Artikel Terkini

BNM kurangkan OPR kepada 2.50 peratus



KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus dalam mesyuaratnya pada Selasa.

Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata kadar koridor tertinggi dan terendah bagi OPR masing-masing diturunkan kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

“Pengurangan dalam OPR bertujuan untuk menyediakan persekitaran monetari yang lebih akomodatif bagi menyokong jangkaan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik dalam keadaan harga yang stabil.

“MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi,” katanya.

Menurut bank pusat, keadaan ekonomi global telah merosot dalam tempoh kebelakangan ini, dengan penularan COVID-19 telah mengganggu aktiviti pengeluaran dan aktiviti yang berkaitan dengan perjalanan, terutamanya di rantau ini.

“Ini juga telah mendorong kepada kegiatan penghindaran risiko yang lebih ketara, lantas mengakibatkan keadaan kewangan menjadi lebih ketat dan mendadak semula volatiliti pasaran kewangan.

“Risiko kepada prospek pertumbuhan global telah meningkat, terutamanya dalam tempoh terdekat.

“Bagaimanapun, beberapa negara telah melaksanakan tindak balas dasar. Dengan jangkaan pelaksanaan beberapa langkah dasar, tindakan ini dijangka dapat mengurangkan impak ke atas ekonomi akibat COVID-19,” katanya.

Pada masa akan datang, BNM berkata pertumbuhan, terutamanya pada suku pertama, akan terjejas oleh COVID-19 terutamanya dalam sektor berkaitan pelancongan dan perkilangan manakala kelemahan dalam sektor pertanian turut dijangka berterusan pada suku pertama.

“Pada 2020, aktiviti sektor swasta dan sektor awam dijangka terus menyokong pertumbuhan. Perbelanjaan isi rumah diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih perlahan dalam keadaan pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan yang sederhana.

“Aktiviti pelaburan dijangka mencatatkan pemulihan yang sederhana, disokong oleh projek-projek sektor awam dan swasta yang baharu dan sedang dilaksanakan,” katanya, sambil menambah pakej rangsangan ekonomi 2020 juga akan menyediakan sokongan kepada aktiviti ekonomi.

Walaupun pertumbuhan dalam negeri dijangka bertambah baik secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini, BNM berkata terdapat risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan yang berpunca terutamanya daripada sifat evolusi dan kesan berpanjangan daripada COVID-19 serta kelemahan yang berterusan dalam sektor berkaitan komoditi.

“Pada 2020, inflasi keseluruhan dijangka mencatatkan purata lebih tinggi tetapi kekal pada kadar yang sederhana.

“Trajektori inflasi keseluruhan akan bergantung pada perkembangan harga minyak dan komoditi sedunia serta masa pemansuhan harga siling bagi harga runcit bahan api domestik.

“Inflasi asas dijangka lebih sederhana, dalam keadaan tekanan permintaan yang terhad meskipun aktiviti ekonomi terus berkembang,” katanya.





Source link

Related Posts