Uncategorized

Buka puasa berjemaah di tepi Sungai Kelantan meriah

Buka puasa berjemaah di tepi Sungai Kelantan meriah 1



Buka puasa berjemaah di tepi Sungai Kelantan meriah 2

KOTA BHARU: Lembah Sireh yang terletak di tepi Sungai Kelantan di sini menjadi tumpuan umat Islam apabila mereka datang ‘berkelah’ untuk berbuka sepanjang Ramadan ini.

Suasana meriah tersebut dirasai semalam (Sabtu) dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung yang mencari kelainan ketika menikmati iftar, iaitu juadah berbuka di kawasan lapang di kawasan rekreasi itu.

Bagi pengunjung, Sulaiman Ismail, 45, yang tinggal di Pasir Tumboh, mereka sekeluarga sudah merancang dengan membawa hidangan nasi ulam dan budu.

“Isteri memasak beberapa menu tradisional Kelantan di rumah seperti sayur masak lemak, ikan keli berempah, ayam goreng kunyit dan beberapa jenis lauk-pauk lain.

“Yang penting ulam budu kami nikmati dengan makan beramai-ramai, bawa tikar dan peralatan lain seperti pinggan, mangkuk dan cawan bagi memudahkan urusan berbuka puasa di tempat rekreasi ini,” katanya semasa ditemui bersama 10 anggota keluarganya.

Menurut pengunjung lain, Wan Aisah Wan Ali, 50, rata-rata pengunjung yang datang ke situ adalah dari daerah yang berlainan selepas mereka membeli-belah kelengkapan bagi menyambut hari raya di pasar raya berdekatan.

“Untuk persiapan membeli pakaian raya, kita bawa keluarga, jadi inilah masanya kita ambil kesempatan berbuka puasa di tepi sungai, sambil melihat suasana malam di sini, tak sangka pula ramai yang berniat sama.

“Kami beli nasi kerabu yang sudah siap, beli sebungkus seorang, tambah lauk-pauk, kuih-muih dan air, sambil nikmati juadah berbuka, kami boleh melihat keluarga orang lain juga,” katanya yang tinggal di Kampung Selising, Pasir Puteh.

Muhammad Firdaus Irfan Ahmad Zamri, 20, pula berkata apa yang berlaku di lokasi itu, orang ramai datang seolah-olah berpakat, tetapi hakikat sebenar, mereka datang tanpa dirancang, sukarela dan secara spontan.

“Tak silap saya, pada awal puasa baru-baru ini, jumlah pengunjung yang hadir tidaklah seramai ini, hanya beberapa kelompok sahaja, tetapi apabila lokasi ini diviralkan sebagai menarik dan ada kelainan, menjelang Aidilfitri ini, ramai pula yang hadir.

“Parkir kenderaan pun sesak, tetapi yang bagusnya tersusun dengan elok walaupun tanpa anggota sukarela atau pihak berkuasa tempatan yang mengawal keadaan, masing-masing jaga diri dan selesai berbuka puasa, mereka buang sampah dengan baik,” katanya.

Kemesraan sesama pengunjung dapat dilihat apabila ada yang bertukar-tukar juadah berbuka puasa seperti kuih-muih dan air minuman.

Ada pula yang membawa anak-anak kecil yang dilihat begitu riang dengan suasana itu, malah ada juga yang membawa kek dan belon menyambut hari jadi.

Bagaimanapun, ada juga pengunjung memberikan beberapa cadangan untuk menambah baik lagi kawasan rekreasi itu bagi kemudahan awam.

“Saya cadangkan PBT (Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandaraya Islam) dan Jabatan Pelancongan Negeri diharap menyediakan lampu di sini memandangkan ada pengunjung terpaksa membuka lampu telefon bimbit semasa makan serta disyorkan juga perbanyakkan tong sampah.

“Kawasan ini boleh jadi tempat tumpuan pelbagai golongan tidak kira muda atau tua untuk beriadah sambil menikmati keindahan alam, malah ia baik untuk keselamatan, sekali gus menarik pelancong luar datang melihat keadaan ini,” kata kakitangan awam, Razali Husin, 46.

Katanya, apa yang berlaku pada bulan mulia ini adalah perkara yang elok kerana ada penyatuan umat Islam di negeri ini dan usaha itu dilihat sebagai tanda kebesaran Allah menerusi iftar tanpa dirancang, namun cukup terkesan serta menginsafkan.

— BERNAMA





Source link