Artikel Terkini

Bon Malaysia catat aliran masuk asing bulanan terbesar sejak Sept 2017



KUALA LUMPUR: Pasaran bon Malaysia mencatatkan peningkatan minat asing dengan pegangan melonjak kepada RM8 bilion, pada November, selepas tiga bulan berturut-turut mencatatkan prestasi perlahan.

Ini menandakan aliran masuk asing bersih bulanan terbesar sejak September 2017, kata RAM Ratings Services Bhd dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, kadar penyertaan asing meningkat ke paras tertingginya sejak November 2018, dengan pegangan asing mencakupi 13.2 peratus daripada jumlah bon pada November 2019 (Oktober: 12.6 peratus).

“Lonjakan pembelian asing bon Malaysia itu agak mengejutkan memandangkan pendirian kadar faedah rendah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) semasa mesyuarat dasar monetarinya pada 30 Okt, selain membayangkan pergerakan kadar yang tidak berubah.

“Peralihan jangkaan kadar faedah ini, yang menyokong aliran meningkat hasil Perbendaharaan AS sepanjang November (2019), boleh menjejaskan insentif pelabur untuk mencari sekuriti hasil tinggi dalam pasaran sedang pesat membangun seperti Malaysia,” kata Ketua Penyelidikan RAM Ratings, Kristina Fong.

Pada November, terbitan bon kerajaan berjumlah RM10.7 bilion, peningkatan daripada penerbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) sebanyak RM9.0 bilion pada Oktober.

“Ini menjadikan jumlah terbitan sebanyak RM112.7 bilion dalam tempoh 11 bulan 2019, masih di landasan mencapai unjuran kami pada RM110 bilion-RM120 bilion bagi tahun ini.

“Pada masa hadapan, kami menjangka terbitan MGS/GII meningkat kepada RM115 bilion-RM125 bilion pada 2020, dengan mengambil kira keperluan pembiayaan defisit kerajaan mengikut pembentangan Belanjawan 2020, serta pembiayaan semula hutang matang tahun depan,” katanya.

Sementara itu, terbitan bon korporat agak kukuh sebanyak RM8.5 bilion pada November, meningkat daripada RM5.9 bilion pada bulan sebelumnya.

“Memandangkan kemajuan kukuh sepanjang tahun ini, terbitan korporat mengatasi unjuran RM110 bilion-RM120 bilion kami bagi 2019.

“Jumlah terbitan korporat dalam tempoh 11 bulan 2019 berjumlah RM120.6 bilion. Pada masa depan, kami menjangka momentum terbitan bon korporat kekal kukuh pada 2020 atas sokongan perancangan terbitan, keperluan pembiayaan prasarana yang berterusan dan kadar pembiayaan yang menarik,” kata Fong.

Justeru, jumlah terbitan bon korporat dianggarkan berjumlah RM100 bilion-RM110 bilion tahun depan, katanya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts