Berita

Cari identiti nak nampak hebat

Cari identiti nak nampak hebat 1

Cari identiti nak nampak hebat 2

Kes remaja lakukan seks bergilir-gilir dengan kanak-kanak, remaja liwat rakan selain disyaki terbabit dengan pembunuhan cukup meresahkan masyarakat.

Remaja kita kini dilihat semakin menyimpang daripada peranan sebenar mereka. Apa puncanya?

Ikuti wawancara Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, PROF MADYA DR ZAINAL MADON oleh Pengarang Berita, NAZARALI SAERIL bagi mengupas isu ini.

Isu sosial remaja semakin parah malah ada yang sanggup merekodkan perbuatan mereka untuk dikongsikan?

Generasi milenia kini cepat mesra dengan perkembangan teknologi.

Sesuai dengan teknologi seperti Internet, generasi muda kini punya kecenderungan tinggi untuk menunjukkan perlakuan di laman sosial sama ada untuk kepuasan diri, mendapat perhatian, popular dan tidak kurang untuk mendapat tanda suka.

Situasi ini boleh dikaitkan dengan Teori Pelaziman Operan yang menyatakan, perlakuan manusia akan diulang atau dikukuhkan apabila mendapat ganjaran sama ada material (wang) atau bukan material (pujian/sanjungan).

Berdasarkan Teori Psikoanalisis, situasi ini adalah keadaan apabila remaja berada di paras separa sedar atau tidak sedar.

Keasyikan mencari populariti ini menyebabkan mereka berada di paras separa sedar/tidak sedar hingga sanggup merakam dan berkongsi perlakuan masing-masing secara meluas.

Remaja juga berkecenderungan mahu kelihatan hebat dan tidak mahu dianggap lemah.

Ia kecenderungan semula jadi dalam diri remaja kerana menurut Teori Psikososial Erikson, remaja sedang mencari identiti kendiri.

Remaja sering beranggapan, identiti yang berjaya boleh dicapai apabila dianggap hebat, kuat walaupun melakukan perkara yang di luar batasan budaya atau agama.

Anggaran peratusan remaja di Malaysia berdepan isu masalah sosial, jenisnya dan yang berkaitan?

Berikut ialah beberapa laporan dan statistik yang berkaitan:

a. Laporan kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) 2017, ‘Situation Analysis of Adolescents in Malaysia’:

1. Buli mempengaruhi sebilangan besar remaja di Malaysia (menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2017).

2. Seorang daripada enam remaja pernah dibuli dan ia isu yang menjadi perhatian utama remaja.

3. Tinjauan global yang dilakukan oleh Unicef pada 2017 mendapati kira-kira 77 peratus kanak-kanak dan remaja di Malaysia (berusia sembilan hingga 18 tahun) bimbang menjadi mangsa dibuli.

b. Tinjauan Buli Dalam Talian Seluruh Dunia (2012):

1. Kira-kira 33 peratus kanak-kanak dan remaja di Malaysia (berumur lapan hingga 17 tahun) mempunyai pengalaman dalam talian yang negatif seperti dipanggil nama, diejek atau diperlakukan dengan cara yang jahat atau tidak mesra.

c. Kajian ‘National CyberSAFE in Schools 2013’:

1. Kira-kira 52 peratus responden berasa selamat ketika melayari Internet.

2. Kira-kira 26 peratus responden yang ‘pasti’ tahu bagaimana menjaga keselamatan.

3. Kira-kira 30 peratus responden sama ada tidak tahu atau ‘hampir’ tahu menjaga keselamatan.

d. Kementerian Kesihatan Malaysia ‘Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) 2017’:

1. Menurut NHMS, kadar kemurungan dan kegelisahan dalam kalangan remaja meningkat antara 2012 dan 2017.

2. Kelaziman kemurungan dalam kalangan remaja Malaysia berusia 13 hingga 17 tahun adalah sekitar 20 peratus pada 2017.

NHMS mencatatkan peningkatan kadar semua aspek tingkah laku bunuh diri daripada 2012 hingga 2017.

3. Penggunaan dadah yang berbahaya semakin meningkat dalam kalangan remaja.

Menurut NHMS 2017, 3.4 peratus remaja dilaporkan pengguna dadah semasa (mengambil heroin, morfin, gam, amphetamine atau methamphetamine, ganja) berbanding 1.5 peratus pada 2012.

Satu daripada 25 pelajar dilaporkan pernah mengambil dadah.

Data ini menunjukkan remaja adalah kelompok yang berisiko bukan sahaja daripada segi perkembangan fizikal dan kesihatan malah kesihatan mental.

Faktor berisiko inilah yang menyebabkan remaja mudah terjebak dengan gejala sosial.

Remaja keciciran sekolah kerana keluarga tidak mampu dan ada yang sengaja tidak mahu belajar?

Isu keciciran sekolah membabitkan faktor seperti keluarga tidak berkemampuan.

Oleh itu, remaja berkaitan perlu bekerja untuk mencari pendapatan sendiri.

Ada juga yang perlu menjaga adik-beradik, membantu ayah atau ibu berniaga selain tiada belanja untuk ke sekolah.

Faktor seterusnya ialah sikap remaja sendiri yang tidak mahu belajar.

Mereka ini lebih gemar untuk bekerja bagi membeli barangan atau gajet untuk kepuasan sendiri seperti telefon bimbit terkini, pakaian berjenama dan motosikal.

Golongan ini memang tidak minat dengan akademik selain tidak mampu membayangkan apa yang akan berlaku kepada mereka pada masa depan tanpa pendidikan.

Remaja ini juga mudah terpengaruh dengan media sosial.

Berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, media sosial adalah medium interaksi utama di Malaysia dengan 96.5 peratus individu menggunakannya pada 2018 berbanding 86.3 peratus pada 2017.

Aplikasi yang sering digunakan ialah WhatsApp, Facebook, Instagram dan Twitter.

Faktor remaja terbabit dengan isu sosial?

Faktor pertama ialah keluarga. Remaja bermasalah biasanya membabitkan keluarga yang berdepan isu kewangan, ayah ibu berpisah, kurang perhatian ibu bapa selain ibu bapa membiarkan anak remaja mereka melakukan apa saja yang dikehendaki dengan bebas.

Faktor pengaruh rakan sebaya turut menjadi penyebab isu sosial.

Remaja ini akan mengikut rakan mereka melakukan apa saja secara berkumpulan, mereka juga tidak mampu menolak desakan rakan selain melakukan apa saja supaya diterima menjadi sebahagian daripada kumpulan rakan tertentu.

Faktor pengaruh media juga perlu diberi perhatian kerana remaja mudah terpengaruh dengan gaya hidup ditonjolkan oleh media.

Secara keseluruhan, masalah remaja ada kaitan dengan masalah diri dan persekitaran.

Peranan siapa untuk menangani remaja hanyut dalam isu sosial?

Pendekatan holistik perlu dilakukan dalam menangani isu remaja.

Di rumah, suasana yang kondusif, komunikasi terbuka, masa berkualiti bersama anak, gaya asuhan keibubapaan yang positif amat perlu disediakan.

Rumah adalah permulaan kepada perkembangan anak yang positif.

Anggap anak sebagai rakan yang boleh saling menerima dan memahami antara satu sama lain.

Rasulullah SAW adalah contoh ikutan yang baik bagaimana mewujudkan keluarga bahagia dan berkat.

Barisan penyelidik daripada Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga UPM sudah membina modul keibubapaan berasaskan bukti penyelidikan.

Pihak yang berminat untuk mendapatkan tip keibubapaan boleh menghubungi pakar di UPM.

Apa yang masyarakat boleh lakukan untuk sama-sama membanteras masalah sosial dalam kalangan remaja, khasnya Bumiputera?

Masyarakat boleh berperanan melalui sikap ambil tahu dan ambil berat anak dalam kejiranan berbentuk ‘kawalan sosial’.

Pihak seperti persatuan penduduk perlu mengambil inisiatif mewujudkan program perkembangan remaja di komuniti masing-masing.

Pelaksanaan program yang memenuhi selera remaja membolehkan mereka rasa dihargai dan ada rasa kesepunyaan (sense of belonging).

Begitu juga peranan masjid dan surau sebagai pusat penggerak aktiviti remaja dan belia.

Jadikan ia sebagai tempat yang mesra kepada remaja serta belia.

Cari identiti nak nampak hebat 2

Source link
kontraktor rumah
bina rumah
pinjaman lppsa
pengeluaran kwsp
spesifikasi rumah
rumah ibs
pelan rumah
rekabentuk rumah
bina rumah atas tanah sendiri
kontraktor rumah selangor
rumah banglo