Artikel Terkini

CAEXPO 2019: Lebih 600 sesi padanan perniagaan, tujuh MoU ditandatangan PKS


NANNING: Lebih 600 sesi padanan perniagaan (B2B) disertai delegasi Malaysia di Expo China-ASEAN (CAEXPO) 2019 di Nanning, China.

Sesi pemadanan perniagaan hari ke-3 CAEXPO itu akan menfokuskan kepada platform e-dagang terkemuka China dalam usaha meluaskan capaian pasaran produk tempatan.

Sesi tersebut melibatkan 162 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk beberapa agensi kerajaan manakala syarikat China terdiri daripada 104 platform e-dagang seperti Alibaba, Tmall, jd.com, Ule.com dan 1688.com.

Sementara itu pada sebelah petangnya, sebanyak tujuh perjanjian persefahaman (MoU) telah ditandatangan oleh perusahaan tempatan antaranya De’Armani Niaga (M) Sdn Bhd bersama Makatas International Trading (Shanghai) Co. Ltd dan Guangzhou Hoolinks FMCG Supply Chain Co.

Turut disertai PlantBio Research Sdn Bhd bersama Wuhan Yiwei Trading Co, Ltd, R H Bee Farms Sdn Bhd bersama Yunke Upin (HK) Limited, SG Sales Service Sdn Bhd bersama AYZ Food Trades, Bayu Gagah Marketing (M) Sdn Bhd  bersama Golden Ocean International Trade (Shandong) Co Ltd serta Biotropics Malaysia Berhad bersama Nature’s Farm Singapore.

CAEXPO adalah platform yang dikenali sebagai satu daripada gerbang utama untuk memasuki China dan juga pasaran ASEAN yang lain.

Pada tahun ini, sektor fokus Matrade untuk CAEXPO adalah makanan dan minuman, kesihatan dan kesejahteraan, gaya hidup dan perkhidmatan.

CAEXPO 2019 disertai 167 PKS termasuk agensi kerajaan dalam pameran perniagaan terbesar di Nanning yang bermula pada 21 September hingga 24 September ini.





Source link

Related Posts