Uncategorized

Bercinta dengan kertas tisu? Aksi si comel ini akan buat anda ketawa sendirian

Bercinta dengan kertas tisu? Aksi si comel ini akan buat anda ketawa sendirian 1



Bercinta dengan kertas tisu? Aksi si comel ini akan buat anda ketawa sendirian 2

SEPASANG suami isteri mengabadikan kegilaan kucing kesayangan mereka terhadap gulungan tisu tandas dengan sebuah video yang berjaya menggeletek hati pengguna media sosial.

Si comel bernama Pusic ini bukan nama asing dalam kalangan pencinta kucing kerana ia sudah mempunyai pengikut sendiri melalui akaun Instagram yang diwujudkan oleh pemiliknya, seorang lelaki dari Belarus yang dikenali sebagai Vyacheslav.

Vyacheslav dan isterinya melakukan eksperimen peribadi dengan merakam gelagat Pusic apabila diletakkan dalam sebuah bilik yang dipenuhi dengan tisu tandas dan hasilnya, kucing jantan itu naik ‘gila’.

Penonton tidak kering gusi melihat bagaimana Pusic berlari ke segenap penjuru bilik dan bermain dengan tisu, dalam video berdurasi 2 minit 17 saat itu.

Selepas dimuat naik ke YouTube seminggu lalu, ia sudah menerima tontonan melebihi 1.8 juta kali.

“Semasa ia kecil, Pusic sangat gemar bermain dengan tisu tandas. Tapi kami tidak benarkan kerana ia gemar buat sepah.

“Untuk sekali ini, kami beri peluang, di samping mahu melihat reaksinya selepas bertahun tidak bermain dengan tisu.

“Tetapi jangan risau, kami tidak membazir. Tisu tandas itu digunakan semula untuk dijadikan alat permainan Pusic,” kata Vyacheslav seperti dipetik dari portal The Dodo.

Pusic merupakan kucing jalanan yang diselamatkan Vyacheslav empat tahun lalu.

Semenjak itu, Pusic menjadi kucing selebriti yang disayangi ramai, malah memiliki laman web lengkap dengan semua maklumat berkaitan dirinya.

Selain akaun YouTube untuk merakam gelagat Pusic, pemiliknya turut mewujudkan satu lagi akaun yang dikenali sebagai Pusic Academy, yang memaparkan video berkenaan tip penjagaan, pengurusan dan latihan tricks untuk kucing.

Anda mempunyai kisah menarik tentang si comel yang anda ingin kongsikan? Hantarkan kepada kami beserta nama penuh anda dan maklumat untuk dihubungi ke planetcomelawani@gmail.com.

Jom kongsi kenakalan si comel anda!





Source link