Artikel Terkini

Bursa Malaysia dijangka terus terima data ekonomi suram



KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka terus menerima data ekonomi yang suram dan pasaran menghadapi unjuran kurang menggalakkan seiring dengan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama Amerika Syarikat (AS) yang dijangka diumumkan minggu ini.

Ia berikutan KDNK suku pertama AS diunjurkan mencatatkan penguncupan.

Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ekonomi terbesar dunia itu dijangka susut sebanyak 4.1 peratus berdasarkan anggaran konsensus.

Mohd Afzanizam berkata, China juga akan mengeluarkan indeks sentimen perniagaannya, termasuk Indeks Pengurus Pembelian (PMI).

“Minggu ini kita menyaksikan indeks PMI di negara-negara maju merosot pada April.

“Oleh itu, perniagaan dijangka dikekang daripada memperluaskan operasi mereka. Sehubungan itu, FBMKLCI pada minggu ini akan terus berhati-hati,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 12 Mei.

Beliau menjangka akan terdapat lebih banyak sektor ekonomi dalam negara akan dibuka secara berperingkat.

Jelasnya, pasaran akan memantau situasi itu untuk mengukur bagaimana unjuran permintaan domestik negara sepanjang tahun.

Mengulas mengenai minyak mentah, beliau berkata situasi masih jauh daripada kepastian berikutan kemerosotan permintaan terhadap minyak global boleh menjadi besar.

“Minggu lepas harga minyak jatuh kepada negatif pada 20 April, tetapi pada masa ini, ia meningkat.

“Terdapat juga penganalisis cuba mengaitkan kemungkinan ketegangan antara AS dan Iran dapat memberikan sokongan kepada harga minyak mentah,” jelasnya.

Beliau juga menjangkakan harga minyak mentah dijangka kekal rendah.





Source link

Related Posts