Artikel Terkini

Biar dugaan datang bertimpa, Kak Zai cekal teruskan kehidupan demi keluarga


HIDUP sebagai ibu kepada lima orang anak yang sedang membesar, Zaidah Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Kak Zai menyara hidup keluarganya dengan menjalankan perniagaan kedai jahit serta bisnes restoran. 

Berasal dari Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan dan mempunyai cita-cita macam insan biasa, Kak Zai asalnya dilahirkan normal namun, takdir menentukan dia terpaksa bergelar orang kurang upaya (OKU). 

Semuanya berlaku pada 2010, ketika dalam perjalanan mengambil anak dari tadika, Kak Zai berdepan tragedi apabila kenderaan yang dipandu dilanggar sebuah treler.

Kemalangan yang hampir meragut nyawanya itu telah menyebabkan kakinya patah empat bahagian dan Zaidah terlantar di hospital selama enam bulan.

“Semasa kejadian, Kak Zai nak jemput anak di tadika. Tiba-tiba selisih dengan treler.

“Tayar treler tercampak atas kereta Kak Zai, dan ketika itu Kak Zai tersepit. Terasa seperti sudah mati,” kata Kak Zai membuka cerita permulaan kehidupannya sebagai OKU.

Kemalangan yang hampir meragut nyawanya itu telah menyebabkan kakinya patah empat bahagian.
 
Selepas kehilangan keupayaan menggunakan kakinya, Kak Zai mula menjalani kehidupan menggunakan kerusi roda.

Perniagaannya juga terpaksa ditutup sementara yang secara langsung menjejaskan pendapatan keluarganya yang besar. 

“Masa itu rasa macam tak ada harapan,” luah Kak Zai dalam nada sedih. 

Wanita cekal itu meneruskan kehidupan dan kembali berniaga dengan menggunakan kerusi roda.

Namun sepanjang proses sembuh, Kak Zai diuji berkali-kali apabila berlaku jangkitan kuman pada kakinya dan arteri putus dan menyebabkan dia terpaksa melalui proses pembedahan sebanyak 13 kali sepanjang enam tahun.

Proses untuk sembuh dicabar berkali-kali apabila berlakunya jangkitan kuman pada kakinya dan arteri putus dan menyebabkan Zaidah perlu melalui proses pembedahan sebanyak 13 kali sepanjang 6 tahun.

“Kak Zai meneruskan hidup berniaga di atas kerusi roda. Dah banyak kali betulkan tulang, lebih 13 kali operasi, dan lebih enam jenis besi tukar masuk. Dalam badan, penuh dengan jahit dekat badan. Jadi kita lalui dengan sabarlah,” katanya menyambung perbualan.

Ibarat seperti jatuh ditimpa tangga, Kak Zai sekali lagi diuji apabila kedai jahitnya terbakar sehingga dia mengalami kerugian RM200,000.

“Kak Zai diberitahu kedai jahit terbakar ketika keluar bilik pembedahan. Selepas itu Kak Zai terus dapat darah tinggi.

“Kita terperanjat. Masa tu ada hujan, Kak Zai berdoa, pandang ke tingkap. Minta-minta hujan ni padamkan api. Tapi tak, jadi memang terbakar dalam hujan, jadi dua perniagaan yang ada dalam tu habis hilang.” 

Dua tragedi yang begitu buruk tidak menghalang wanita berusia 44 tahun itu untuk bangkit dan kembali berniaga.

Ibarat seperti jatuh ditimpa tangga, Zaidah sekali lagi diuji apabila kedai jahitnya terbakar sehingga dia mengalami kerugian RM200,000.

“Ketika itu, seperti ibarat sudah ditimpa tangga, lepas tu tertanam pula dalam bumi. Kalau tertanam tu kiranya hidung sahaja tinggal untuk bernafas. Tapi bangun juga. Kita cuba.” katanya lagi.

Selepas menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mengambil kursus RISE oleh Maybank Foundation, Kak Zai mula positif dan memulakan semula perniagaan jahit dengan membeli mesin jahit terpakai.

Dia juga mengambil kesempatan untuk menjual kuih, makanan dan minuman di hadapan kedai jahit.

Walaupun mengakui pernah ada perasaan murung, kerana terlantar selama enam tahun, dia tetap cekal dan tabah untuk kembali sihat.

“Saya pernah meminta maaf kepada anak-anak dan suami kerana keadaan saya yang seperti menyusahkan mereka. Saya tidak dapat hadir lihat anak-anak di sekolah.

“Pada mulanya saya kata kepada suami yang saya sanggup jika dia mahu berkahwin lagi, tetapi dia jawab: Biar seribu tahun pun, saya tetap tunggu.

“Itu yang memberikan saya semangat untuk sihat, saya berkata dalam hati saya kena sihat, saya kena berjaya. Dari situ datang semangat saya,” kata Kak Zai lagi.

Menanam insiatif untuk terus maju, Kak Zai menggunakan akaun media sosial, Facebook untuk berhubung dengan pelanggannya dalam talian hasil sesi latihan anjuran JKM.

Di samping itu, Kak Zai turut memulakan rancangan memasak secara langsung di akaun Facebook sehingga dia berjaya dijemput ke rancangan memasak, “Cooking For Love.” 

“Kehidupan hari-hari macam ini lah, Kak Zai teruskan hidup, jadi apa sahaja benda yang baik, apa-apa sahaja ilmu, Kak Zai suka nak belajar.”

Zaidah terus menjalan perniagaan restoran, menjahit dan perkhidmatan katering,

Kini, Kak Zai menyediakan perkhidmatan katering dan dengan pendapatannya sekarang, dia mampu mengupah dua orang pekerja OKU untuk perniagaannya. 

“Kak Zai rasa bersyukur dengan apa yang Tuhan bagi kepada Kak Zai. Janganlah sentiasa pandang ke atas, pandanglah ke bawah. Maknanya kalau kita hidup tengok orang yang tidak ada kaki. Kita perlu bersyukur,” katanya lagi.

Walaupun pada satu ketika pernah terlantar atas katil selama enam tahun, usaha untuk bangkit ini akhirnya berjaya membolehkan dia menggunakan kedua-dua kakinya untuk berjalan dan meneruskan perjuangan dalam perniagaan.

Zaidah terbuka menerima kritikan dan sentiasa bersikap yang positif.





Source link