Berita

Kasih sayang abang, adik [METROTV]

Kasih sayang abang, adik [METROTV] 1

Kasih sayang abang, adik [METROTV] 2

Kuala Lumpur: “Saya tiada adik-beradik lain kecuali abang. Jadi, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjaganya dan membantu menyuapkan makanan ke mulutnya setiap hari, lebih-lebih lagi sejak emak ke luar negara (bekerja),” kata Muhammad Faris Rahimi Mat Faizal.

Muhammad Faris Rahimi, 20, yang menetap di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan menarik perhatian warganet selepas memuat naik video menyuap makanan ke mulut abangnya, Muhammad Faris Aiman, 21, di akaun TikTok miliknya, kelmarin.

Video itu meraih lebih 500,000 tontonan setakat ini dengan rata-rata warganet suka melihat kasih sayang Muhammad Faris kepada abangnya yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) akibat penyakit saraf dialami sejak lahir.

Bercerita lanjut, Muhammad Faris Rahimi berkata, penyakit dihidapi menyebabkan abangnya tidak boleh makan menggunakan tangan sendiri.

“Jadi, saya emak (Zuraidah Ya’acob, 45) atau ayah (Mat Faizal Mat Hussin, 45) yang akan membantu menyuapkan makan ke mulut abang setiap kali waktu makan.

“Cuma, emak bekerja sebagai jururawat di Arab Saudi sejak 2017, jadi saya atau ayah yang akan membantu abang.

“Kebiasaannya saya yang membantu abang dan ia sudah jadi rutin harian saya sejak berusia 12 tahun lalu lagi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MUHAMMAD Faris Rahimi menguruskan kedai alat ganti motosikal bersama abangnya, Muhammad Faris Aiman yang juga OKU saraf. FOTO Ihsan Muhammad Faris Rahimi Mat Faizal
MUHAMMAD Faris Rahimi menguruskan kedai alat ganti motosikal bersama abangnya, Muhammad Faris Aiman yang juga OKU saraf. FOTO Ihsan Muhammad Faris Rahimi Mat Faizal

Menurut Muhammad Faris Rahimi, dia sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kelantan.

Namun, katanya, dia sudah membuka kedai menjual alat ganti motosikal sejak sebulan lalu dan turut dibantu abangnya.

“Kedai itu dibuka dengan modal hasil bantuan keluarga dan ia adalah idea daripada abang saya sendiri yang turut membantu menguruskan kedai.

“Zahirnya, abang memang OKU tetapi dia juga ada kelebihan iaitu boleh membuka komponen dan membaiki motosikal.

“Saya sendiri tidak mahir membaiki motosikal dan pernah membuka komponen tetapi dengan tunjuk ajar abang,” katanya.

Menurut Muhammad Faris Rahimi, dia berterima kasih kepada warganet termasuk dari Indonesia dan lain-lain negara yang mendoakannya dan abangnya selepas menonton video dimuat naik di TikTok.

“Video itu sekadar satu cara saya untuk mencurahkan kasih sayang kepada abang.

“Alhamdulillah banyak komen positif dan mesej cuba saya sampaikan adalah berbuat baik kepada adik-beradik atau sesiapa saja termasuk OKU.

“Malah, memiliki abang istimewa membuatkan saya sedar di sebalik setiap kekurangan, pasti ada kelebihan yang Allah SWT berikan kepada semua hambanya,” katanya.

Kasih sayang abang, adik [METROTV] 2

Source link
kontraktor rumah
bina rumah
pinjaman lppsa
pengeluaran kwsp
spesifikasi rumah
rumah ibs
pelan rumah
rekabentuk rumah
bina rumah atas tanah sendiri
kontraktor rumah selangor
rumah banglo