Artikel Terkini

Bila robot jadi konduktor muzik orkestra


SHARJAH: Dunia kini sudah mula menerima hakikat keupayaan robot ketika teknologi semakin menjarah setiap sisi kehidupan manusia.

Ia selari dengan Revolusi Perindustrian 4.0 yang semakin pesat dan berkembang ketika ini.

Robot bukan sahaja dicipta dan direka untuk industri teknologi, namun, pelbagai bidang telah mula mengambil tempat untuk mencuba kegunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) ini.

Menariknya di Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebuah robot menyerupai wajah manusia, lengkap dengan tangan, berupaya mengambil alih tugas manusia sebagai konduktor muzik dalam sebuah persembahan orkestra.

Diberi nama Android Alter 3, robot itu kelihatan seperti menari-nari dan membuat gaya tangan yang lincah seperti konduktor muzik manusia meskipun tidak berpakaian dan tidak bertongkat. 

.

Bagi seorang komposer, Keiichiro Shibuya, semakin hari, robot semakin memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian manusia.

Bagaimanapun, baginya, situasi itu berbalik kepada kepada kita sama ada untuk memutuskan bagaimana teknologi kecerdasan mampu menambah baik pengalaman manusia dan android dalam karya seni.

“Hasil ini ibarat metafor kepada hubungan manusia dan teknologi. Kadangkala robot berupa manusia atau android ini akan menjadi gila, jadi manusia perlu teruskan persembahan juga. Tapi, kadangkala manusia boleh turut bekerjasama dengan selesa,” ujarnya, seperti yang dilaporkan oleh Reuters.

Tugas Shibuya hanyalah menulis lagu. Namun, android ini pula bukan sahaja mengawal tempo dan kelantangan muzik dalam persembahan itu, malah turut sama menyanyi.

Seorang pengunjung yang hadir yang mahu dikenali sebagai Billum berkata, “Konduktor manusia adalah lebih baik berbanding robot.

“Sentuhan manusia telahpun hilang,” kata Billum, sekalipun dia sendiri meminati teknologi AI dan menanti-nantikan pencapaian seperti ini.

Persembahan orkestra itu dipertontonkan di sebuah bandar, Sharjah dalam satu acara, Sharjah Performing Arts Academy pada Januari lalu.

Sumber: REUTERS





Source link