Artikel Terkini

Butik ternama Itali dibuka semula selepas 3 bulan



ROM: Butik ternama di Via Kondotti di Rom mula dibuka pada Isnin selepas ditutup selama hampir tiga bulan.

Ini selepas Itali mengurangkan arahan tinggal di rumah yang sebelum ini dilaksana bagi mengawal jangkitan COVID-19.

Pembukaan itu turut disertai dengan langkah keselamatan dan kesihatan yang diambil setiap premis.

Ia termasuk mengehadkan jumlah pelanggan, pemakaian topeng muka dan sarung tangan serta pemeriksaan suhu sebelum masuk.

Selain butik ini, perniagaan lain yang turut diberikan kebenaran untuk beroperasi adalah restoran dan kedai gunting rambut.

Namun, di sebalik semua itu, ada juga kedai yang tidak dibuka kerana kerugian sewaktu arahan tinggal di rumah yang dikenakan bermula 10 Mac lepas.

Sesetengah perniagaan itu masih mengekalkan pekerja mereka dengan cuti separa atau tanpa gaji dan berharap bantuan daripada kerajaan untuk terus beroperasi.

Sebelum ini, majalah Women’s Wear Daily melaporkan sektor fesyen dan tekstil Itali mengalami kerugian AS$3.5 bilion pada suku pertama dan mungkin sehingga AS$9 bilion untuk setahun penuh 2020 akibat arahan tinggal di rumah.





Source link