Artikel Terkini

Bursa Malaysia dibuka rendah | Astro Awani



KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih rendah hari ini, menjejaki prestasi suram Wall Street yang diasak oleh aktiviti penjualan ketara susulan kebimbangan penularan semula COVID-19 dan prospek ekonomi yang lemah oleh pihak Rizab Persekutuan AS (Fed), kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 42.69 mata kepada 1,514.56 daripada 1,557.25 yang dicatatkan semalam.

Sewaktu dibuka hari ini, indeks tersebut merosot 44.86 mata kepada 1,577.65.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 833 berbanding 37 manakala 108 lain tidak berubah, 931 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 967.66 juta unit bernilai RM342.82 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata pasaran saham AS sekali lagi terjejas apabila Dow Jones susut -6.9 peratus yang merupakan kerugian harian terbesarnya sejak Mac 2020 ketika pelabur bertindak mengelak risiko dalam menghadapi prospek pemulihan ekonomi di masa depan.

Aktiviti penjualan saham yang ketara semalaman di Wall Street berserta penyusutan mendadak harga komoditi juga dijangka terus mempengaruhi prestasi saham di Bursa Malaysia.

“Walaupun kami berpendapat bahawa aktiviti jualan itu tidak dapat dielak, kelemahan itu akan turut ditampung sedikit oleh usaha pembelian saham-saham yang terjejas,” kata firma pembrokeran itu.

Sementara itu, Rakuten Trade Sdn Bhd menyifatkan Wall Street mengalami salah satu episod jualan terburuknya semalam akibat kebimbangan berlakunya gelombang kedua penularan virus maut serta dijejaskan lagi dengan kadar penganggurannya yang tinggi.

Sejajar dengan sentimen lemah itu, ia menjangkakan pasaran serantau akan mengalami fasa pembetulan teknikal.

“Di peringkat tempatan, FBM KLCI terpaksa menerima impak tersebut dan mengalami penurunan pada hari ini.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks penanda aras mencatat paras sokongan pada sekitar 1,500,” katanya.

Selain itu, Rakuten berkata kebimbangan mengenai gelombang kedua COVID-19 di AS juga menyaksikan penyusutan harga minyak mentah apabila Brent sekali lagi merosot di bawah US$40 setong dengan mencecah paras US$38.55 setong.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun 30 sen kepada RM7.78, Tenaga susut 14 sen kepada RM11.82, Public Bank rugi 66 sen kepada RM16.58, Petronas Chemicals merosot 39 sen pada RM6.31 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.50 .

Bagi saham aktif, Lambo susut setengah sen pada dua sen, AT Systematization turun 2.5 sen pada 13.5 sen manakala Pegasus dan warannya serta Priceworth International masing-masing tidak berubah pada setengah sen, satu sen dan 1.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 355.35 mata pada 10,606.36, Indeks FBMT 100 merosot 338.97 mata kepada 10,482.20 dan FBM 70 jatuh 596.59 mata pada 12,923.71.

Indeks FBM Emas Shariah pula merosot 353.49 mata kepada 12,020.51 dan FBM ACE turun 363.13 mata kepada 5,473.38.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 7.0 mata kepada 131.11, Indeks Perladangan berkurangan 42.24 mata kepada 6,770.30 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 496.54 mata kepada 13,150.80.

— BERNAMA





Source link

Related Posts