Uncategorized

Bukan Semuanya Indah Dalam Pelaburan Hartanah

Bukan Semuanya Indah Dalam Pelaburan Hartanah 1


Bila kita bercakap berkenaan pelaburan hartanah, pasti pernah terbaca mahu pun terdengar pelaburan hartanah mampu memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda.

Di antara stigma orang kita yang paling popular adalah:-

 “Lihat mamat itu,
pakai Myvi sahaja tetapi mampu ada 6 buah rumah”.

“Lelaki ini makan cuma biasa – biasa sahaja, tetapi mempunyai 2 tingkat unit kondominium di Damansara.”

Buat pengetahuan anda, pelaburan hartanah sememangnya merupakan pelaburan yang tinggi pulangannya tetapi bukanlah dalam jarak masa terdekat!

Bukan semudah itu seseorang pelabur hartanah berjaya mendapat keuntungan hasil daripada pelaburan hartanah. Tidak ada orang yang beli hartanah hari ini dan terus mendapat keuntungan selepas setahun.

Untuk mendapat RM30,000 sebulan pendapatan pasif daripada hartanah, seorang pelabur bermula dengan aliran tunai negatif untuk beberapa tahun. Ada juga yang hanya mampu menjana untung hasil sewa sebanyak RM50 sahaja!

Hakikatnya, pelaburan hartanah tidaklah indah seperti yang kita dengar dan jangkakan daripada cakap-cakap orang kita.

Dewasa kini, untuk bermain dalam kolam hartanah yang telah sedia kompetitif dan kompleks, kita memerlukan lebih daripada wang semata-mata.

Polisi Kerajaan Mempengaruhi Industri Hartanah

Dalam aspek hartanah, kita memerlukan ilmu, kajian, pengalaman dan juga perlu ambil tahu akan polisi semasa Kerajaan yang berkemungkinan memberikan impak terhadap industri hartanah. Salah satu daripadanya adalah pengecualian duti setem selama 6 bulan yang diperkenalkan YB Lim Guan Eng.

Tidak sedikit
rakyat Malaysia yang terjerat dengan skim dan pelaburan hartanah yang
menjanjikan pulangan pelaburan sehingga 300%.

Salah satu jalan mudah dalam pelaburan hartanah adalah di dalam segmen lelong. Namun begitu, untuk mendapatkan hartanah lelong yang diklasifikasikan sebagai gred A; proses membida di dewan lelong adalah sangat sengit.

Dan untuk bermain dalam segmen lelong, kita memerlukan modal yang sangat besar. Kita perlu buat kajian terhadap unit dan hartanah yang bakal dibida secara menyeluruh, dan kita juga perlu melantik ejen hartanah lelong.

Adegan ‘sailang’ pemilik rumah adalah perkara biasa dan kebarangkalian untuk pulang dengan tangan kosong adalah sangat tinggi.

Ada juga kes di mana seorang pembeli rumah berjaya membeli sebuah rumah teres dua tingkat pada harga RM200,000 di selatan tanah air. Beliau menjangkakan hartanah tersebut mampu memberikannya pulangan pelaburan selepas 10 tahun akan datang.

Malang tidak berbau, negara digemparkan dengan pencemaran alam sekitar yang kronik di selatan tanah air yang menyebabkan bakal pembeli rumah tidak lagi fokus untuk mencari hartanah di kawasan tersebut.

Kawasan tersebut diisytihar sebagai darurat dan proses membersihkan pencemaran alam yang berlaku di kawasan tersebut memakan masa yang lama.

Kesannya, pelaburan hartanah yang telah dirancang pembeli rumah tadi gagal dan beliau terpaksa mencari inisiatif lain untuk hartanah tersebut.

Ilmu Adalah Kunci

Di dalam dunia ini, tiada pelaburan yang menjanjikan untung sahaja dan tidak akan rugi. Jika kita mampu menjana keuntungan sebanyak 30% daripada pelaburan, kita juga perlu bersedia untuk menanggung kerugian 30% daripada pelaburan tersebut.

Sejarah pelaburan telah bermula sejak kewujudan tamadun awal manusia lagi. Setiap pelaburan mempunyai potensi untuk rugi, tetapi persoalannya adalah bagaimana caranya untuk kita meminimakan risiko kerugian tersebut.

Cara terbaik adalah dengan mempelajari ilmu pelaburan tersebut dengan betul dan mendalam. Jika kita ingin membuat pelaburan hartanah, kita wajib belajar berkenaan analisa kawasan, tips & strategi, pengurusan kewangan dan bermacam-macam lagi.

Carilah mentor, ejen hartanah, peguam hartanah mahu pun ahli keluarga dan sahabat handai yang mempunyai ilmu berkenaan hartanah.

Hal ini kerana, jika kita ingin dapatkan benda yang kita tak pernah dapat, kita perlu berusaha melakukan perkara yang kita tak pernah buat!

Ditulis oleh Mehmed Aezhad, beliau merupakan seorang Digital Marketing Specialist yang berpengalaman luas dalam bidang pemasaran digital hartanah.

Bukan Semuanya Indah Dalam Pelaburan Hartanah 2

Bukan Semuanya Indah Dalam Pelaburan Hartanah 3

Komen

komen





Source link