau kita kira, ia boleh menelan belanja sekitar RM100 sebulan, dan ia bergantung kat makanan yang korang pilih.

Jadi, kos untuk perkara ini pada tahun pertama boleh jadi sekitar RM600.

Ada banyak jenama lampin kat pasaran. Bab harga pula, ada yang boleh menelan belanja yang banyak, dan ada juga yang dijual pada harga murah.

Lampin yang berjenama biasa berharga sekitar RM30 untuk setiap pek. Bilangan lampin dalam pek pula bergantung kat saiz lampin yang bayi korang pakai.

Dan lampin jenama premium pula boleh menelan kos kira-kira RM50 setiap pek. Ini boleh digunakan pada waktu malam sebab ia lebih tahan lama tanpa bocor.

Tip Tambahan #1: Gunakan lampin yang lebih murah pada waktu siang, sebab korang akan kerap tukar lampin pada waktu ini. Bila malam pula, baru gunakan lampin yang lebih berkualiti sebab ia lebih tahan lama. Kalau korang rajin, boleh saja gunakan lampin kain untuk lebih jimat.

Tip Tambahan #2: Pasaraya kerap buat jualan untuk lampin bayi. Tapi, korang kena cepat-cepat beli sebab bukan korang seorang saja yang ada anak kecil. Membeli dengan banyak sekaligus boleh kurangkan kos perbelanjaan untuk jangka masa panjang.

  • Kos permainan dan pakaian bayi.

Hakikatnya, bayi korang membesar dengan pantas dan mereka agak cepat bosan dengan sesuatu mainan.

Tok nasihatkan korang untuk dapatkan pakaian terpakai atau mainan daripada saudara-mara, atau kawan-kawan. Cara ini boleh buatkan korang berjimat banyak.

Tapi, tak salah kalau nak belikan anak korang baju atau mainan baru sekali-sekala. Siapa yang dapat tahan mata tengok baju dan mainan yang comel-comel untuk anak korang kan?

Perbelanjaan untuk perkara ini pula, terpulang kat korang. Bagi yang mampu, tak salah berbelanja lebih sikit untuk anak-anak. Bagi yang tak berapa mampu pula, berbelanja biar berpada-pada.

Untuk jimatkan kos kat barang mainan anak, korang boleh menyewa mainan kat Rent A Toys atau Toy Rental Co. Tok cadangkan ini sebab mereka cepat bosan dengan mainan dengan mudah.

Adalah logik untuk menyewa mainan berbanding belikan yang baru, terutama sekali mainan yang berharga mahal.

Kos anggaran yang korang perlu tanggung untuk perkara ini adalah sekitar RM500 untuk tahun pertama.

Angka kat atas tadi cuma sekadar anggaran semata-mata, dan ada kos berulang dan kos perbelanjaan sekali saja. Yang lain, ia terpulang kat spesifikasi yang korang sendiri tentukan.

Untuk mudahkan korang, Tok akan sediakan kiraan kasar tanggungan untuk 12 bulan pertama (tempoh 1 tahun).

Dan Tok akan bahagikan kiraan ini untuk pasangan yang masing-masing bekerja, dan kiraan untuk pasangan yang isteri yang jadi suri rumah sepenuh masa.

Untuk pasangan yang masing-masing bekerja (dalam kes ini, Tok anggap korang bersedia menanggung kos babysitter atau pembantu rumah sepenuh masa):

  • Jumlah keseluruhan = RM30,500 (atau mungkin lebih).

Ini pula kiraan kalau isteri korang menjadi suri rumah sepenuh masa:

  • Jumlah keseluruhan = RM19,000 (kos ini ditolak dengan kos babysitter atau kos pembantu rumah).

Dah tentu korang boleh kurangkan jumlah kos kelahiran (delivery) kalau korang gunakan khidmat hospital kerajaan.

Namun, lebih elok sediakan RM10,000 hingga RM15,000 untuk tanggung kos kelahiran, sebab kita tak tahu sama ada isteri korang perlu gunakan kaedah Casaeran atau kaedah biasa.

Bantuan kad kredit yang baik juga boleh bantu korang tanggung semua kos ini secara berkesan. Tak lupa juga dengan pelan insuran yang boleh kita gunakan untuk tanggung segala bil yang ada.

Bagi membantu ringankan beban kewangan ibu bapa kat negara ini, kerajaan ada sediakan tawaran dan bantuan dalam bentuk pelepasan cukai untuk perkara berikut:

  • Inisiatif bantuan persekolahan untuk sekolah rendah dan menengah: RM100 untuk setiap anak (untuk keluarga berpendapatan rendah dan sederhana saja),
  • Bantuan anak-anak (child relief): RM1,000 untuk setiap anak (hanya untuk salah seorang ibu atau bapa),
  • Baucar Buku 1Malaysia (BB1M): RM200 untuk setiap anak.
  • Insuran pendidikan anak-anak: RM3000 untuk setiap keluarga,
  • Simpanan Skim Simpanan Pendidikan Malaysia (SSPN):  RM6,000 untuk setiap keluarga.

Nak menjaga anak bukan senang. Ia adalah tanggungjawab dan komitmen sepanjang hayat korang sebagai ibu bapa.

Semakin besar anak korang nanti, macam-macam lagi perkara yang korang kena pertimbangkan. Antaranya hobi dan pelajaran mereka. . Kalau korang bersedia dari awal, In Shaa Allah, semua ini kacang saja untuk korang uruskan.

Dan yang paling penting, berikan sepenuh kasih sayang kat mereka. Anak adalah anugerah dan amanah Allah S.W.T kat setiap hamba-Nya. Tok doakan anak korang menjadi anak yang soleh/solehah bila besar nanti. Ameen.



Source link