Uncategorized

Berkerusi roda tidak halang Faizal ternak ikan laga



KLUANG: Meskipun berkerusi roda, Mohd Faizal Khamis tidak pernah merasakan ia adalah halangan untuk meneruskan hobinya mengumpul seterusnya menternak ikan laga untuk dipasarkan.

Pemuda berusia 36 tahun itu mula membela ikan perhiasan berkenaan semenjak enam tahun lalu, dengan permulaannya hanyalah sepasang ikan.

Kini, jumlah ikan peliharaannya mencecah lebih 2,000 ekor.

“Pada awalnya, saya kumpul ikan laga ini sekadar hobi. Namun disebabkan permintaan terhadap ikan hiasan ini sentiasa ada, saya nekad mahu menukar hobi saya ini sebagai sumber pendapatan,” katanya ketika ditemui di Kluang Mall, dekat sini hari ini.

Dulu, katanya ikan laga dilihat sebagai ikan parit dan tidak berharga, namun keadaan sudah berubah apabila ikan itu kini dilihat mempunyai nilai komersial tersendiri kepada individu yang memeliharanya.

Mohd Faizal berkata demikian ketika ditemui semasa Program ‘Charity Bazaar’ yang mendapat kerjasama antara pengurusan pasar raya Kluang Mall dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang, di pusat membeli-belah itu, di sini.

Baginya, ikan laga bukan hanya cantik dipandang malah menjadi pembakar semangat untuk dirinya meneruskan kehidupan serta berjuang untuk lebih berjaya.

“Saya turut mendapatkan baka ikan laga dari Thailand untuk dijadikan induk dan sekarang saya boleh berbangga kerana dengan status saya sebagai OKU, saya berjaya menternak dan membiakkan lebih 2,000 ekor ikan laga di rumah.

“Saya tidak pernah menjadikan kekurangan saya ini sebagai penghalang dan semua urusan berkaitan ikan laga termasuk membiak, menternak dan menjual saya lakukan sendiri walaupun berkerusi roda,” katanya.

Kluang Mall, dalam satu kenyataannya berkata, program ‘Charity Bazaar’ merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya sempena kedatangan Ramadan.

Seramai enam pelanggan JKM terpilih di daerah ini, diberi peluang menjual produk mereka di Kluang Mall secara percuma.

Selain ikan hiasan, mereka yang terpilih menjual makanan, pakaian, lukisan, inai serta pelbagai barang hiasan.

— BERNAMA





Source link