Artikel Terkini

3 Mitos Hak Milik Yang Pemilik Rumah Teres Selalu Percaya

3 Mitos Hak Milik Yang Pemilik Rumah Teres Selalu Percaya 1

3 Mitos Hak Milik Yang Pemilik Rumah Teres Selalu Percaya 2

Bercakap tentang hak milik rumah teres (hak milik individu), ramai yang kata ia merupakan antonim kepada rumah high-rise (hak milik strata). Seperti yang ramai sudah maklum, rumah hak milik strata mempunyai banyak peraturan dan undang-undang.

Ini menyebabkan ramai orang ingat pemilik rumah individu ‘lebih bebas’. Tapi tahukah anda rumah hak milik individu pun sebenarnya mempunyai banyak peraturan?

Jadi dalam artikel kali ini, kami nak menyangkal beberapa mitos yang pemilik rumah individu (teres terutamanya) selalu percaya.

Apakah rumah hak milik individu?

Rumah hak milik individu adalah rumah bertanah seperti rumah teres atau semi-D. Beza utama hak milik individu dengan hak milik strata adalah dari segi undang-undang.

Rumah hak milik individu tidak tertakluk dalam Akta Hak Milik Strata 2013 dan Akta Pengurusan Strata 2013. Dua akta ini mewajibkan setiap pemilik rumah strata untuk bertanggungjawab menyertai aktiviti pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan di kawasan perumahan mereka.

Tetapi pemilik rumah individu hanya tertakluk kepada Kanun Tanah Negara 1965 dan beberapa undang-undang lain. Jika dipandang sekali lalu, mereka nampak bebas untuk berbuat apa-apa sahaja terhadap rumah dan plot tanah yang mereka beli – termasuklah tidak mahu menyertai aktiviti pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan.

Ini menyebabkan ramai pemilik rumah individu berpendapat mereka tidak wajib untuk membayar caj servis dan dana terikat (sinking fund); sebagaimana yang diwajibkan kepada pemilik rumah strata. Dalam erti kata lain, tiada siapa boleh memaksa mereka untuk menyertai usaha menyelenggara kemudahan di luar plot tanah mereka.

Pemilik bebas buat apa sahaja?

Meskipun rumah hak milik individu tak tertakluk dalam Akta Hak Milik Strata 2013 dan Akta Pengurusan Strata 2013, ia tak bermakna pemilik boleh buat apa-apa sesuka hati mereka.

Ini kerana mereka masih tertakluk di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan undang-undang lain seperti Akta Syarikat Amanah 1949 (Pindaan 1973), Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

Persatuan penduduk di kawasan rumah hak milik individu juga biasanya mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menguatkuasakan peraturan dan undang-undang seperti yang termaktub dalam perlembagaan mereka.

Ramai pemilik rumah individu menyangka mereka boleh mengubahsuai hartanah mereka tanpa mempedulikan peraturan persatuan penduduk. Sedangkan peraturan tersebut diwujudkan untuk memastikan keseragaman pembangunan, menjaga konsep asal perumahan dan sentimen komuniti serta menjaga keselamatan bersama penduduk.

Mitos 1: Tiada bayaran penyelenggaraan

Biasanya bagi pemilik rumah strata, bayaran untuk menyelenggara kemudahan di kawasan rumah mereka seperti kolam renang, taman permainan dan lif dinamakan “caj servis”. Tetapi bagi pemilik rumah individu, ia biasanya dinamakan “bayaran penyelenggaraan”.

Meskipun berbeza nama, kedua-duanya merujuk kepada perkara sama: bayaran komitmen bulanan dari semua penduduk untuk menyelenggara kemudahan dan sekuriti. Bagi rumah hakmilik individu, saiz bayaran ditentukan oleh keluasan rumah (dan tanah) mereka.

Tanggapan bahawa pemilik rumah individu tidak perlu membayar bayaran penyelenggaraan sepertimana pemilik rumah strata sudah tidak tepat. Lebih-lebih lagi pada masa kini, kebanyakan taman perumahan mempunyai sekuriti sendiri.

Dalam era di mana kadar jenayah sedang tinggi, terutamanya di kawasan bandar, majoriti pemilik rumah meletakkan sekuriti sebagai keutamaan sebelum membeli rumah. Jadi kini rumah hak milik individu juga dikenakan bayaran penyelenggaraan.

Mitos 2: Tak wajib bayar bayaran penyelenggaraan

Satu lagi mitos terbesar yang masih ramai pemilik rumah individu percaya adalah mereka tak perlu membayar caj servis dan dana terikat setiap bulan, sepertimana yang dihadapi oleh pemilik rumah strata.

Tetapi dari satu segi, mereka masih perlu membayar cukai tanah dan taksiran kepada PBT (majlis perbandaran, majlis daerah). Dua cukai ini sebenarnya merupakan salah satu bentuk caj servis dan dana terikat – cuma namanya sahaja yang lain.

Selain itu, ramai juga pemilik rumah individu menyangka mereka tidak perlu membayar caj servis dan dana terikat setiap bulan kerana tiada undang-undang seperti dalam Akta Hak Milik Strata 2013 dan Akta Pengurusan Strata 2013 yang mewajibkan mereka untuk berbuat demikian.

Tetapi mereka lupa, sebenarnya kewajipan itu telah dipersetujui oleh mereka sendiri ketika menandatangani surat perjanjian jual beli (SPA).

Mereka mungkin berpendapat cukai tanah dan taksiran sudah sepatutnya mencukupi untuk menyelenggara jalan, longkang, landskap, lampu jalan dan sebagainya. Tetapi mereka lupa servis sekuriti, penyelenggaraan pagar, CCTV, pintu masuk taman, sistem kad akses dan operasi pejabat pengurusan, bil utiliti pondok pengawal juga memakan kos dan memerlukan bayaran dari penduduk.

Mitos 3: Tiada undang-undang

Tidak seperti rumah strata, persatuan penduduk di kawasan rumah hak milik individu tidak mempunyai undang-undang khas seperti Akta Hak Milik Strata 2013 dan Akta Pengurusan Strata 2013. Ini bermakna apabila ada kes, mereka tidak mempunyai mahkamah khas seperti Mahkamah Tribunal Strata untuk dirujuk.

Tetapi persatuan penduduk di kawasan rumah individu masih mempunyai undang-undang lain untuk dirujuk. Memandangkan persatuan penduduk perlu didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), sebarang kes boleh dirujuk kepada ROS atau ke mahkamah sivil.

Pihak pengurusan pula boleh merujuk kepada Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta (BOVAEP) dan mahkamah sivil.

5 perkara yang perlu anda tahu sebelum membeli rumah hak milik individu

Sebelum anda membeli rumah hak milik individu, pastikan anda betul-betul memahami apa yang anda perlukan untuk duduk di kawasan perumahan tersebut. Ini adalah supaya anda tidak bertelagah dengan jiran-jiran anda sekaligus memastikan keamanan dan kesejahteraan penduduk kekal terjaga.

Terdapat lima perkara yang anda perlu tahu sebelum membeli rumah hak milik individu:

1. Siapa pihak pengurusan? Selidik dahulu siapa yang mengurus kawasan perumahan anda. Adakah persatuan penduduk atau syarikat pengurusan khas yang dilantik?

2. Berapa bayaran penyelenggaraan? Bayaran penyelenggaraan ini penting bagi membuktikan komitmen anda untuk menjaga nilai hartanah keseluruhan kawasan perumahan (dan hubungan dengan jiran-jiran anda).

3. Apakah peraturan yang ditetapkan oleh persatuan penduduk? Pastikan anda faham dan boleh mematuhi peraturan yang ditetapkan.

4. Akaun audit persatuan penduduk. Selidik kedudukan kewangan persatuan penduduk anda.

5. Keselamatan. Pastikan kawasan perumahan anda mempunyai sekuriti dan sistem CCTV yang bagus untuk memastikan keselamatan harta benda dan nyawa anda dan keluarga.

Sumber:

1. https://www.propertyguru.com.my/property-guides/hakmilik-induk-strata-dan-individu-apa-yang-perlu-diketahui-20106
2. https://www.iproperty.com.my/guides/apakan-perbezaan-hakmilik-induk-strata-dan-individu
3. https://www.iproperty.com.my/guides/quit-rent-parcel-rent-assessment-rates-malaysia



3 Mitos Hak Milik Yang Pemilik Rumah Teres Selalu Percaya 2
kontraktor rumah
bina rumah
pinjaman lppsa
pengeluaran kwsp
spesifikasi rumah
rumah ibs
pelan rumah
rekabentuk rumah
bina rumah atas tanah sendiri
kontraktor rumah selangor
rumah banglo

Source link