Uncategorized

CAEXPO 2019 : PKS nikmati jualan tinggi dan kenalpasti potensi rakan niaga China



NANNING: Syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan yang menyertai Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2019 memperoleh reaksi positif mengenai produk mereka daripada masyarakat di Nanning, China.

Mereka turut menyatakan kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat di China terhadap produk tempatan membolehkan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai dengan mudah disamping berupaya mengenal pasti potensi rakan kongsi di Nanning.

Menurut seorang peniaga tempatan Vincent Lau,  CAEXPO adalah platform yang penting buat PKS untuk mengembang syarikat menembusi pasaran besar China dan beliau telah enam kali menyertai pameran ini.

“Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) banyak membantu kami untuk mengeksport produk kami ke tanah besar China dan tanpa mereka, kami sukar untuk sampai ke sini disebabkan kos yang agak tinggi.

“CAEXPO adalah platform yang sangat penting buat PKS kerana mempunyai jumlah pelawat yang tinggi sehingga satu atau dua juta dan di sini juga kami dapat lakukan padanan perniagaan dengan syarikat China serta mencari pelanggan tetap,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Kuan Wai Han yang telah kali ketiga menyertai CAEXPO berkata setiap tahun nilai jualan produknya kian meningkat serta kini dia mampu melebarkan rangkaian perniagaannya ke wilayah lain di selatan China.

“CAEXPO kali ini saya mendapat respon yang di luar jangkaan sampai produk yang saya bawa tidak mencukupi kerana baru hari kedua produk saya telah hampir habis.

“Untuk menambat hati pembeli China yang penting adalah produk perlu bagus dan berkualiti, strategi harga serta platform untuk memasarkan secara atas talian kerana sekarang ini platform E-Dagang di China banyak dan ia dapat membantu mempromosi produk dengan lebih cepat.

Bagi peniaga, Faizul Jasemi yang pertama kali menyertai CAEXPO dia kini lebih mengetahui citarasa masyarakat China dan melihat kepada peluang lebih besar untuk membawa masuk produknya ke Nanning dan wilayah China yang lain.

“Kalau diberi peluang sekali lagi, kami mahu datang lagi sebab bila kami keluar Malaysia barulah nampak ada pasaran yang sangat besar dan luas untuk kembangkan perniagaan malah bukan saja di China, tetapi di Eropah juga,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Azizul Rahim Mohd Hussain yang juga pertama kali menyertai CAEXPO mahu fokus kepada mencari rakan niaga di Nanning dan memperbanyakkan lagi ejen untuk menjual produk di pasaran China.

“Misi saya adalah untuk perkenalkan produk jenama Malaysia di sini dengan lebih meluas, kami sasarkan lebih banyak ejen dan pengedar untuk luaskan lagi capaian pasaran ke wilayah lain seperti di Shenzen dan Macau sekaligus bertapak di sini,” ujarnya.

Selain penjualan produk, MATRADE juga mengadakan program padanan perniagaan B2B Malaysia-China yang membolehkan peniaga tempatan mencari rakan kongsi di China untuk meluaskan pasaran.

CAEXPO 2019 berlangsung dari 21 hingga 24 September ini melibatkan delegasi Malaysia seramai 167 PKS dan agensi kerajaan.





Source link

Related Posts