Artikel Terkini

Berniaga dalam talian? Guna WhatsApp pun boleh



KUALA LUMPUR: Walaupun capaian internet di luar bandar mungkin tidak sepantas di bandar namun usahawan masih boleh berniaga secara dalam talian dengan efisien.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Institute of Technology Academy (MIT), Anthony Ng Mun Sun berkata, menjalankan perniagaan menggunakan WhatsApp juga sudah memadai.

“Kita mungkin ada isu dari segi capaian internet tapi ada aplikasi yang tidak guna banyak internet seperti WhatsApp, ada mesej, itu tak guna internet. Ada satu cerita benar, ada seorang ikon Facebook berpangkat Datuk.

“Dia ada pergi beli lemang semasa bulan Ramadan. Selepas dia makan, dia kata lemang itu sedap dan dia muat naik di Facebook. Bila dia post, dia ada jutaan pengikut di Facebook.

“Makcik yang menjual lemang itu daripada tiap-tiap hari dapat RM100, dia dapat hampir RM500 sepanjang Ramadan dan hari raya. Mak cik itu tak tahu tentang teknologi tapi dia tahu WhatsApp. Ambil pesanan dari WhatsApp pun memadai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Webinar Astro AWANI yang membincangkan tajuk COVID-19: Penugasan Semula Pekerjaan atau Penciptaan Pekerjaan Baru pada Rabu.

Tambah Anthony, potensi perniagaan terutamanya melibatkan dalam talian harus diteroka kerana masa depan dunia pekerjaan selepas ini akan tertumpu kepada ekonomi gig.

“Baru-baru ini ada PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) yang kata berhubung gig ekonomi. Kami akan melatih atau beri perspektif lain kepada orang kerana sekarang tak semestinya kerja 100 peratus dengan satu majikan.

“Untuk masa depan, mungkin tiada lagi kerja sepenuh masa disediakan, semua akan jadi ekonomi gig, akan jadi kerja separuh masa atau kontrak,” ujarnya.

Webinar itu dikendalikan Editor Kanan Astro AWANI, Dzulfitri Yusop yang turut menampilkan Timbalan Dekan Hal Ehwal Prasiswazah, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Zafir Mohamed Makhbul.

Turut sama menyertai Webinar itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas bersama qwork.my, Muna Munirah Wan Nordin dan Ketua Bahagian Graduan dan Bakat Baharu Talent Corp, Mohamad Nazrul Aziz.





Source link

Related Posts