Artikel Terkini

Bursa Malaysia meningkat semula pada pembukaan



KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula pada pembukaan, menjejaki peningkatan semalaman di Wall Street dengan harapan pandemik COVID-19 semakin hampir pada kemuncaknya di Amerika Syarikat (AS).

Purata Perindustrian Dow Jones ditutup pada 23,433, naik hampir 780 mata atau 3.44 peratus.

Pada 9.02 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.98 mata, atau 0.513 peratus kepada 1,368.37 daripada 1,368.89 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks utama dibuka tinggi 7.5 mata kepada 1,368.89.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 336 berbanding 35, manakala 125 kaunter tidak berubah, 1,423 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 219.04 juta bernilai RM63.68 juta.

Rakuten Trade menjangka keyakinan pasaran saham AS akan mempengaruhi pasaran Asia hari ini walaupun dalam jangka masa pendek.

“Di peringkat tempatan, kami menjangka FBM KLCI yang agak berdaya tahan akan menguji paras halangan segera pada 1,370 hari ini,” katanya dalam nota hari ini.

Dalam pada itu, ia mengekalkan paras sokongan segera untuk indeks petunjuk pasaran pada 1,350 dan terus berhati-hati dengan perubahan mendadak pasaran sejak kebelakangan ini.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata seperti dijangka, ekuiti Malaysia kembali kepada aktiviti pengambilan untung berikutan kekurangan petunjuk.

“Kami, bagaimanapun, melihat penurunan sebagai langkah positif untuk menghalang pasaran daripada meningkat pada kadar yang tidak mampan untuk mewujudkan lebih banyak ruang kepada peningkatan. Pada masa sama, belian baharu di Wall Street dan peningkatan semalaman harga minyak mentah boleh memberi dorongan kepada sentimen di bursa tempatan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM7.91, Tenaga melonjak 12 sen kepada RM12.06, Public Bank menambah dua sen kepada RM15.84 dan IHH naik enam sen kepada RM5.20.

Saham berkaitan minyak dan gas muncul sebagai tiga kaunter paling aktif hari ini, berikutan harga minyak mentah yang tinggi.

Sapura Energy dan Bumi Armada, masing-masing naik satu sen kepada 11.5 sen dan 1.5 sen, manakala Hibiscus Petroleum meningkat tiga sen kepada 53.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 73.19 mata kepada 9,484.46, Indeks FBM Emas Shariah menambah 92.02 mata kepada 10,414.47 manakala Indeks FBMT 100 meningkat 63.75 mata kepada 9,370.46.

FBM 70 naik 142.06 mata kepada 11,142.55 dan FBM Ace melonjak 70.05 mata kepada 4,155.72.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.50 mata kepada 109.72, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 58.16 mata kepada 12,456.63 dan Indeks Perladangan menokok 22.41 mata kepada 6,198.17.

— BERNAMA





Source link

Related Posts